Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Khamis, 26 Julai 2012

Elakkan 5 Perkara Negatif


Melakukan tugasan amat memerlukan kita bersikap positif dan cenderung kepada kesungguhan yang ada. Jangan ada siapapun yang boleh mempengaruhinya apatah lagi perkara-perkara yang boleh mendatangkan kekenduran semangat untuk melakukan tugasan. Melakukan tugasan jualan juga perlu ada satu motivasi diri yang tinggi sebagai bekalan penaik semangat dan kecenderungan melakukan tugasan seperti yang di kehendaki. Tanpa bersikap positif apatah lagi motivasi diri sendiri yang kuat dan kukuh sememangnya diri kita akan mudah menjadi layu dan tumbang begitu sahaja terutama sekali apabila berhadapan dengan masalah, cabaran dan dugaan yang mendatang.

Dalam menghadapi situasi yang sebegini kita amat disarankan agar dapat menjauhkan diri kita dari lima unsur seperti berikut iaitu

i.                    Elakkan mendengar dan ambil berat berita-berita sensasi

Jangan di latih dan di ajar  diri kita mendengar terlebih dahulu tentang berita-berita yang tersebar di media-media elektronik ataupun di media-media cetak terlebih dahulu. Elakkan dia sama sekali. Banyak berita-berita yang lebih kearah yang menakutkan dan memberi satu tanggapan yang tidak baik keatas diri kita kelak. Tidak kira siaran atau akhbar mana di awal pagi cuba elakkan dahulu. Sebaik-baiknya bagi membina minda yang baik dan sihat gantikan sahaja samada mendengar bacaan orang-orang menggaji Al-Quran atau ceramah-ceramah ugama atau motivasi. Pendengaran muzik juga boleh dilakukan terutama sekali apabila kita berada di dalam kenderaan. Sesuatu yang positif akan meransang minda kita menjadi positif. Bila dah positif kecenderungan untuk bertugas bermakna lebih bersemangat dan bersungguh untuk melakukannya.

ii.                  Elakkan bergaul dengan orang-orang yang negatif

Bertemu dan bergaul dengan orang-orang yang berpandangan dan mempunyai sifat dan sikap yang negatif akan menjadikan seseorang itu

·         Suka komplen tidak tentu pasal

·         Terikut-ikut dengan kemalasan yang di tunjukkan

·         Mempengaruhi untuk tidak bersemangat lakukan tugasan

·         Tersebar perkara-perkara yang tidak baik untuk didengari

·         Sentiasa mencari jalan tugasan yang dilakukan berbaloi dengan pendapatan yang diterimanya setiap bulan

·         Menjadikan kepentingan diri sendiri mengatasi segala-galanya

Elakkan sama sekali. Walaupun sahabat baik, rakan sekerja sehidup semati atau jiran tetangga yang mengambil berat  dan prihatin namun perlu berhati-hati supaya kita tidak sama sekali sewenang-wenangnya mudah terpengaruh. Bergaullah dengan orang-orang yang berjaya dan sentiasa berikan nasihat dan pandangan yang berguna bukan setakat dalam bidang tugasan jualan ini sahaja tetapi juga tentang kehidupan kita. Dalami sekali ilmu pengetahuan kita setidak-tidaknya membaca buku-buku motivasi, jualan dan agama yang melambak-lambak di jual di pasaran. Sasarkan agar kita rajin membaca buku sekurang-kurangnya sebuah buku setiap bulan.

iii.                Takut kepada kegagalan

Perasaan takut adalah sesuatu tanda yang positif, kerana mereka yang sudah berjaya pada masa kini sebenarnya mempunyai perasaan takut untuk gagal, tetapi akhirnya mereka berjaya. Jadi tidak ada sebab mengapa kita perlu rasa takut kepada kegagalan, kerana kegagalan adalah permulaan menemui kejayaan. Perasaan takut boleh mendorong kita untuk maju bukan menjadi terhalang, di halang dan penghalang kepada kita. Biarkan perasaan takut itu mengajar kita sesuatu agar menjadi berani, tabah dan bersiap sedia. Tetapi jangan biarkan perasaan takut itu menghalang dan menahan perjalanan kita, ketika perasaan itu menahan dan menghalang kita, cuba perhatikan dan teliti apa sebenarnya yang membuat kita amat takut, pasti akan menemui satu jawapan yang akan memberanikan kita terus bergerak ke hadapan tanpa menoleh ke belakang lagi.

iv.                 Mudahnya menjadi bongkak dan takabbur

Rasulullah memerintahkan umat Islam supaya bersifat dengan sifat tawadduk bukannya takabbur atau bercakap besar. Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah memberi wahyu kepadaku, supaya kamu bersifat tawaduk, sehingga tidak ada seseorang sanggup menganiaya orang lain dan menunjukkan sikap berbangga diri (sombong) kepada orang lain.” (Hadis riwayat Muslim). Ubahlah dengan segera walaupun agak sukar untuk melakukannya. Mencari ilmu, berguru dan berkawan dengan orang yang sepatutnya. Selagi kita bongkak,ego,sombong, takabbur dan bangga diri selagi itulah kita tidak akan kemana. Semakin ramai pula akan menjauhkan diri mereka dari bertemu dan bersua dengan kita. Bagaimana kita hendak melakukan jualan jika kita sentiasa bersikap begini? Tepuk dada tanyalah selera.

v.                   Elakkan dari terlalu mementingkan diri

Pentingnya kenapa tidak mementingkan diri sendiri sahaja. Pasti akan menanam sikap tamak haloba dan tidak mahu membantu dan menghulurkan sebarang bantuan kepada orang lain. Bila kita mementingkan diri apa saja yang kita lakukan hanya benar dan betul sahaja di hati kita, membiarkan rakan sekerja kita jatuh kebawah tanpa menghiraukan dia dan segala keperluan pelanggan akan disisihkan yang penting penutupan jualan berjaya di perolehi. Firman Allah SWT bermaksud “Maka bertakwalah kepada Allah semurni mungkin dan dengarkanlah baik-baik dan taatlah serta nafkahkan sesuatu yang akan membawa kebaikan kepadamu. Siapa saja yang menghindar diri dari sifat tamak dan kedekut dialah orang yang akan berjaya”. (Surah At-Taghaabun Ayat 16). Perlukah orang jualan tamak dalam melakukan tugasannya? 

Ingat dan berwaspadalah, perkara-perkara yang negatif ini boleh di umpamakan seperti kanser yang merebak tanpa kita sedari yang boleh merubah gaya dan cara tugasan dan kehidupan kita. Selagi kita tidak mencegahnya dan ketahui mana baik buruknya sudah pasti kita akan turut terjerumus dengan keadaan yang negatif ini. Tidak salah berubah untuk kejayaan diri sendiri asalkan kita mahu untuk berubah. Lakukan perkara yang baik dan elok itu semestinya bermula dari dalam diri kita sendiri.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan