Pentingnya ilmu jangan dipinggirkan. Tanpa ilmu bagaimana kita hendak
melakukan jualan. Pasti pelbagai masalah akan menimpa diri kita andai ilmu yang
sepatutnya kita punyai langsung tidak diambil berat dan tahu. Akibatnya kita
juga yang merana hanya disebabkan kekurangan ilmu dalam melaksanakan penawaran
kepada orang. Ini belum lagi berhadapan dengan kerenah bakal pembeli atau
pelanggan yang memberikan penolakan atau bangkangan bagaimana untuk kita hadapi
secara berilmu bila situasi sebegini berlaku dan terjadi. Tanpa ilmu atau
kurangnya ilmu bagaimana agaknya untuk kita menjual? Sudah pasti dalam
memberikan presentasi dan penerangan akan pecah peluh dibuatnya. Ada sedikit
pertanyaan dari mereka sudah pasti menjadi menggelabah pula tak tentu fasal. Semuanya
berkaitan dengan ilmu. Ilmu perlu penuh di dada barulah boleh dipergunakan
dengan sebaik yang mungkin.
Teringat saya semasa mengikuti kuliah dari Ustaz
Dr Izhar Ariff di Masjid
Jamek Jarak Atas, SPU Pulau Pinang pada 3hb Januari 2014 telah menggariskan
untuk mendapatkan ilmu yang dikehendaki terdapat 3 jenis hukum yang perlu diketahui dahulu sebelum boleh mendapat dan
mendalami ilmu yang dimahukan. Hukum-hukum yang dinyatakan ini adalah
Hukum Wajib – apabila sememangnya kita kena belajar
dan kena ambil tahu. Jangan nak berlagak sombong merasakan semuanya telah kita
ketahui. Tak tahu katakan tak tahu dan pergi belajar bersungguh-sungguh
sehingga menjadi tahu.
Hukum Harus – ilmu telah diketahui tidak ada salahnya
untuk kita mendalami lagi dan mengulang kaji apa yang telah diketahui. Umpama
skru yang ada perlu diketatkan lagi agar tidak ada yang lagi yang masih longgar
berada di mana-mana.
Hukum haram – mencari ilmu hanya semata-mata dah niat
untuk menunjuk-nunjuk, berlagak sombong atau mencari perbalahan. Kerana ilmu
yang ada tidak semena-mena menjadi riak dan takbur. Berlagak tak tentu hala nak
tunjuk kita ini seorang yang tinggi ilmunya.
Ilmu yang kita ada hanyalah seperti setitis air yang menitik di permukaan
air. Terlalu banyak ilmu yang perlu kita ketahui dan terokai. Jangan putus asa
dalam mencari ilmu. Dah rasa semakin pandai sentiasa merendah diri dan cari
lagi ilmu sebagai satu tabiat semula jadi tanda tidak pernah puas dengan apa
yang ada. Rasulullah
SAW bersabda ‘Menuntut
ilmu itu diwajibkan bagi setiap orang Islam’ (Hadis Riwayat Ibnu Majah, Al-Baihaqi,
Ibnu Abdil Barr, dan Ibnu Adi, dari Anas bin Malik). Lakukanlah tindakan dalam
melakukan jualan sebaik yang mungkin mengikut ilmu yang telah kita peroleh dan
sebarkan berkongsi sama dengan orang lain agar ilmu yang kita peroleh sentiasa
diberkati dan dirahmati Allah setiap masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan