Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Ahad, 18 Mei 2014

Akauntabiliti (Bahagian Kedua)




Yakinilah dengan akauntabiliti diri kita sendiri. Wujudnya akauntabiliti dalam diri kita sudah semestinya menunjukkan bahawa kita adalah seorang yang betul menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Tidak lari dari tugasan dan berkata benar dalam setiap perkataan yang diperkatakan. Bukan setakat mahu mengambil hati dan meyakini seseorang tetapi juga mudah berasa bersalah kepada mereka andai kata apa yang kita lakukan terdapat sebarang kesilapan atau kesalahan yang telah kita lakukan kepada mereka.

Firman Allah bermaksud ‘dan janganlah Engkau mengikut apa Yang Engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa Yang dilakukannya’ (Surah Al-Israk Ayat 36).

Bagi memastikan akauntabiliti ini boleh dilakukan, berikut adalah tindakan yang perlu dilakukan iaitu

i.             Ketahui tugasan kita
Sentiasa ketahui apa yang perlu dan patut dilakukan dan  hindari dari apa yang sepatutnya dihindarkan. Jangan ikut hati apa yang perlu dilakukan tapi ikut prosedur, tatacara dan perancangan yang telah ditetapkan. Bertanggungjawab dengan apa yang dilakukan walaupun diketahui terdapat kesilapan dan kesalahan. Terima dengan hati yang terbuka agar di masa hadapan tidak diulangi lagi.

ii.           Jujur dalam setiap perkara
Keikhlasan dalam melakukan jualan amat dituntut. Jujur pada pengeluar produk, perniagaan kita dan pada bakal pembeli atau pelanggan. Elakkan menipu dan berbohong kerana sekali kita dihidu melakukan perkara tersebut sampai bila-bila orang pasti tidak akan mempercayai kita sama sekali. Kita jujur sudah pasti orang akan lebih menghormati dan mempercayai keupayaan dan kehadiran diri kita.

iii.          Sentiasa menyatakan kemaafan
Tak jatuh maruah pun kalau kita seorang yang mudah memaafkan orang lain apatah lagi kita begitu mudah memohon kemaafan. Tak pergi mana pun kalau kita merendah diri memohon kemaafan. Antara hubungan manusia dengan manusia adalah disyaratkan agar sentiasa memohon kemaafan walaupun kadang-kadang bukan kita yang melakukan kesilapan dan kesalahan. Kerana itu kita di saran agar sentiasa berhemah dan bersopan dari kita sentiasa mudah merasa tinggi diri dan bongkak dengan apa yang kita lakukan di hadapan mereka.

iv.          Gunakan masa sebaik mungkin
Masa yang ada pergunakan sebaik mungkin. Jangan mudah dibazirkan begitu sahaja. Setiap masa yang berlalu sudah pasti tidak dapat berpatah semula. Apabila kita ada akauntabiliti melakukan dengan penuh rasa tanggungjawab dan iltizam sudah tentu setiap detik masa yang kita pergunakan akan digunakan dengan sebaik yang mungkin penuh dengan kejujuran dan kebenaran.

v.            Jangan terlalu berjanji
Seseorang yang mempunyai akauntabiliti sudah pasti setiap apa yang dijanjikan akan dilaksanakan dengan seperti mana yang dijanjikan. Merasa diri amat bersalah jika janji yang diberikan telah dimungkiri. Sanggup bersusah payah dalam memastikan janji ditepati walau apa pun yang berlaku. Kerana itu berilah janji yang benar-benar kita mampu melakukannya sebagai satu tanda akauntabiliti kita kepada bakal pembeli atau pelanggan.

vi.          Bersedia melakukan perubahan
Wujudnya akauntabiliti bermakna seseorang sudah pasti akan mampu melakukan perkara-perkara dari kebiasaannya. Tanggungjawab yang dipikul sudah pasti sanggup untuk menerima setiap perubahan yang dilakukan bagi memastikan keyakinan dan kepercayaan orang kepada kita tetap diyakini sampai bila-bila. Setiap perubahan yang berlaku sentiasa dianggap sebagai satu cabaran yang perlu ditempuhi dengan sebaik yang mungkin.

Berikan yang terbaik. Akauntabiliti kita dalam melakukan jualan adalah satu tiket bagi mendapatkan kepercayaan dan keyakinan bakal pembeli atau pelanggan terhadap apa diri kita lakukan dengan lebih senang dan mudah lagi. Tidak mudah mengatakan tidak dan amat pantang rasanya jika perkara yang diamanahkan pada kita telah gagal dilaksanakan. Amat merasa bersalah, kecewa dan malu dibuatnya andai kata kegagalan yang diperoleh. Kerana itu akauntabiliti perlu ada dan diwujudkan. Bukan untuk menyusahkan tetapi menunjukkan betapa komitednya kita dalam melakukan tugasan dalam jualan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan