Sempena
kehadiran Israk Mikraj satu malam yang Allah telah anugerahkan kepada baginda
Nabi Muhammad SAW tentang perjalanan baginda dari Tanah Suci Mekah ke Baitul
Maqdis dan seterusnya dinaikkan baginda Rasulullah bertemu dengan Allah di
Sidratul Muntaha menerima perintah solat 5 kali sehari semalam. Ambil iktibar
dan pengajarannya untuk kita persiapkan diri sebagai bekalan menghadapi Hari
Akhirat pula.
Firman Allah
SWT,Maksudnya : “ Maha Suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad)
pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di
Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya
tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha
Mendengar, lagi Maha mengetahui ” (Surah Al-Isra’, ayat:1)
Sepanjang
perjalanan israk Rasulullah SAW ditemani oleh Malaikat Jibrail AS dan di antara
peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan itu
1.
Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka,
apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi
dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail:
Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala
kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
2.
Tempat yang berbau harum. Rasulullah SAW diberitahu oleh
Jibrail: Itulah bau kubur Mashitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama
suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan
iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah
(tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).
3.
Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap
kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian
dilakukan berkali-kali. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah
orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
4.
Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan
dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka
makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Rasulullah SAW diberitahu oleh
Jibrail: Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
5.
Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang
busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Rasulullah SAW diberitahu oleh
Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan
perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.
6.
Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Rasulullah
SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.
7.
Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya
memikulnya, tetapi ditambah lagi kayu yang lain. Rasulullah SAW diberitahu oleh
Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang
lain.
8.
Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan
gunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka
kembali seperti biasa. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang
yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
9.
Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga
mereka. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang memakan
daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
10.
Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit.
Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Rasulullah SAW diberitahu oleh
Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tetapi
sudah terlambat.
11.
Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai
perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Rasulullah SAW diberitahu oleh
Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya
umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
12.
Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh
Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Rasulullah SAW
diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke hari
tua.
13.
Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk
bertanyakan sesuatu. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah gambaran
umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
(Sumber : Kitab
Jam'ul-Fawaa`id)
Dari laman sesawang : http://myadha.blogspot.com/2012/06/peristiwa-israk-mikraj.html
Kehidupan yang penuh
dengan ujian Allah. Menghadapi ujian Allah di dunia sebagai satu bekalan
menghadapi Hari Akhirat yang kekal abadi. Segala janji Allah adalah benar dan
berusahalah jangan menjadikan diri kita hanya tertumpu pada kehidupan dunia
sahaja. Menang di dunia menang juga di akhirat. Lakukan sebaik mungkin mencari keredaan
dan kerahmatan dari Allah kerana hanya dengan Allah lah tempat untuk kita
memohon bantuan dan pertolongan dari Nya setiap waktu dan kita. Siapalah diri
kita ini di hadapan Allah nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan