Mengharungi akan kehadiran tahun baru 2014 bukan setakat gembira dan
seronok dengan kedatangannya tapi lihatlah semula apa segala musibah, masalah
dan dugaan yang telah kita tempoh sepanjang 2013. Semuanya perlu untuk kita
ketahui dengan sebaik mungkin agar apa juga perkara yang buruk yang berlaku dan
terjadi ke atas kita dalam kita mengharungi karier jualan tidak sama sekali
boleh berlaku dan terjadi lagi sempena kehadiran tahun 2014.
Muhasabah semula sekurang-kurangnya cari jalan yang terbaik untuk melakukannya
dengan sebaik yang mungkin. Tidak di nafikan setiap musibah dan dugaan yang
berlaku ke atas kita adalah satu ujian dari Allah juga seperti mana Firman
Allah SWT bermaksud ‘Dan
sesungguhnya akan Kami berikan cubaan (dugaan) kepada mu, dengan sedikit ketakutan,
kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita
gembira kepada orang yang sabar’. (Surah Al-Baqarah ayat 155).
Tindakan terbaik bersabarlah dahulu bukan
mengeluh dan kecoh tak fasal-fasal pula. Bersangka baik berfikiran positif agar
tiada penyesalan pula di kemudian hari. Firman Allah bermaksud ‘Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah
kamu dan kuatkanlah kesabaran mu dan tetaplah bersiap sedia (di negeri mu) dan
bertakwalah kepada Allah kamu beruntung’. (Surah Ali-Imran ayat 200). Ambil tindakan yang sepatutnya berfikir di
mana salah dan silapnya kita terlebih dahulu dari mengikut kata hati, kemarahan
atau mengikut hawa nafsu yang bukan-bukan. Belajar kawal diri sendiri kita
dahulu dengan per banyakkan bersabar terlebih dahulu walaupun ada musibah atau
cabaran yang telah membangkitkan kemarahan kita. Hadapi secara baik, berhemah
dan jangan sama sekali di ikutkan hati yang panas bukan-bukan. Kerana itu kita
amat di tuntut melakukan muhasabah setiap hari agar kita tahu cara terbaik
mencari solusi dan jalan penyelesaiannya.
Sempena kehadiran 2014 nanti, ambillah segala iktibar dan pengajaran yang
telah kita alami sendiri dan pengalaman buruk dari orang lain agar tidak
berulang lagi di tahun 2014. Apa yang telah berlaku hindarilah dengan sebaik
mungkin agar sekurang-kurangnya kita tahu bagaimana untuk atasinya pula.
Sememangnya pengalaman adalah guru terbaik buat diri kita yang sentiasa
melakukan jualan. Selagi niat kita baik untuk membantu dan menolong orang
seramai yang termampu mengikut landasan yang telah Allah tetapkan selagi itulah
Allah akan sentiasa membantu kita walaupun mungkin sesuatu ujian yang hadir itu
cukup berat untuk kita lalui. Firman Allah bermaksud ‘Dan apa juga yang menimpa kamu dari sesuatu
kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan
(daripada perbuatan yang salah dan berdosa) dan dalam pada itu Allah memaafkan
sebahagian besar dari dosa kamu’. (Surah as-Syura ayat 30).
Semoga apa yang telah kita lalui selama ini akan membuatkan kita lebih
tabah dan cekal untuk menghadapi hari-hari yang mendatang yang membentuk diri
kita lebih mampu untuk mengharungi apa juga cabaran, rintangan dan dugaan yang
menimpa. Jangan mudah berputus asa dan kecewa yang bukan-bukan. Selagi
melakukan jualan ini kita masih minat untuk melakukannya selagi itulah kejayaan
yang kita idamkan sudah pasti akan menjelma juga akhirnya. Tiada yang mustahil
untuk melakukannya dengan sebaik yang mungkin. Selamat tinggal 2013 dan selamat
datang 2014.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan