Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Rabu, 7 Mei 2014

TUAH YANG DI CARI




Sememang amat menggembirakan andai kata melakukan jualan tuah sememangnya menyebelahi kita sentiasa. Sememangnya amat mengharapkan keajaiban tuah sentiasa berada menyebelahi diri kita tidak kira akan apa juga keadaan yang berlaku dan terjadi. Kononnya dengan tuahlah seseorang akan lebih bersemangat dan bersungguh dalam melakukan tugasan jualan kerana mengetahui tuah sentiasa menyebelahi diri kita. Adakah benar atau hanya satu kebetulan sahaja?

Inilah saranan yang sepatutnya kita lakukan. Mengharapkan tuah sahaja mana boleh hadir begitu sahaja melainkan secara kebetulan sahaja. Semuanya atas usaha kita sendiri dalam melakukannya. Jangan ingat apa yang Allah jadikan diri kita sentiasa hebat dan bertuah sepanjang hayat. Hayatilah erti TUAH ini agar sepanjang hayat kita melakukan jualan sentiasa ada TUAH juga menjelma. Apa yang di maksudkan dengan TUAH ini adalah

T- Tetap

Lakukan secara konsisten dan bersungguh. Tetapkan dalam pemikiran kita agar kita fokus dengan apa yang mahu kita lakukan. Setiap manusia itu ada kelemahannya untuk kita perbaiki setiap masa. Berikan yang terbaik dan terelok bukan sahaja diri kita tetapi juga kepada bakal pembeli atau pelanggan yang ditemui dan berinteraksi bersama kita. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Istiqamahlah sentiasa agar apa yang kita lakukan benar-benar mengikut apa yang disukai oleh mereka dan Allah. Hubungan Allah kena jaga begitu juga hubungan sesama manusia juga perlu di jaga sama.

U – Usaha
Nak tuah sahaja bermakna kena usaha dengan bersungguh dan gigih. Bukan setakat ‘Work Smart’ sahaja tetapi ‘Work Hard’ pun kena ada. Duduk di atas kerusi mengharapkan tuah sahaja mana nak datang jualan yang diharapkan. Semuanya kena berusaha selari dengan perancangan yang dilakukan. Nak usaha tapi tanpa sebarang perancangan dan pelan macam mana nak kita usahakan. Setiap tindakan kena bijak dan cermat agar apa yang kita lakukan tidak menghasilkan sebarang kerugian di masa hadapan.

A – Amanah
Salah satu sikap Rasulullah SAW yang perlu kita contohi yang amat sangat. Tiada amanah macam mana nak tarik kepercayaan dan minat orang terhadap diri kita yang menjual. Amanah yang dilakukan boleh dibuktikan dengan cara

i.             Ikhlas dengan apa yang dilakukan. Tak ada yang melencong sana dan sini. Tiada yang mengambil kesempatan atas mereka. Tidak sama sekali menipu dan berbohong begitu sahaja. Semuanya dilakukan dengan ikhlas seikhlasnya walaupun mungkin ada yang akan menyusahkan kita dalam melakukan jualan terhadap mereka.

ii.           Kena ada tanggungjawab sepenuhnya. Jangan lepaskan bebanan batu di bahu kita diserahkan pula kepada orang lain atau lari meninggalkan mereka begitu sahaja. Kena ada rasa dan menjiwai tanggungjawab yang diberikan dan diamanahkan. Pikul dengan sebaik-baiknya agar mereka tahu apa yang kita lakukan adalah telus dan tulus.

iii.          Kotakan apa yang telah dijanjikan. Bukan dongengan atau ciptaan mainan penyedap  rasa tetapi penuhi apa yang telah diperkatakan. Selagi kita telah berjanji selagi itulah kita terikat dengan janji-janji kita. Berikan yang terbaik dan tunjukkan setiap apa yang kita perkatakan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Sentiasa ingat jangan mungkir janji dan jangan janji palsu. Semuanya itu akan memusnahkan karier kita dalam menjual. Pepatah ada menyebut kerbau berpegang pada talinya tapi manusia berpegang pada janjinya. Tunaikanlah walaupun mungkin berat untuk dilaksanakan.

H – Hadapi dan hulurkan

Hadapi dengan sebaik mungkin. Kena ada ketabahan, ketenangan dan kesabaran. Unsur 3K ini akan memberikan lebih kecekalan dalam menghadapi apa juga cabaran, rintangan, dugaan dan masalah yang timbul. Walaupun tak kan lari gunung di kejar namun kalau usaha yang dilakukan tidak digemari sudah pasti tawaran kita pasti tidak ke mana. Hadapi segala bangkangan dan bantahan jualan dengan unsur 3K ini sebaik yang termampu.

Setiap apa yang kita lakukan dalam jualan pastikan kita telah sanggup untuk menghulurkan bantuan dan pertolongan kita kepada sesiapapun yang kita temui dengan sebaik yang mungkin. Selesaikan permasalahan mereka dengan produk yang kita tawarkan mengikut kemampuan dan keupayaan mereka untuk menerimanya. Semuanya dilakukan dengan cara memastikan terlebih dahulu apa yang mereka cari dan mahukan terlebih dahulu. Selagi kita tidak membantu dan menolong selagi itulah kita akan gagal dalam melaksanakan jualan kita terhadap mereka.

Rumusan

Inilah TUAH yang di maksudkan untuk mendapat tuah yang sebenarnya. Bukan setakat kata-kata kosong sahaja tetapi tuah yang memerlukan pengorbanan usaha yang bersungguh-sungguh dan gigih untuk melakukannya. Janganlah jadi seperti sekali air bah sekali pantai berubah. Kerana itu kita di saran untuk berusaha secara bersungguh-sungguh dengan kegigihan yang ada bagi memastikan segala usaha yang dilakukan memberikan tindakan terbaik mendapatkan hasil seperti mana yang diinginkan. Bila usaha telah dilakukan sudah pasti tuah yang diharapkan pasti akan menjelma juga akhirnya. Yakinlah dengan apa yang telah kita lakukan selama ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan