Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Khamis, 16 Mei 2013

SELAMAT HARI GURU



Setiap tahun 16 Mei adalah satu hari yang dipilih bagi memperingati jasa guru-guru yang mengajar kita. Tidak kira siapa pun yang mengajar baik guru sekolah, tok guru di masjid ataupun rakan kenalan kita yang mencurahkan ilmu pengetahuan secara sengaja ataupun tidak, ucapan penghargaan perlulah diberikan dengan sepenuh hati dan jiwa. Dari laman sesawang http://www.islam.gov.my/e-hadith/kepentingan-ilmu , sabda Rasulullah SAW bermaksud “Jadikanlah diri mu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa” (Hadis Riwayat Al-Bazzar).

Huraian Hadis tersebut pengajaran yang boleh di ambil adalah

i) Ilmu menduduki darjat yang tinggi di sisi manusia dan juga di sisi Allah S.W.T. Orang yang berilmu akan dimuliakan oleh penduduk langit dan bumi sebaliknya bagi orang yang tidak berilmu. Oleh itu setiap mukmin hendaklah berusaha mempertingkatkan kemajuan dirinya sama ada :

a) Menjadikan dirinya orang alim (berilmu) yang mengajarkan ilmunya kepada orang lain

b) Menjadi orang yang belajar (menuntut ilmu)

c) Mendengar atau mengikuti majlis-majlis ilmu.

d) Menghormati atau mencintai salah satu atau ketiga-tiga golongan di atas dengan menurut jejak langkah mereka.

ii) Dengan adanya sifat-sifat yang disebutkan di atas maka kehidupan seseorang itu akan sentiasa terjamin untuk mendapat keselamatan dan kebahagiaan jasmani atau rohani kerana ia sentiasa berada dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke jalan yang benar dan memberinya kesedaran untuk memilih antara yang baik dan yang buruk.

iii) Manakala mereka yang tidak termasuk dalam golongan tersebut atau yang dipanggil masyarakat sebagai ‘Bodoh sombong' maka mereka adalah golongan yang bakal mendapat kebinasaan kerana mereka tidak ada pimpinan yang dengannya dapat memandu kepada kebaikan melainkan hidup terumbang ambing dan tenggelam dalam kesesatan.

Jangan sama sekali kita lupa jasa-jasa mereka yang banyak mengajar kita dalam melakukan jualan. Tidak kira sedikit atau banyak sekurang-kurangnya mereka adalah guru atau mentor kita. Tanpa mereka siapa kita dalam dunia kejurujualan yang kita ceburi ini. Harimau mati meninggalkan belang manusia mati meninggalkan jasa. Jangan sama sekali dilupakan bahawa belajar kejurujualan ini tidak sama sekali diumpamakan seperti belajar di sekolah atau pusat penggajian tinggi yang menawarkan papan hitam, kerja rumah atau pengambilan kehadiran kelas yang mendapat sekeping sijil pengesahan belajar. Mungkin dengan berbincang atau bertanya sekadar di kedai kopi asalkan pengetahuan dan kefahaman kita semakin mendalam diketahui sudah cukup dan memadai dirasakan.

Sabda Rasulullah SAW “Kelebihan orang alim (ulama) atas ahli ibadat adalah seperti kelebihan ku ke atas orang yang paling rendah di antara kamu. Kemudian Baginda bersabda lagi: Sesungguhnya para malaikat dan penduduk langit dan bumi hinggakan semut dalam lubangnya berserta ikan berselawat (berdoa) untuk orang-orang yang mengajar kebaikan kepada manusia.” (Hadis riwayat Imam Tarmizi).

Amirul Mukminin Sayyidina Umar Ibnu Al-Khaththab r.a pula pernah berkata "Kematian seribu ahli ibadat yang bangun beramal ibadat sepanjang malam dan berpuasa sepanjang siang lebih ringan dari kematian seorang alim yang mahir tentang apa yang Allah Ta‘ala halalkan dan apa yang diharamkan oleh Nya."

Tolonglah jangan kita lupakan jasa-jasa mereka terhadap kita dari pengetahuan kosong dalam dunia jualan sehingga menjadi mahir. Mungkin orang yang mencurahkan ilmu tersebut kepada kita kini sudah meninggal dunia, menjadi pesaing pula dalam pasaran atau tidak dapat di kesan lagi kehadirannya. Sekurang-kurangnya kita masih lagi terhutang budi kepada mereka. Setidak-tidaknya sedekahkan Surah Al-Fatihah kepada mereka sebagai tanda terima kasih dan ucapan penghargaan kepada mereka walaupun tiada hadiah atau ucapan terima kasih untuk diberikan. Tanpa mereka siapalah kita di dunia ini.

Selamat Hari Guru......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan