Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Ahad, 9 September 2012

KUALITI KEJAYAAN



Siapa yang tak mahu mencapai kejayaan? Siapa yang melakukan tugasan jualan pasti mahukan kejayaan bukan sahaja di dunia tempat kita mencari rezeki tetapi juga di akhirat kelak. Kedua-duanya perlu diseimbangkan. Nak capai kejayaan perlukan kualiti yang dikehendaki. Kualiti yang mempunyai satu standard atau ukuran bagaimana untuk mencapainya. Tidak kira di kala tengah merasa kecewa dan putus asa ataupun terdapat pelbagai halangan, rintangan dan dugaan yang perlu dihadapi semuanya boleh  dihadapi dengan tenang dan tabah.

Jangan sama sekali mengharapkan tuah atau nasib badan. Kalau berlaku pun mungkin secara kebetulan sahaja. Tidak lebih dari itu. Selagi tiada usaha selagi itulah kejayaan yang diidamkan pasti tidak akan menjelma terus. Nak minta dan pohon bantuan orang, jangan haraplah sama sekali. Masing-masing nak lepas diri sendiri bagi mencapai komisen yang tinggi. Ini maknanya kita kena usaha sendiri, tidak bergantung kepada orang lain apa tah lagi mengharapkan rezeki turun dari langit begitu sahaja. Hanya mereka yang malas sahaja sanggup menunggu sebegitu. Tukarlah cara kerja kita, berusaha dengan lebih rajin lagi dan kesungguhan yang ada jangan hangat-hangat tahi ayam sahaja.

Bagi mendapatkan kualiti tersebut supaya kejayaan boleh diperoleh, perlulah kita melakukannya dengan melaksanakan perkara-perkara seperti berikut

i.                    Percaya kepada ketentuan Allah
Nak berjaya kena percaya pada ketentuan Allah. Allah minta kita berusaha, kita kena berusaha dan jangan sama sekali mengharapkan takdir dan tuah sahaja. Berniat dahulu untuk melakukan sebaik mungkin hanya kerana Allah SWT dan bukan kerana yang lain. Pohon kepada Allah agar diberikan kemudahan bukannya kesukaran, di lembutkan hati prospek/pelanggan yang ditemui, tabah menghadapi cabaran dan dugaan dan sebagainya yang sama sekali tidak membantutkan diri kita untuk mencapai kejayaan. Selagi kita yakin dan percaya Allah sentiasa bersama kita, insya-Allah ia nya pasti akan memudahkan lagi tugasan kita untuk melakukan jualan. Sabda Rasulullah SAW "Bila engkau meminta sesuatu, mintalah kepada Allah dan bila engkau meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah." (Hadis Riwayat Tirmidzi)
ii.                  Komitmen

Berikan komitmen, berikan kesanggupan kita untuk melakukan jualan. Disiplin kena ada. Tiada kesungguhan dan daya usaha yang tinggi bagaimana nak dapatkan komitmen kita. Komitmen bukanlah satu cara untuk menyedapkan hati kita untuk melakukannya. Tapi ia nya adalah cara dan kaedah untuk mencapai apa yang kita sanggup untuk melakukannya. Seperti orang hendak mengambil lesen memandu, komitmen adalah untuk mendapatkan lesen memandu tersebut dengan memberikan komitmen tidak kira apa juga halangan dan rintangannya, lesen tersebut mesti diperoleh. Begitulah kita yang melakukan tugasan kalau tidak sanggup tidak ada komitmen agak-agak bagaimana untuk kita hadapi tugasan jualan ini?

iii.                Impian

Semua kena bermula dengan impian. Impian kena besar supaya keputusan yang diperoleh sebesar impian yang dirancang. Tanpa impian kita tidak akan bergerak ke mana. Bila tiada impian pasti perancangan tidak sehebat mana. Bila perancangan main cincai sahaja sudah pasti tindakan yang diperoleh hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Kena bersungguh demi mencapai impian yang kita mahukan. Kena ada semangat yang membakar untuk kita sentiasa rela untuk tempuhi demi memastikan apa yang kita mahukan dan inginkan boleh dicapai dengan mudah dan senangnya. Kerana itu setiap impian yang dimahukan perlu dicatat dan ditulis dalam buku peribadi kita agar apa yang kita impikan tidak akan dilupai sama sekali dengan begitu mudah sama sekali.

iv.                 Melawan ketakutan

Umpama orang yang hendak pergi bertempur dan berperang. Kalau dah takut disuruh apa pun pasti tidak akan dilakukan. Mentalnya telah dipenuhi dengan hasutan tidak boleh melakukannya dan kalau buat pun pasti gagal. Inilah yang perlu ditentang dan dilawan dan jangan sama sekali dibiarkan bermaharajalela menguasai diri kita. Nyah kan dia cepat, perbetulkan semula niat kita agar diri kita sanggup menjadi seorang yang berani menentang elemen-elemen negatif ini supaya kejayaan boleh diperoleh. Selagi kita tidak bertindak dengan segera selagi itulah kita akan menjadi seorang yang gagal selama-lamanya.


Jangan rasa malu dan segan, merasa sangsi akan kebenarannya. Kejayaan yang datang perlu ada usaha yang konsisten dengan ketabahan dan kesabaran yang ada. Jangan sama sekali terpengaruh dengan bisik-bisik dari orang lain atau begitu terpengaruh dengan orang yang tidak berjaya. Nak mudah capai kejayaan cuma tiru, ‘copy and paste’ sahaja dari orang yang berjaya melakukannya, tak perlu fikir panjang. Ini bermakna kalau sesuatu perkara tersebut baik dan elok tidak salah untuk kita turut sama melakukannya. Mana yang baik dijadikan teladan mana yang tidak elok biarkan begitu sahaja. Jadi jangan di mulut sahaja katakan mahu berjaya tapi usaha dan kesungguhan yang sepatutnya langsung tidak melakukannya seperti mana yang diharapkan. Muhasabahlah sentiasa.

Jurujual yang ideal adalah makhluk yang sentiasa berubah. Kita hidup dalam dunia yang semakin kompetitif dan telus. Ini bermakna anda mesti mempunyai kemahiran dan gerak hati yang luar biasa untuk cemerlang” – Harvey Mackay, motivator

Tiada ulasan:

Catat Ulasan