Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Rabu, 22 Mei 2013

REDHA MEREKA UNTUNGNYA KITA



Untuk mendapatkan penutupan jualan sudah pasti perhubungan yang baik dan mesra antara kita dan bakal pembeli atau pelanggan perlu dilakukan juga. Secara majoritinya manusia membeli dan menerima tawaran yang dikemukakan bukan disebabkan oleh produk yang ditawarkan tetapi hanyalah kerana diri kita sendiri. Tidak dinafikan lagi betapa perhubungan yang baik dan kukuh akan lebih memudahkan laluan mereka untuk menerima tawaran yang dimaksudkan. Kerana itu suka atau tidak kita kepada seseorang demi melakukan jualan kena di tolak tepi perasaan tidak suka dan gemar kepada mereka tapi berikan layanan yang terbaik boleh dilakukan.

Diceritakan kepada oleh Al-Abbas bin al-Walid al-Dimasyqiy sebagaimana yang diceritakan oleh Marwan bin Muhammad juga sebagaimana yang diceritakan oleh Abdul Aziz bin Muhammad daripada Daud bin Saleh al-Madiniy daripada bapanya beliau berkata bahawa aku telah mendengar Abu Said al-Khudriy berkata bahawa Nabi Muhammad SAW telah bersabda bahawa sesungguhnya jual beli adalah berdasarkan konsep saling reda-meredai (kerelaan kedua-dua belah pihak). (Diriwayatkan oleh Ibn Majah)

Tunjukkan keyakinan kita bukan setakat terhadap produk yang ditawarkan tetapi juga kepada bakal pembeli atau pelanggan di hadapan kita. Lakukan yang terbaik demi mereka dan ambil hati mereka melalui pertuturan dan gaya adab yang bersopan dan mempesonakan. Tidak perlu merayu atau mem bodek tapi tunjukkan kesungguhan kita dalam melakukan jualan. Apabila semua ini telah diperoleh maka bertambah mudah dan senang untuk kita mendapatkan penutupan jualan seperti mana yang dimahukan. Jadi untuk mendapatkan redha bakal pembeli atau pelanggan perkara-perkara berikut perlu kita lakukannya iaitu

i.             Penerangan yang memuaskan hati
Berikan yang terbaik kepada mereka. Penerangan biar ringkas, jelas dan padat. Tunjukkan bukan sahaja kemesraan tapi juga keikhlasan sebenar-benarnya. Jangan dipermainkan tapi berfakta akan apa yang disampaikan. Tanamkan keyakinan mereka sedalam-dalamnya tentang produk yang ditawarkan bahawa produk ini adalah produk yang boleh menyelesaikan masalah yang mereka hadapi dan tanggung selama ini.

ii.           Perkhidmatan selepas jualan
Kebiasaannya mereka akan lebih mudah bertanya apa yang akan kita lakukan setelah penawaran produk diterima. Tunjukkan yang kita tidak lari ke mana pun, bukan setakat untuk menjual kepada mereka tapi akan mengambil berat tentang produk yang mereka pergunakan. Jika ada jaminan beritahukan sahaja, mengikut tempoh yang telah dimaklumkan oleh pengeluar. Ada masalah bagi tahu sahaja kepada kita agar usaha kempen yang berterusan dapat dilakukan walaupun hanya dengan hebahan mulut dari mereka sahaja.

iii.          Layanan kemesraan
Bermula dengan senyuman, keceriaan pasti berlaku kerana akan menerbitkan pula kemesraan. Bila dah ada kemesraan sudah pasti jalinan perkenalan dan persahabatan akan tercipta dengan baiknya sama sekali. Bila dah mesra dan keyakinan telah wujud pasti kepercayaan akan kita peroleh dari mereka yang akhirnya demi kepercayaan mereka ke atas kita pasti akan menerima jua produk yang ditawarkan. Layanlah dengan sebaik yang mungkin tanpa perlu rasa ragu sama sekali.

iv.          Tiada kerugian yang timbul
Tiada siapa yang ingin membeli atau menerima tawaran sanggup menerima kerugian atau kena tipu. Semuanya mahukan keuntungan walaupun pembelian atau penerimaan tawaran tidak sebesar mana amaun transaksinya. Yang penting menguntungkan pengguna. Kerana itu, berikan apa kelebihan, keuntungan dan manfaat yang bakal mereka peroleh tanpa memberikan sebarang kerugian kepada mereka. Paling baik tunjukkan berapa banyak kerugian mereka akan tanggung jika mereka masih berkeras untuk tidak mahu menerima tawaran yang diberikan. Bagi mereka rasa tersedak dan merasa rugi pula kalau tidak menerimanya.

v.            Banyakkan bertanya dari banyakkan bercakap
Nak tahu daripada mereka kena pandai memberikan soalan-soalan yang memberikan jawapan penjelasan semula kepada kita. Kerana itu penerangan biar ringkas, jelas dan padat. Elakkan penerangan yang berjela-jela tapi perbanyakan soalan-soalan yang boleh memberikan kepada kita apa yang mereka cari, mahukan dan kehendaki. Selagi kita gagal kemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan mereka sudah pasti agak sukar untuk melakukannya.

Firman Allah bermaksud ‘Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka (redha meredai) di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu’ (Surah An-Nisaa Ayat 29).

Kembali semula nawaitu kita untuk menghulurkan bantuan dan pertolongan sewajarnya ketika menjual. Bakal pembeli atau pelanggan pasti melihat produk yang kita tawarkan sudah tentu dapat membantu selesaikan masalah yang mereka hadapi selama ini. Beri keyakinan yang kita benar-benar jujur untuk membantu dan selesaikan permasalahan mereka. Bukan untung yang kita cari tapi beri bantuan kepada mereka yang susah, bermasalah ataupun memerlukannya. Sudah pasti redha mereka akan kita peroleh juga pada akhirnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan