Nabi Allah Adam dan Hawa dengan ketentuan Allah SWT telah memberikan zuriat
yang pertama kepada manusia di mana Siti Hawa melahirkan kembar dua pasang.
Pertama lahirlah pasangan Qabil dan adik perempuannya yang diberi nama Iqlima,
kemudian menyusul pasangan kembar kedua Habil dan adik perempuannya yang diberi
nama Lubuda. Di bawah naungan ayah ibunya yang penuh cinta dan kasih sayang
maka membesarlah keempat-empat anak itu dengan cepatnya melalui masa
kanak-kanak dan menginjak masa remaja. Yang perempuan sesuai dengan kudrat dan
fitrahnya menolong ibunya mengurus rumah tangga dan mengurus hal-hal yang
menjadi tugas wanita,sedang yang laki-laki menempuhi jalannya sendiri mencari
nafkah untuk memenuhi keperluan hidupnya. Qabil berusaha dalam bidang pertanian
sedangkan Habil di bidang penternakan.
Kepada Nabi Adam Allah memberi ilham dan petunjuk agar kedua puteranya
dikahwinkan dengan puterinya. Qabil dikahwinkan dengan adik Habil yang bernama
Lubuda dan Habil dengan adik Qabil yang bernama Iqlima. Cara yang telah di
ilham oleh Allah, kepada Nabi Adam telah disampaikan kepada kedua puteranya
sebagai keputusan si ayah yang harus dipatuhi dan segera dilaksanakan untuk
menjaga dan mengekalkan suasana damai dan tenang yang meliputi keluarga dan
rumah tangga mereka. Akan tetapi dengan tanpa diduga dan disangka rancangan
yang diputuskan itu telah ditolak mentah-mentah oleh Qabil dan menyatakan
bahawa ia tidak mahu mengahwini Lubuda, adik Habil dengan mengemukakan alasan
bahawa Lubuda adalah hodoh dan tidak secantik adiknya sendiri Iqlima. Ia
berpendapat bahawa ia lebih patut mempersunting adiknya sendiri Iqlima sebagai
isteri dan sekali-kali tidak rela menyerahkannya untuk dikahwinkan dengan
Habil.
Kerana Qabil tetap berkeras kepala tidak mahu menerima keputusan ayahnya
dan meminta supaya dikahwinkan dengan adik kembarnya sendiri Iqlima maka Nabi
Adam seraya menghindari penggunaan kekerasan atau paksaan yang dapat
menimbulkan perpecahan di antara saudara serta mengganggu suasana damai yang
meliputi keluarga beliau secara bijaksana mengusulkan agar menyerahkan masalah
perjodohan itu kepada Tuhan untuk menentukannya. Caranya ialah bahawa masing-
masing dari Qabil dan Habil harus menyerahkan korban kepada Tuhan dengan
catatan bahawa barang siapa di antara kedua saudara itu diterima korbannya dia
lah yang berhak menentukan pilihan jodohnya sendiri.
Qabil dan Habil menerima baik jalan penyelesaian yang ditawarkan oleh
ayahnya. Habil keluar dan kembali membawa peliharaannya sedangkan Qabil datang
dengan sekarung gandum yang dipilih dari hasil cucuk tanamnya yang rosak dan
busuk kemudian diletakkan kedua korban itu kambing Habil dan gandum Qabil di
atas sebuah bukit lalu pergilah keduanya menyaksikan dari jauh apa yang akan
terjadi atas dua jenis korban itu. Kemudian dengan disaksikan oleh seluruh
anggota keluarga Adam yang menanti dengan hati berdebar apa yang akan terjadi
di atas bukit di mana kedua korban itu diletakkan, terlihat api besar yang
turun dari langit menyambar kambing binatang korban Habil yang seketika itu
musnah ternakan oleh api sedang karung gandum kepunyaan Qabil tidak tersentuh
sedikit pun oleh api dan tetap tinggal sebegitu sahaja keadaannya.
Maka dengan demikian keluarlah Habil sebagai pemenang dalam pertaruhan itu
kerana korban kambing telah diterima oleh Allah sehingga dialah yang mendapat
keutamaan untuk memilih siapakah di antara kedua gadis saudaranya itu yang akan
dipersandingkan menjadi isterinya.
Dengan hasil keputusan dari langit yang menerima korban Habil dan menolak
korban Qabil maka ranaplah harapan Qabil untuk mempersandingkan Iqlima. Qabil
yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu namun tidak ada jalan untuk
menyoalkan dan melakukan bantahan. Ia menyerah dan memerainya dengan rasa kesal
dan amat marah sambil menaruh dendam terhadap Habil yang menyimpan niat
terpaksa dibunuhnya juga satu hari nanti.
Qabil yang dikendalikan oleh Iblis tidak diberinya kesempatan untuk menoleh
ke belakang mempertimbangkan kembali tindakan jahat yang di rancang kan
terhadap saudaranya, bahkan bila api dendam dan kedengkian di dalam dadanya
mulai akan padam mula di pengaruhi semula oleh si Iblis agar tetap membara dan
ketika Qabil bingung tidak tahu bagaimana ia harus membunuh Habil saudaranya,
menjelmalah Iblis dengan seekor burung yang dipukul kepalanya dengan batu
sampai mati. Contoh yang diberikan oleh Iblis itu diterapkannya atas diri Habil
di kala ia tidur dengan nyenyaknya dan jatuhlah Habil sebagai korban keganasan
saudara kandungnya sendiri dan sebagai korban pembunuhan pertama dalam sejarah
manusia. Satu kisah pengajaran yang Allah berikan kepada kita dalam Al-Quran
surah Al-Ma’idah Ayat 27 hingga Ayat 32.
Itulah
pengajaran dan iktibar yang perlu kita ketahui. Bukan setakat seronok membaca
satu sejarah yang pernah berlaku dan terjadi sahaja tetapi mengetahui apa yang
sebenarnya boleh kita ambil sebagai satu peringatan dan iktibar kepada diri
kita sendiri. Nama mereka tidak dinyatakan Allah dalam Al-Quran. Watak dan ciri
mereka lebih penting daripada nama bagi mengetahui ciri-ciri yang perlu bagi
kita ketahui sama ada yang mana satu yang perlu kita ikuti dan yang mana satu
pula kita perlu tinggalkannya pula.
Terdapat
ciri-ciri ke Habil an dan ke Qabil an yang berlaku sepanjang zaman dan kita
perlu ketahui ciri-ciri tersebut. Antaranya
CIRI –CIRI KE HABIL AN
|
CIRI-CIRI
KE QABIL AN
|
Ketaatan terhadap Allah
|
Berani
menolak hukum Allah
|
Hukum Allah di jaga dan dipelihara
|
Nafsu
mengatasi hukum Allah
|
Taat setia kepada ibu bapa
|
Derhaka
kepada Ibu bapanya
|
Merujuk dahulu sebelum melakukannya
|
Merasakan
diri nya betul sentiasa
|
Melakukan yang terbaik (korban)
|
Tidak lakukan
yang terbaik ( korban)
|
Mengikuti perjanjian yang ditetapkan
|
Ingkar
kepada perjanjian
|
Menjaga tatasusila segala perbuatannya
|
Melampau
dalam tindak tanduknya
|
Tidak mudah terpengaruh
|
Mudah
terpengaruh dengan bisikan
|
Inilah akibatnya apabila kita terlalu mengikuti
hati dan perasaan kita yang tidak tentu hala hujung pangkalnya. Tindakan kita perlu di elakkan dari menjadi
ke Qabil an agar tugasan kita dalam bidang jualan ini dapat dilakukan sebaik
dan sesempurna yang mungkin. Jangan diturutkan logik akal sahaja tapi turut
menjadikan juga Islam sebagai satu sumber rujukan yang pasti untuk kita semua
apabila melakukan sebarang tindakan. Ini adalah kerana kita adalah seorang
hamba Allah yang dijadikan dan diwujudkan di muka bumi ini yang terlalu banyak kekurangannya
sama sekali. Jadi fikirkanlah demi kebaikan diri kita sendiri sama ada mahu
menjadikan diri kita seperti Habil atau Qabil. Anda sendiri yang
menentukannya.