Amat risau memikirkan apabila produk yang dijual
terdapat pesaingnya. Paling menggerunkan apabila penerimaan orang ramai pada
produk pesaing lebih hebat dan ternyata mempunyai nama yang baik di pasaran. Longlai
habis tindakan untuk melakukannya. Seperti tidak tahu dari mana hendak
dimulakan dahulu memandangkan nama produk pesaing begitu kuat, tersohor dan
terhebat di pasaran. Tak kena gaya sudah tentu membuang masa, tenaga dan wang
begitu sahaja kita dibuatnya.
Sebaik-baik tindakan jangan panik dan mudah merasa agak
DOWN dengan apa yang berlaku dan terjadi. Keadaan di pasaran sememangnya bagi
satu-satu produk tidak akan berkekalan lamanya sehingga hari kiamat. Mesti ada
masanya naik dan mesti ada masanya menurun. Yang penting teruskan usaha dan
jangan sama sekali putus asa merendah diri tidak kena dengan tempatnya. Inilah
tindakan yang sepatutnya kita lakukan tanpa perlu merasa sangsi, waswas dan
gentar akan apa yang ada di pasaran kini iaitu
i.
Harga bukan segala-galanya
Andai
kata harga yang ditawarkan dirasakan agak tinggi dibandingkan dengan pesaing
tawarkan jangan ambil pusing sangat. Bukan semua prospek/pelanggan yang ditemui
akan melihat berapa harga yang ditawarkan. Apa yang penting adalah bagaimana
kita memberikan penerangan secara jelas dan tepat dengan menawarkan apa
perkhidmatan nilai tambah kepada produk yang ditawarkan. Kebiasaannya
prospek/pelanggan menerimanya bukan disebabkan oleh produk tetapi hanya kerana
diri kita sendiri yang menjualnya.
ii.
Kenal pasti prospek/pelanggan
Sasarkan
prospek/pelanggan yang sepatutnya. Jangan main hentam atau mengikut perasaan
sahaja. Pastikan prospek/pelanggan yang disasarkan dan dikenal pasti
benar-benar mengikut kelayakan mengikut ciri-ciri produk yang ditawarkan agar
penerimaan mereka terhadap produk tersebut nampak mudah untuk mereka memahami
dan menerima tawaran yang dikemukakan. Bangkangan jualan pasti terjadi tapi
kalau kita cerdik dan bijak masih pandai memberikan sebab-sebabnya sudah pasti
prospek/pelanggan pada akhirnya akan menerima juga apa yang kita tawarkan.
iii.
Ketahui segala kelebihan dan kekuatan produk yang
ditawarkan
Ilmu
sangat penting. Tanpa ilmu sudah pasti tidak ke mana. Jangan dihiraukan dahulu
pesaing yang ada tapi risaukan dulu kewibawaan kita tentang pengetahuan produk
yang ingin ditawarkan terlebih dahulu. Sekurang-kurangnya bila berlaku sebarang
pertanyaan atau bangkangan jualan sudah pasti kita akan begitu yakin memberikan
jawapan balas akan apa juga yang diperlukan oleh prospek/pelanggan. Dalamilah
ilmu dan pengetahuan yang mendalam tentang produk yang ditawarkan bagi
mengelakkan diri kita dipandang begitu lekeh dan rendah oleh prospek/pelanggan
yang kita temui.
iv.
Ketahui segala kelemahan dan kekurangan pesaing secara
mendalam
Bersahabatlah
dengan pesaing dan jangan sama sekali bermusuh. Bersahabat bukan sahaja membina
NETWORKING bersama mereka tetapi juga sekurang-kurangnya kita boleh mengetahui
segala produk yang mereka tawarkan akan segala kelebihan dan kekurangan produk
tersebut. Selagi kita bermusuhan selagi itu kita sudah pasti tidak akan dapat
memperoleh apa-apa juga yang kita mahukan.
v.
Yakin pada produk
Nak menjual kena yakin
dengan apa yang kita tawarkan. Kalau tak yakin apa yang boleh kita lakukan.
Kita bukannya menjual produk-produk keperluan asas seperti gula, garam, tepung
dan sebagainya yang semuanya telah diketahui tanpa perlu penerangan yang
mendalam. Kerana itu kita kena yakin yang amat sangat akan keupayaan dan segala
kelebihan yang ada pada produk yang kita mahu tawarkan. Kita yakin sudah pasti
keyakinan kita tersebut boleh dipindahkan pula kepada prospek/pelanggan
mengikut bagaimana kita memberikan kefahaman dan presentasi terhadap mereka.
Jangan mudah mengalah dan tidak merasa yakin dengan
keupayaan diri dan produk. Tolak semua unsur-unsur negatif yang ada agar tidak
menguasai segala pemikiran kita. Berubah segera nyatakan keyakinan yang kita
juga boleh melakukannya dengan sebaik yang mungkin. Tiada satu pun perkara yang
mudah dan senang melainkan kena tempuh juga melalui dengan segala ketabahan,
kecekalan, kesabaran dan ketenangan yang diperlukan. Jangan mudah terpengaruh
dengan apa yang orang lain kata tapi cukuplah kita terpengaruh dengan hasil
kejayaan kita menjual produk yang ditawarkan. Sesungguhnya itulah pendorong dan
pencetus semangat kita untuk bertindak ke arah mencari kejayaan yang hakiki.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan