Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Jumaat, 28 September 2012

KUASAI APA YANG SEPATUTNYA



Menguasai prospek/pelanggan amat di perlukan. Terutama semasa penutupan jualan. Kalau kita biarkan prospek/pelanggan yang menentukan segala-galanya dikhuatiri nanti apa yang kita hajati tidak kesampaian. Berhati-hati dan berwaspada sentiasa adalah lebih baik dari kita membiarkan situasi perundingan berlalu begitu sahaja. Tabah dan tenang amat dituntut. Jangan menggelabah tetapi sentiasa COOL dalam memberikan setiap maklum balas yang dikehendaki oleh mereka.

Untuk menguasai prospek/pelanggan yang ditemui dan yang sedang berhadapan dengan kita, perkara-perkara sebegini amat diperlukan iaitu

i.                     Jangan minta izin, teruskan sahaja

Tidak perlu lagi minta izin kalau sudah di pertengahan jalan. Lakukan secara yakin minta apa yang diperlukan asalkan saja kita ketahui apa yang mereka mahukan. Tunjukkan kesungguhan kita untuk membantu sebaik yang mungkin apa yang produk kita boleh lakukan kepada mereka. Jangan merasa mudah kecewa kerana untuk menguasai mereka kena lakukan secara serius dan bersungguh-sungguh terhadap mereka.

ii.                   Ketepikan apa yang menghalang

Semakin kuat prospek/pelanggan melakukan halangan jualan bermakna semakin hampir kita kepada penutupan jualan. Halangan mereka bermakna mereka ingin mendapatkan kepastian sama ada produk yang ditawarkan kepada mereka benar-benar boleh membantu menyelesaikan permasalahan mereka atau tidak. Yakinkan mereka berikan kepuasan apa yang mereka mahukan. Sudah pasti pada akhirnya termeterai juga penutupan jualan seperti mana yang di mahukan

iii.                  Kekalkan fokus

Teruskan penghayatan terhadap prospek/pelanggan yang berada di hadapan kita. Tanamkan keyakinan sepatutnya. Jangan goyang atau mudah luntur. Apabila kita fokus dengan apa yang kita lakukan bermakna prospek/pelanggan menyedari betapa kita bersungguh dalam melakukan tugasan menjual terhadap mereka. Ini akan memberikan keyakinan yang tinggi terhadap mereka untuk lebih mempercayai apa yang kita perkatakan kepada mereka. Bila mereka dah percaya sekurang-kurangnya 90% tugas jualan kita pasti berjaya juga kita peroleh.

iv.                 Jangan mudah mengalah

Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Teruskan sahaja usaha yang ada. Jangan dibiarkan seperti hangat-hangat tahi ayam. Teruskan apa yang kita lakukan kerana prospek/pelanggan sememangnya telah mengetahui yang kita tengah menjual kepada mereka. Kita bukan mencuri hak mereka atau merampas apa yang mereka punyai. Hanya dapatkan persetujuan mereka untuk menerima tawaran kita. Selagi kita gagal peroleh persetujuan mereka selagi itulah kita tidak akan berjaya.

v.                   Bergerak bersama dengan orang yang inginkan kejayaan

Kalau hendak sentiasa bersemangat dan bermotivasi pastikan kita berkawan dengan mereka-mereka yang berjaya melakukan jualan. Berkawan dengan orang yang berjaya sudah pasti lambat laun kita kan berjaya juga. Perumpamaan ini ada di jelaskan oleh Rasulullah SAW bermaksud "Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang tidak baik seumpama seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api). Pengedar minyak wangi sama ada ia memberi anda sebahagian atau anda membeli bau-bauan daripadanya atau sekurang-kurangnya anda mendapat juga baunya. Manakala tukang besi pula sama ada ia menyebabkan baju anda terbakar atau anda mendapat bau yang busuk." (Riwayat Abu Daud)

vi.                 Tahu apa yang kita lakukan

Apabila kita telah yakin dengan pengetahuan produk segala kelebihan, manfaat dan ciri-cirinya itu sudah memadai. Tidak perlu terlalu komplikasi sehingga memeningkan kepala orang yang  mendengarnya. Biarkan ringkas, jelas dan padat akan apa maklumat yang ingin kita sampaikan. Jangan berjela-jela panjangnya kelak apabila prospek/pelanggan mendengarnya sudah pasti memberikan satu situasi yang membosankan dan melecehkan pula kepada mereka.



Pastikan jangan terlalu mudah membuat andaian atau syok sendiri merasakan apa yang kita lakukan orang sentiasa berminat dengan apa yang telah kita terangkan. Kerana itu kena banyak bertanya ketahui kaedah terbaik untuk membantu orang apa yang di perlukan. Jangan main hentam kromo sahaja. Kita tunjukkan yang kita benar-benar ingin membantu sudah pasti kita boleh memikat hatinya. Jangan berputus asa di tengah jalan kerana sampai bila pun penutupan jualan sudah pasti akan gagal untuk diperoleh. Teruskan usaha lipat gandakan lagi tenaga secara konsisten agar hasil yang dikehendaki akan membuahkan seperti mana yang kita mahukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan