Firman
Allah bermaksud ‘Masa yang
diwajibkan berpuasa ialah bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran,
menjadikan pertunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan
yang menjelaskan pertunjuk serta menjadi pembeza (antara yang benar dengan yang
salah). (Oleh itu), sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan
(atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu". (Surah Al-Baqarah: 185)
Sabda Nabi s.a.w. yang
bermaksud: "Islam didirikan di atas lima perkara iaitu Bersaksi
bahawa tidak ada tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah SWT dan
sesungguhnya Nabi Muhammad SAW. itu adalah utusan Allah SWT, mendirikan solat,
mengeluarkan zakat, menunaikan haji ke Baitullah dan berpuasa di bulan Ramadan."
(Hadis Riwayat Ahmad dan Syaikhani)
Begitu juga sabda Nabi Muhammad
SAW kepada A'rabi (Arab Badawi) yang telah bertanya kepada Baginda SAW
bermaksud "Beritahu kepada aku puasa yang telah difardhukan oleh Allah
ke atas aku?" Jawab Nabi Muhammad SAW "Puasa
bulan Ramadan". (Hadis Riwayat al-Bukhari dan
Muslim)
Jumaat yang lalu semasa mendengar Khutbah Jumaat di Masjid Sultanah Bahiyah
Alor Setar pada 20hb Julai 2012 yang lepas, khatib membicarakan tentang
persiapan anak kariah bagi persiapan menghadapi Ramadhan yang bakal menjelma
tidak lama lagi. Antara yang di sentuh oleh khatib pada waktu itu adalah satu
peringatan kepada semua yang mendengar sebagai satu persediaan dalam menghadapi
kedatangan Ramadhan bulan yang penuh keberkatan iaitu dengan
i.
Ketahui peraturan dahulu
Bukan sekadar menahan diri dari makan dan minum selepas waktu solat subuh
hingga ke waktu maghrib sahaja tetapi kena ketahui pada Rukunnya, sunahnya, apa
perkara yang membatalkan puasa dan apa yang digalakkan untuk dilakukannya
semasa Ramadhan. Semuanya kena ketahui dahulu. Jangan main ikut orang lain buat
kita pun buat sama. Elakkan sama sekali. Tak tahu kena belajar dari orang yang
mengetahuinya. Tiada istilah segan atau malu untuk belajar ilmu Allah ini.
Begitulah juga dalam jualan, jangan main suka hati sahaja nak buat jualan
kepada prospek/pelanggan. Kena ketahui dahulu apa peraturan majikan telah tetapkan.
Apa pula peraturan yang telah ditentukan oleh pihak berkuasa. Tiada istilah
main hentam kromo sahaja. Apa yang boleh apa yang dibenarkan kena ambil tahu
sama ada suka ataupun tidak. Kita yang hendak menceburi bidang ini, kita
jugalah yang kena ambil tahu dahulu tentang apa yang sepatutnya kita lakukan. Ambil
berat tentang hak pengguna, ketahui hak kita sebagai orang yang melakukan
jualan dan apa kontrak-kontrak yang perlu diketahui terlebih dahulu. Beringat
dahulu adalah lebih baik dari melakukan ikut sesuka hati sahaja.
ii.
Jaga lah kesihatan
Sempena kedatangan Ramadhan ini, kesihatan diri perlu dijaga. Nak buat amal
ibadah kesihatan diri kena TIP TOP dahulu agar setiap ibadah kita senang untuk
dilakukan dan mudah untuk dilaksanakan. Semakin kita sihat semakin banyak dan
mudah lagi bagi diri kita melakukan yang terbaik segala amal ibadat baik secara
fardu mahupun yang sunah.
Dalam jualan, di masa badan sihat
walafiat inilah untuk kita pulun melakukan sebaik mungkin bagi dapatkan
penutupan jualan sebanyak yang termampu. Selagi kesihatan badan yang sihat
inilah kita pergunakan sebaik mungkin bagi memperoleh komisen setinggi yang
termampu tanpa berbelah bagi. Bila dah sakit nanti macam mana? Memang susah dan
sukar untuk bergerak. Jadi sentiasa jaga kesihatan diri agar sentiasa berada
pada tahap yang maksimum untuk kita pergunakan diri kita melakukan tugasan
dengan sebaik yang mungkin.
iii.
Persiapkan kewangan sendiri
Bulan Ramadhan adalah bulan terbaik untuk kita melakukan amal jariah,
bersedekah sebanyak yang termampu di samping tidak lupa mengeluarkan zakat
fitrah untuk diri sendiri dan keluarga yang di tanggung. Terdapat banyak
ganjarannya perhebatkan lagi menjadi seorang yang dermawan di bulan Ramadhan
ini. Setiap apa yang keluar dari diri
kita dibelanjakan ke jalan Allah sudah pasti bukan ganjaran sahaja yang akan
Allah balas balik kepada kita tetapi semakin banyak Allah akan limpahkan rezeki
yang banyak terhadap kita.
Jangan kerana terlalu mengejar komisen dan pendapatan tambahan kita akan menjadi
lupa yang setiap sen yang kita peroleh sepatutnya sedikit sebanyak ada
peruntukkan dari diri kita sendiri untuk diberikan kepada orang lain sebagai
satu amal jariah sedekah kepada sesiapa yang memerlukannya, memberikan beberapa
penghargaan kepada orang yang membantu kita dalam melakukan jualan dan
cenderamata kepada prospek/pelanggan bagi mendapatkan lagi referral dengan
lebih mudah lagi. Peruntukkan sedikit dari kita amat diperlukan sama sekali
tentang pelaburan ini. Makin banyak kita memberi lebih banyak yang akan Allah SWT
bantu untuk diri kita
iv.
Ketahui ganjaran yang bakal di peroleh
Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan kerahmatan dan keberkatan
dari Allah SWT. Banyak sungguh ganjarannya tanpa kita sedari yang Allah akan
berikan kepada kita asalkan kita tetap taat dan patuh untuk melakukan dengan
lebih ekstra lagi. Kita lakukan sudah pasti ganjaran demi ganjaran yang Allah
akan berikan pada kita.
Usaha tangga kejayaan. Tanpa usaha yang gigih dan rajin bagaimana kita
boleh memperoleh ganjaran seperti mana yang dikehendaki. Jangan mudah iri hati
kepada orang yang telah berjaya peroleh pendapatan yang tinggi dari kita andai
kata usaha kita tidak ke mana. Berusahalah seperti mana orang lain lakukan.
Kalau mereka boleh memperoleh pendapatan yang tinggi dan mewah kenapa kita
tidak sama sekali boleh untuk melakukannya.
v.
Fahami promosi-promosi yang ada
Bulan Ramadhan ini jangan terlalu leka dengan promosi jualan-jualan murah
dan hebat yang diadakan di sekitar tempat tinggal kita ini. Jangan kerana
terlalu leka dan mengejar segala promosi dunia langsung kita lupakan pula
tentang promosi-promosi dari Allah SWT. Sibuk nak buat persiapan hari raya
langsung kita ketepikan pula amalan kita di bulan Ramadhan ini terutamanya di sepuluh
hari terakhir di hujung Ramadhan nanti.
Kadang-kadang kita terlalu risau dan takut dengan promosi-promosi dari
pihak pesaing kita tanpa kita sedari yang kita juga mempunyai produk yang baik
dan sebaik-baik penerimaan dari prospek/pelanggan kita. Selagi kita sendiri
tidak berkempen mempromosikan dia dengan sebaik mungkin selagi itulah
prospek/pelanggan masih tidak mengetahui yang kita mempunyai produk yang
terbaik di pasaran. Jangan hiraukan pesaing tapi hiraukan tentang
prospek/pelanggan yang sepatutnya kita peroleh.
Lakukan dengan sebaik
mungkin dan jangan sama sekali dihiraukan apa juga masalah, halangan dan dugaan
yang mendatang. Berusaha dengan lebih keras dan konsisten setiap masa agar
segala apa yang kita lakukan dibolehkan kita memperoleh keputusan yang terbaik
selalu seperti mana yang kita idamkan. Jangan lupa Ramadhan yang mulia ini
dijadikan sebagai satu alasan yang konkrit untuk payah dan halangan melakukan
jualan. Perut lapar dan tekak dahaga dijadikan sebab musabab yang mengelakkan
diri kita bertemu dengan prospek/pelanggan. Biarlah jatuh seketika asalkan
tidak berpenat untuk berpuasa. Adakah ini amalan yang betul sebagai seorang
Muslim dan kakitangan jualan yang benar-benar menjaga karier jualannya?
Sibukkanlah diri kita di bulan Ramadhan lebih banyak melakukan jualan dari
lebih sibuk memikirkan tentang apa alasan yang perlu diberikan. Nak berjaya
senang sahaja iaitu usaha secara konsisten tanpa berbelah bagi dalam apa juga
keadaan dan situasi yang di lalui. Itu sahaja yang boleh membezakan antara
orang yang berjaya ataupun tidak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan