Tiada siapa nak jadi jahat atau dibenci orang hidup di
dunia ini. Itulah realitinya. Tidak boleh dinafikan lagi. Masalahnya apakah wujud
lagi tindakan terbaik buat kita untuk melakukannya? Mesti ada cara dan
kaedahnya sama sekali. Elakkan perkara-perkara yang memberi kesan yang negatif
agar tidak ada langsung dalam diri kita. Terutama bagi kita yang melakukan
jualan kena ada kejujuran dan keikhlasan dalam melakukannya. Bila kita ikhlas
dan jujur sudah pasti bakal pembeli atau pelanggan akan mudah menerima
kehadiran kita baik di peringkat permulaan, peringkat penerimaan penawaran dan
seterusnya jualan berulang sudah pasti boleh diperoleh.
Bersikap jujurlah pada diri sendiri. Tiada siapa yang
akan mendapatkan faedahnya melainkan untuk kita juga. Tidak salah bersifat
jujur dan ikhlas pada diri sendiri untuk kita lontarkan pula kepada orang di
sekeliling kita terutamanya pada bakal pembeli atau pelanggan. Untuk
mengelakkan agar kita sentiasa bersikap jujur pada tugasan jualan apa yang
perlu kita lakukan adalah
i.
Elakkan berangan
Elakkan
penyakit Mat Jenin menguasai diri kita. Kalau setakat berangan sahaja usaha
pasti tidak ke mana kerana kita asyik mahukan yang indah-indah sahaja tanpa
adanya usaha yang sepatutnya. Elakkan ini berlaku dan terjadi. Makin kuat
berangan makin kuat mengharap tapi hasilnya tidak ke mana. Nilai semula diri
kita bermuhasabah selalu agar apa yang kita lakukan sudah pasti boleh dapat
menghasilkan yang terbaik buat diri kita.
ii.
Elakkan mengumpat
Bergosip
dan mengata orang bukan pada tempatnya pasti akan memakan diri kita semula.
Semakin kita amalkan akan membawa kepada sikap tidak puas hati terhadap sesuatu
perkara dan berdendam. Akan wujud perasaan tidak puas hati dan membuatkan fokus tugasan kita tersasar jauh. Terlalu
risau dengan prestasi dan keputusan orang lain terutamanya pada orang yang kita
geramkan selama ini. Adakah ini yang kita cari-cari selama ini? Tujuan kita
melakukan jualan adalah untuk mencari dan menambah pendapatan sebanyak yang
termampu. Tapi kalau kita asyik sebegini bagaimana kita nak capai matlamat
asal? Bersikap jujur agar apa juga tindakan yang dilakukan kerjalah secara
berpasukan dan bersama demi karier dan pendapatan diri kita,
iii.
Terima kegagalan
Apa pun
yang berlaku dan terjadi semuanya ada hikmat yang tersembunyi dan tersirat
Allah berikan kepada kita. Andai kata berjaya syukur alhamdulillah. Andai kata
menemui kegagalan janganlah mudah kecewa, patah hati dan merana badan
dibuatnya. Muhasabah segera kenal pasti apa penyebabnya agar pembetulan segera
boleh dilakukan dengan sebaik mungkin agar tidak lagi diulangi di masa hadapan.
Sekali kita gagal bukan bermakna kita akan gagal sentiasa. Jujur untuk bersedia
menerimanya sebagai satu pengajaran dan iktibar buat kita mematangkan lagi
pengalaman sedia ada.
iv.
Jangan mudah memberi alasan
Apa yang
berlaku hanya disebabkan kegagalan atau kesukaran kita untuk mencapai sesuatu
terus-terusan kita berikan pelbagai alasan. Tidak kiralah ia nya munasabah
ataupun tidak asalkan boleh diberi dikira cukup memadai. Bertindak jujur, apa
juga yang dihadapi walaupun memeritkan diri kita sendiri terima seadanya dan
elakkan memberi pelbagai alasan yang sensasi ayat pelepas diri. Bukan dapat
piala pun beri alasan tapi jika tidak diberi alasan dan berjanji untuk
memperbaikinya semula sudah tentu memberikan hasil yang terbaik buat diri kita
sendiri.
v.
Bertanggungjawab sepenuhnya
Akui segera yang kita
lakukan tanpa perlu berselindung. Bertanggungjawab sepenuhnya agar kita terus
jujur dan ikhlas dengan apa juga hasil dari tangan dan usaha kita sendiri. Sendiri buat sendiri
tanggung. Itu yang sepatutnya. Jangan sama sekali menyalahkan orang lain
membebel tidak tentu hala dan fasal. Semuanya hasil dan tindakan kita adalah
hanya dari hasil kita yang lakukan. Bersikap jujur dan terima dengan hati yang
terbuka. Elakkan penipuan dan berdengki sesama insan.
Kejujuran dan ikhlas boleh diumpamakan seperti seekor
semut hitam yang berada di atas batu hitam dalam keadaan malam yang kelam. Ia
nya wujud tapi amat sukar untuk dilihat dan disedari. Latihlah diri kita agar
sentiasa jujur dan ikhlas bukan kepada orang lain sahaja tetapi pada diri kita
sendiri. Tidak guna berjaya sampai ke pintu langit sekalipun andai kata
kejujuran dan keikhlasan langsung tidak wujud dalam diri kita. Hanya kerana
kejujuran dan keikhlasan sahaja yang dapat memandu kita ke arah lebih
bertanggungjawab dan bertungkus lumus dalam melakukan jualan secara berhemah
dan baik di mata bakal pembeli ataupun pelanggan. Rasulullah SAW bersabda
‘Sesungguhnya Allah telah memberikan wahyu kepada ku yang memerintahkan supaya
kamu semua bersifat tawaduk sehingga tidak ada seseorang pun merasa dirinya
megah (bangga diri) dari orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan
melampaui batas terhadap orang lain’ (Hadis Riwayat Muslim).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan