Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Khamis, 1 Mei 2014

MENGORAK TINDAKAN YANG BETUL




Ramai di antara kita yang main hentam asalkan boleh dan mampu untuk mendapatkan keuntungan seperti mana yang dimahukan. Semuanya tak kisah apabila melakukan jualan asalkan mampu sahaja peroleh untung yang banyak peduli apa dengan ilmu, tabiat dan kemahiran yang betul. Memang tidak dinafikan boleh berjaya tapi masalahnya berapa lama kita boleh mengacapi dan menikmati kejayaan yang berterusan dan stabil. Semuanya kena bermula dengan kita bagaimana boleh membentuk diri kita lebih baik untuk berjaya dan cemerlang dalam melakukan jualan.

Berfikirlah dengan sebaik yang mungkin. Tindakan yang betul pasti bermula dengan perancangan yang betul juga. Bagi mengorak tindakan yang betul berikut adalah perkara-perkara yang perlu kita lakukan iaitu

i.             Dalami ilmu pengetahuan kerana ilmu tidak akan pernah cukup dan memadai. Banyak jalan dan caranya asalkan kita rajin mencarinya sudah pasti kita akan menemuinya

ii.           Sertai majlis ilmu walaupun terpaksa melabur sedikit mengeluarkan wang ringgit termasuk membeli buku bahan bacaan. Jangan terlalu berkira dikhuatiri nanti ilmu pula yang akan berkira terhadap kita.

iii.          Berdamping dengan orang yang betul dan positif. Carilah mereka dampingi untuk mendapatkan ilmu dari mereka. Kena caranya sudah tentu kita mampu berkawan baik dan menjadi sahabat paling akrab. Berkawan dengan mereka yang positif sudah tentu memberikan impak yang positif juga kepada kita

iv.          Realiti kan matlamat kita jangan dipenuhi dengan angan-angan sahaja untuk berjaya. Lakukan perancangan yang baik agar tindakan kita lakukan mengikut landasan perancangan yang dibuat dan bukannya ikut suka hati nafsu berahi kita sahaja.

v.            Lakukan tindakan yang betul agar kesilapan dan kesalahan dalam melakukan jualan boleh diminimumkan. Berikan kesempurnaan dengan sebaik yang mungkin agar bakal pembeli atau pelanggan mudah terpesona dan terpikat dengan cara dan kaedah kita melakukan jualan

vi.          Yakin diri bukan sombong diri. Selagi merasa gerun, bimbang, risau ataupun cuak pasti tidak akan menjadi jualan kita. Semuanya bergantung kepada bagaimana untuk kita melakukannya apabila berinteraksi bersama mereka. Kerana itu kita amat diperlukan yakin diri dan jangan sama sekali mudah lemah semangat sebelum dan semasa menjual.

vii.        Berdoa dan bermuhasabah sentiasa agar kita tahu Allah bersama membantu dan menolong kita. Kita hamba yang lemah yang sentiasa mahukan pertolongan dan bantuan dari Maha Pencipta. Mintalah dan pohonlah kepada Allah kerana Allah sahaja yang Maha Mengetahui akan segala kejadian yang berlaku di masa hadapan. Kita hanya mampu berusaha dengan sepenuh hati, kudrat dan tenaga yang sedia ada.

Kalau ini yang kita lakukan sudah pasti kejayaan dalam genggaman kita walau apa pun juga yang berlaku dan terjadi. Setiap ranjau duri walaupun terdapat pelbagai halangan dan cabaran sudah pasti kita mampu melaluinya dengan sebaik yang mungkin. Jangan mudah mendabik dada mengatakan kita yang terbaik tapi fahami bahawa segala usaha yang dilakukan apabila betul dan tepat cara dan kaedah sudah tentu konsistensi dan berterusan apa yang dilakukan akan terbalas juga akhirnya. Rajin berusaha maka hasilnya pasti lumayan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan