Sememangnya dalam menceburi bidang Jualan ini memerlukan satu komitmen yang tinggi dan padu semata-mata bagi memastikan segala sasaran yang diberikan dan dibekalkan dapat di penuhi dengan jaya dan berkesannya. Sebenarnya dalam apa juga bidang yang di ceburi pasti ada matlamatnya. Tugas kerja ini di ibaratkan seperti membina sebuah rumah kediaman idaman kita sendiri di mana setiap hari secara sedikit demi sedikit kita perlu menyiapkannya dari tiang, dinding, tingkap, pintu dan seterusnya ke atapnya pula. Semakin rajin kita bekerja dan menambah pendapatan kita semakin luas lagi rumah yang boleh kita bina, semakin tinggi yang boleh kita siapkan. Ini bermakna segala pelannya, keluasannya, saiznya, rekaannya dan bahan binaannya bergantung kepada anda sendiri tentukan. Apabila kita fokus dan tahu coraknya barulah ada kesungguhan untuk menyiapkan sebagai satu alat keselamatan dan keselesaan bukan sahaja kepada diri kita sendiri tetapi juga kepada ahli keluarga kita. Kalau kita gagal atau berjaya setakat separuh jalan sahaja, bagaimana kita boleh membina rumah idaman kita yang di impikan siap sepertimana yang di rancang?
Inilah tugasan dan tanggungjawab kita bagi memastikan matlamat yang kita bina tidak terhenti, terlerai dan hancur di tengah jalan. Fahami kan semula matlamat kita semasa mula-mula kita ingin menceburi bidang jualan ini. Jadikan lah karier jualan ini sebagaimana kita ingin membina rumah kediaman idaman kita sendiri tanpa gagal dan merasa kecewa. Matlamat umpama sasaran yang perlu di capai dan dipenuhi sepenuh jiwa dan raga kita sebagai pemangkin motivasi kearah kejayaan. Tanpa matlamat bagaikan perahu yang tiada pendayung nya, belayar tanpa arah hanya semata-mata mengikut angin yang berlalu. Ingatlah sentiasa tidak di namakan hidup jika tidak ada kekusutan dan tidak dinamakan kematangan jika tidak ada kekalutan.
Nyatakan dan kenal pasti karier anda
Menceburi bidang jualan bukan bermakna gagal sahaja terus nak di tinggalkan atau ‘resign’ sesuka hati dan mencari bidang pekerjaan yang lain pula. Sepatutnya pada permulaannya fahami betul-betul yang di perlukan apabila kita lakukan dan terjun dalam bidang jualan ini. Jangan asyik melepaskan batuk di tangga sahaja. Bila terdesak melakukan bidang ini, sudah senang atau tempoh terpaksa ini sudah pun tamat menceburi pula bidang yang lain. Inilah yang kita perlu lakukan sepatutnya sebelum kita menceburi bidang ini, bukan kerana terpaksa atau di paksa, bukan kerana desakan hidup atau ajakan dan cabaran kawan-kawan dan ahli keluarga tetapi sebenarnya betul-betul bergantung kepada kesanggupan yang tinggi, komitmen yang boleh diberikan dan minat yang mendalam, bukan kerana hendak menjual tetapi kerana ingin mencapai kejayaan demi kejayaan dalam karier di dalam bidang jualan ini.
Peredaran Masa
Masih ingat kah kita dahulu bagaimana orang dulu-dulu benar-benar menjadikan sungai dan lautan sebagai satu penghubung jalan raya yang perlu di tempuh oleh sesiapa sahaja. Zaman yang berlalu dengan peredaran masa yang begitu pantas kita dapat menyaksikan dari satu sahaja jalan sungai dan laut di gunakan. Tetapi kini, di masa sekarang terdapat pelbagai pilihan yang boleh kita gunakan samada melalui jalan raya, jalan keretapi mahupun jalan di ruang udara. Semakin hari semakin canggih penggunaan teknologi berada di hadapan kita. Sanggup kah kita menghadapi peredaran teknologi ini? Begitulah dengan jualan, sudah kah kita bersedia dengan pelbagai cara dan gaya kita mengikut peredaran masa sekarang ini? Bagaimana kita perlu tempuhi segala cabaran, dugaan dan masalah yang mendatang ini? Adakah kita telah bersedia? Hanya melalui ilmu dan pengalaman sahaja yang boleh membuat kita terus berdiri mengikut arus peredaran teknologi ini berlaku dan terjadi.
Sasaran akan datang
Matlamat juga perlu di lakukan untuk satu jangka masa pendek, jangka masa sederhana dan jangka masa yang panjang. Tanpa matlamat, bagaimana kita boleh bergerak. Tanpa matlamat yang jitu dan kuat bagaimana kita boleh per kuatkan diri kita menghadapinya? Matlamat perlu di fahami dan kemudian cuba untuk di capai dan tidak sama sekali matlamat di lakukan hanya untuk memenuhi kepuasan diri kita sendiri sahaja, suka-suka hati sahaja atau hanya mengikut kehendak orang di sekeliling kita. Impian perlu besar tetapi matlamat perlu di capai bagi memenuhi impian yang besar. Matlamat sendiri kalau tidak tercapai bagaimana nak capai impian yang besar? Janganlah jadi seperti orang lain, di setiap ambang tahun baru masing-masing berazam yang macam-macam nak di capai sempena kedatangan tahun baru tetapi bila sampai hujung tahun, azam hanya tinggal azam sahaja tanpa merasai sesalan tetapi sebaliknya berbangga pula sebagai azam baru di tahun baru lagi. Adakah kita seperti mereka juga hanya pandai menuturkan azam sahaja tapi tidak perlu lakukan apa-apa jua demi mencapai azam yang telah di tetapkan. Jadilah seorang yang bersungguh-sungguh untuk melakukan tugasan yang di ingini dan jangan sama sekali menjadi semangat hangat-hangat tahi ayam sahaja.
Analisa pasaran
Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Agak-agak sudah melibatkan diri dalam bidang jualan ini, bermakna kita sudah sedia maklum tentang pasaran yang perlu kita terokai. Jangan sama sekali main hentam sahaja mengikut sesuka hati kita, janji pihak pengurusan tanya semuanya di jawab ok sahaja, jawapannya semua sudah berada di dalam kocek kita. Hasilnya? Hampeh hanya lakonan semata-mata mengaburi kehendak pengurusan sahaja, yang penting gaji tetap yang di janjikan boleh di terima dengan senang hati. Sepatutnya buatlah analisa dahulu di mana sasaran pasaran kita. Bila sudah lakukan analisa dengan senang kita dapat ketahui di mana sasaran perlu untuk kita pergi dan dapatkan. Tidaklah pening kepala asyik mengharapkan belas ihsan orang hendak memberinya. Melakukan bidang jualan memerlukan kreativiti dan ketajaman pandangan bagi memudahkan dan menyenangkan tindakan anda mendapatkan prospek/pelanggan.
Matlamat di perlukan bagi memastikan apa yang di kehendaki tercapai melalui pelan-pelan yang kita telah tetapkan. Tanpa perancangan yang jitu dan betul agak sukar kita untuk bergerak dan asyik menjadi penonton menyaksikan kejayaan dan kehebatan orang lain. Bertindak dengan penuh keyakinan dan harapan yang tinggi mengatasi segala perkara-perkara yang negatif boleh berlaku kepada anda. Yakin dan sabar serta bertawakal kepada Allah setelah berusaha dengan bersungguh-sungguh adalah kunci kejayaan diri yang perlu di semai sentiasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan