Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Rabu, 5 September 2012

Sebelum bertemu sebelum menjual



Mendapatkan perhatian dari prospek/pelanggan ketika melakukan pertemuan amat di perlukan. Nak dapatkan minat seseorang ke atas kita perlukan kemahiran sewajarnya. Jangan nak main sesuka hati dan hentam kromo begitu sahaja. Ada bezanya pertemuan antara kenalan kita dengan prospek/pelanggan yang ditemui. Biar mereka kenal siapa kita dahulu sebelum mereka ketahui apa yang boleh kita bantu kepada mereka. Kerana itu semakin kita berilmu dan berpengalaman semakin memudahkan lagi tindakan kita sepatutnya.

Berikut adalah langkah-langkah untuk memudahkan lagi kita tindakan kita bagi menarik minat dan mendapatkan kepercayaan segera prospek/pelanggan yang ditemui. Kita lakukan merupakan satu bonus kepada diri kita sendiri perbaiki mana-mana kelemahan yang ada. Langkah-langkah tersebut adalah

i.                    Bacalah Bismillah dan beri salam sewajarnya

Kena lakukan. Diwajibkan. Sebagai seorang Muslim jangan dilupakan sama sekali. Ingat Allah dahulu sebelum ingat perkara lain. Kerana itu kita di saran mengucapkan Bismillah di awal perbuatan kita. Andai kata bertemu dengan orang Muslim yang lain jangan sama sekali dilupakan memberi salam kepadanya. Doakan kebahagiaan dan kesejahteraan terlebih dahulu kepadanya agar ia nya mudah berlembut hati atas kehadiran diri kita. Bagi yang bukan Muslim ucapkan selamat pagi/petang kepadanya. Sentiasa ingat apa yang kita perkatakan itu adalah satu doa dan doa itu adalah senjata paling terbaik buat orang-orang Mukmin semuanya.

ii.                  Penampilan diri

Buat SALES tolong jangan selekeh. Tolong jangan berserabut. Sentiasa kemas dan bergaya. Orang dulu cakap ’biar papa asal bergaya’ tapi bagi orang sekarang ‘Gaya kena ada beb baru masyuuuk’. Ini yang perlu dilakukan. Buat pelaburan sedikit membeli pakaian yang baik dan baru untuk digunakan sebagai satu dari umpan untuk memikat orang apabila melakukan jualan. Kita lakukan pasti tidak akan rugi apa-apa pun.

iii.                Sentiasa hormat-menghormati

Belajar hormat kepada orang yang ditemui walaupun kadang-kadang kita terpaksa bertemu dengan orang kita yang tidak suka atau benci. Demi melakukan jualan tolak semuanya ke tepi dahulu. Dapatkan dan peroleh sebanyak yang mungkin penutupan jualan. Kalau kita asyik fikirkan orang itu dan orang ini sahaja yang ingin kita temui maka semakin sempitlah peluang kita untuk mendapatkan pelanggan dan penutupan jualan untuk kita. Selagi kita terlalu berkira untuk bertemu selagi itulah Allah akan terlalu berkira memberikan rezekinya kepada kita.

iv.                 Sentiasa ikhlas dan jujur

Perbetulkan hati kita dahulu. Buang mana-mana yang sepatutnya tidak elok kita amalkan. Belajar menjadi seorang yang ikhlas dan jujur sejujur yang boleh. Perkara ini bukannya semula jadi dalam diri kita tetapi kena ada niat yang baik dan betul untuk dilakukan. Apabila kita ikhlas dan jujur lagi mudah prospek/pelanggan percaya kepada kita dan membolehkan satu lesen kepada kita bagi mereka mendengar apa juga yang kita perkatakan.

v.                   Berlemah lembut

Jangan berkasar apa tah lagi bertegang leher. Berlemah lembut dalam semua hal yang dihadapi. Bukan disuruh menjadi orang yang lembut macam sotong tu. Berlemah lembut berhemah dalam mengeluarkan kata-kata dan perbuatan. Beri keyakinan kepada prospek/pelanggan dahulu. Seperti orang memancing, pegang kail supaya air tidak berkocak dan duduk diam-diam supaya ikan tidak menyedari yang ada di hadapannya adalah satu umpan kepadanya. Kerana itu jangan berkasar dan bersikap sombong kerana ia nya tidak ke mana. Nak bagi laku jualan kita kena ubah mana yang negatif yang ada pada diri kita.

vi.                 Niat untuk membantu dan beri manfaat kepada nya
Tolong orang. Beri bantuan. Itu yang sewajarnya. Jangan fikirkan dahulu apa manfaat yang bakal kita peroleh tapi fikirkan dahulu apa manfaat mereka yang boleh mereka dapati. Itu baru betul. Kerana terlalu ghairah nak cari pendapatan lebih dan banyak langsung kita ketepikan perkara sepatutnya. Semakin kita membantu orang dan berikan manfaat kepada prospek/pelanggan kita semakin banyak Allah akan bantu kita dapatkan apa pula yang kita hajati selama ini. Jangan risau untuk perbetulkan nawaitu kita supaya apa yang kita lakukan pasti kemudian hari di balas juga dengan sebaik yang mungkin.

Nak hasil kena perbetulkan diri kita terlebih dahulu. Jangan main suka-suka hati sahaja. Perbetulkan dahulu agar prospek/pelanggan merasa selesa dengan kehadiran diri kita. Perbaiki mana-mana yang lemah supaya apabila kita bertemu dengan mereka kita boleh mengurangkan kesilapan dan kesalahan yang sepatutnya. Jangan anggap ia nya sebagai satu beban tetapi jadikanlah ia sebagai satu tindakan wajib yang perlu kita lakukan. Tidak ada sesiapapun boleh merubah diri kita melainkan kemahuan dan kehendak dari diri kita sendiri. Jangan rasa malu untuk berubah asalkan ia nya boleh membawa kepada kebaikan demi karier diri kita sendiri. Teruskan segala usaha agar apa yang dilakukan sentiasa diberkati oleh Allah SWT.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan