Berabad abad lamanya, Mesir
diperintah oleh raja yang menamakan dirinya Firaun. Mereka memerintah secara
turun temurun. Kerana kebebasan dan kekuasaan yang ada pada raja Firaun, setiap
yang menjadi raja itu, semakin lama semakin kejam dan ganas juga. Bukan saja
mereka menganggap dirinya paling kuasa, malah melebihi dari itu, beranggapan
bahawa diri mereka itu Tuhan yang harus disembah oleh semua manusia. Pada suatu
hari, tukang tilikan di raja sendiri datang menghadap Firaun dan berkata akan
lahir seorang anak lelaki di kalangan Bani Israel yang tinggal di Mesir ini.
Anak itu nanti akan mengalahkan engkau dengan pemberontakan pemberontakannya
dan tidak akan mengakui engkau sebagai Tuhan dan rajanya lagi.
Mendengar itu Firaun yang
begitu mudah terpengaruh dan cukup mempercayai tukang tilikan di raja tersebut
dengan segera mengeluarkan peraturan istimewanya di mana dinyatakan bahawa
setiap anak lelaki Bani Israel yang dilahirkan pada waktu itu harus dibunuh,
kecuali bayi perempuan saja yang dibenarkan hidup. Demikianlah keraguan dan
kesusahan hati si Firaun. Di waktu berlakunya undang-undang itulah ibu Nabi Musa
sedang mengandung dan sudah hampir dengan melahirkan anak, iaitu Nabi Musa.
Alangkah sedihnya hati
Yukabad, iaitu ibu Nabi Musa yang sedang mengandung dan sudah dekat waktunya
untuk bersalin, sekalipun dia sendiri tidak mengetahuinya apakah anak yang di
kandungnya itu lelaki atau pun perempuan. Dia terpaksa bersembunyi saja di
rumahnya, agar jangan diketahui orang bila bersalin nanti. Dalam keadaan sedang
bersembunyi itulah pada suatu hari Nabi Musa dilahirkan. Alangkah terkejutnya oleh
si ibu, bahawa bayi yang dilahirkannya itu adalah seorang anak lelaki. Dia
tidak berputus asa dan dia percaya juga bahawa anaknya itu akan hidup terus,
sedapat mungkin akan dia pertahankan, jangan sampai menjadi korban undang-undang
yang dikeluarkan Firaun itu. Khabar kelahiran ini disimpannya baik-baik, tidak
terdengar oleh Firaun dan mata matanya. Tiga bulan lamanya bayi Musa itu dapat
dijaga oleh ibunya sendiri, dengan tidak diketahui oleh Firaun dan
kakitangannya. Tetapi makin lama peraturan itu dijalankan makin bertambah keras
juga. Pasukan pengintip di perbanyakan dan di perhebatkan lagi operasi mencari
bayi lelaki untuk di bunuh.
Tuhan lalu mewahyukan kepada
ibu Musa, agar bayinya diletakkan ke dalam peti, lalu dihanyutkan ke Sungai Nil
yang mengalir di hadapan rumahnya. Dengan hati yang tenang dan sabar, ibu Musa
menuruti sahaja ajaran wahyu itu. Bayinya dimasukkan ke dalam peti, lalu
dihanyutkan ke Sungai Nil. Bayi yang dihanyutkan itu diiringkan dengan mata
sedih oleh saudara perempuan Nabi Musa sendiri, untuk mengetahui ke mana perginya
anak bayi ini nantinya. Alangkah terkejut saudara perempuan dan ibu Nabi Musa,
ketika diketahuinya, bahawa peti yang membawa bayinya itu terhenti di dalam
istana Firaun, lalu diambil oleh isteri Firaun.
Ibu Musa cemas kalau-kalau
bayinya dibunuh oleh Firaun. Tetapi Allah lebih berkuasa. Baru saja isteri
Firaun melihat wajah bayi yang hanyut terapung-apung dengan sebuah peti di
dalam sungai itu, timbul cinta kasih dalam hatinya terhadap bayi itu. Lalu anak
itu diambil dan digendongnya ke dalam istana Firaun sambil memikirkan apa
hujah-hujah terbaik bagi dirinya mengizinkan Raja Firaun membenarkan untuk
dipelihara bayi walaupun mengetahui peraturan masa kini tidak mengizinkan bayi
lelaki di benarkan hidup.
Berbekalkan keberanian
isteri Firaun terus sahaja menemui Firaun yang sudah tentu diketahuinya akan
membantah dan tidak akan bersetuju dengan cadangannya. Lalu dibawa dan
diperlihatkannya juga kepada suaminya. Sememangnya telah beliau duga akan
keengganan si Firaun tapi oleh sebab pujukan demi pujukan yang dilakukan secara
baik dan berhemah pada akhirnya Firaun terpaksa juga mengalah dan menerima
sahaja cadangan si isterinya untuk membela dan membesarkan bayi tersebut di
Istananya.
Satu kisah yang baik untuk
dijadikan sebagai satu pedoman, iktibar dan pengajaran kepada diri kita semua
tentang betapa kuatnya pengaruh memujuk daripada perkara yang tidak dimahukan
bertukar kepada perkara yang dipersetujui pula. Mengubah pendirian dan kemahuan
seseorang daripada tidak mahu kepada berkehendakkan. Begitulah hebatnya kuasa
memujuk dan merayu. Hati sekeras mana pun kalau betul dengan caranya dan
kaedahnya sudah pasti terlentok juga akhirnya. Inilah senjata yang perlu
digunakan jika ia nya terdesak dan terpaksa di guna pakai. Mungkin kalau kena
gayanya tidak mustahil untuk kita pergunakan pula kepada orang lain.
Sememangnya
memujuk dan dipujuk adalah satu senjata yang harus digunakan oleh orang yang
melakukan jualan agar prospek/pelanggan yang di temui akan menerima juga produk
yang ditawarkan kepada dirinya. Asalkan tidak menipu tetapi memberikan
secara berfakta dan benar tentang apa
kelebihan dan manfaat produk yang ditawarkan sudah cukup dan memadai bagi
mempengaruhi pemikiran mereka. Jangan mudah berputus asa, sedangkan Firaun yang
keras dan berani mengaku dirinya Tuhan dengan mudah telah ditewaskan hanya
dengan pujukan isterinya inikan pula kita berhadapan dengan manusia biasa.
Lakukan dengan baik secara berlemah lembut, berhemah dan berbudi bahasa sudah
pasti sesiapa yang sukar untuk menerima apa yang kita tawarkan kepada dirinya
pasti akan membuatkan dirinya akan berfikir semula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan