Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Sabtu, 22 September 2012

Konsistensi amat diperlukan



Sedih melihatnya apabila melihatkan prestasi yang ditunjukkan. Bila masa pencapaian dah jadi terbaik bulan lepas tiba-tiba sahaja terus merudum tak tentu hala prestasi yang ditunjukkan. Langsung tiada konsisten dan ketetapan dalam melakukan jualan seperti mana yang diharapkan. Tak tahu di mana silapnya. Tak tahu apa lagi yang tak kena dan tak tahu siapa yang perlu dipersalahkan.

Jualan merupakan satu permainan angka. Angka yang dikehendaki kalau tidak ditentukan dan dijaga dengan baiknya sudah tentu akan merudum jatuh. Apabila melakukan tugasan jualan kena ada kesungguhan untuk melakukannya. Memasuki bidang ini janganlah jadi ‘hangat-hangat tahi ayam’. Sekejap sahaja panasnya. Perlu ada perancangan yang betul dan saksama supaya tindakan yang kita lakukan sentiasa konsisten, berdaya maju dan mampu memperoleh mencapai sasaran setiap bulan.

Mungkin, perkara-perkara sebegini perlu kita renungkan semula dalam memastikan konsistensi melakukan tugasan jualan dapat dipulihkan semula agar berterusan pengekalannya sampai bila-bila. Antaranya adalah

i.                    Rancang terlebih dahulu
Nak lakukan apa-apa tindakan sekalipun kena ada perancangan bukan main buat sesuka hati sahaja. Perancangan kalau nak dibuat bukan setakat untuk setahun sekali punya aktiviti sahaja. Kena ada perancangan untuk bulanan, mingguan dan harian yang boleh membantu tugasan mencapai sasaran tahunan yang diberikan. Perancangan kena betul dan jitu mengikut apa yang telah disarankan oleh pihak pengurusan. Bukan main ikut apa yang kita suka tanpa mengetahui terlebih dahulu apa yang diperlukan oleh mereka. Adat orang makan gaji arahan orang atasan perlu di ikuti kerana mereka penentu dasar dan peraturannya manakala kita pula kena ikut apa yang dikehendaki mereka boleh dicapai secara efektifnya pula.

ii.                  Pengurusan masa
Ketahui kepentingan tugasan kita terlebih dahulu. Mana satu yang penting perlu diselesaikan segera dan yang mana satu boleh untuk kita tangguhkan sebentar. Yang penting jangan sama sekali kita anggap semuanya penting sehingga kita langsung tidak ambil tahu apa kepentingan sebenarnya di mata pihak pengurusan ataupun pelanggan. Bila dah ada penangguhan diberikan jangan terus buat tidak tahu sahaja, macam tak penting buat selama-lamnya pula. Kena pandai lakukan pengurusan masa sewajarnya.

iii.                Stok prospek yang mencukupi
Sama ada kita terlalu mengharapkan kedatangan prospek ke premis kita merasakan itu sudah memadai dari kita mencari prospek untuk tujuan sebenar kita. Sepatutnya bila kita yang buat jualan, pelanggan perlu dicari. Nak cari mereka, perlukan pangkalan data yang banyak dan tersedia ada. Jangan main mengharapkan kedatangan mereka ke premis kita sahaja. Kalau datang pun anggaplah ianya mungkin satu bonus anugerah Allah kepada kita. Jangan pula mengharapkan bos kita pula memberikan kes kepada kita sebagai tanda bos kita itu benar-benar ambil berat kepada kita. Berubahlah kepada cara tugasan jualan yang nyata. Jangan terlalu asyik dengan menunggu suapan dari orang lain sahaja tanpa adanya usaha yang bersungguh dan berdikari dengan curahan tenaga dari kita sendiri. Kerana nak fikirkan yang senang sahaja langsung kita tak ambil berat langsung tentang budaya sebenarnya cara kita memberikan khidmat sewajarnya kepada pelanggan dan majikan kita sendiri.

iv.                 Tiada yang mustahil
Mereka mengambil kita bekerja menandakan yang mereka benar-benar yakin dan percaya yang kita sudah pasti boleh melakukan tugasan jualan memenuhi sasaran yang diberikan. Bukan mengharapkan gaji bulanan yang setimpal dan memperoleh komisen yang banyak. Majikan tahu ianya tidak ada sesuatu yang mustahil untuk kita lakukan. Kalau tidak tak kan kita boleh diambil bekerja di sini. Berazamlah dan berubah perangai dan kelakuan kita untuk melakukan yang terbaik lebih baik dari kakitangan jualan yang terbaik pernah ada di sini.

Jangan mengecewakan hati dan perasaan orang yang sentiasa mengharapkan prestasi terbaik dari kita. Mereka dah percaya kepada kita tapi malangnya kita pula yang tidak memberikan semula kepercayaan tersebut kepada mereka. Ini kah caranya kita membalas budi baik dan jasa mereka hanya semata-mata mereka telah mula memberikan kepercayaan tersebut kepada kita? Jangan jadi seperti kacang lupakan kulit, bila masa susah dan tersepit pelbagai janji ditaburkan untuk memberikan khidmat yang terbaik tetapi bila dah senang lenang segala janji manis yang ditaburkan terus dilupai begitu sahaja. Alangkah sedihnya.

Daripada Abu Hurairah ra, Nabi SAW bersabda yang bermaksud “Tiga petanda orang munafik; apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia memungkirinya, apabila diberi amanah dia mengkhianatinya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bertindak segera, belajar demi perubahan biar ada ketetapannya dalam melakukan tugasan jualan menjadi seorang yang sentiasa konsisten dan dahagakan pencapaian terbaik demi menjaga karier dan periuk nasi kita semasa berada di bawah naungan organisasi tempat kita bernaung. Kalau kita tidak memulakannya dahulu, agak-agak siapa kalau bukan kita sendiri juga. Dakilah tangga setinggi yang boleh dan termampu kerana setiap usaha itu adalah tangga kejayaan bukan kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan