Sesuatu yang paling merisaukan apabila melakukan tindakan menjual kepada
prospek/pelanggan adalah kita terlalu mementingkan diri kita mengatasi
segala-galanya. Seolah-olah apa yang berlaku kepada prospek/pelanggan biarkan
sahaja mereka yang tanggung selama mana penutupan jualan berjaya dilakukan.
Yang penting pendapatan atau perolehan yang kita terima itu sudah cukup
memadai. Apa-apa yang berlaku selepas itu bukanlah tanggungjawab kita lagi dah
kerana itu adalah liabiliti dan tanggungjawab syarikat pengeluar produk sahaja
dan tidak ada kena mengena dengan kita yang melakukan jualan sahaja.
Inilah satu sikap yang perlu kita risaukan dan perlu diambil berat agar
kepentingan peribadi dan ketamakan wang ringgit dapat dihindari dengan sebaik
yang mungkin. Walaupun begitu cabaran, dugaan dan tipu daya syaitan amat hebat
yang akan kita lalui. Pengalaman akan mengajar kita menjadi insan yang lebih
baik disokong dengan rakan-rakan yang sentiasa cukup bersedia memberi nasihat
dan teguran secara lebih berguna kepada diri kita sendiri. Kawallah dengan
sebaik yang mungkin agar perkara-perkara yang negatif ini tidak wujud sama
sekali iaitu
i.
Terlalu menuruti hawa nafsu
Kerana merasakan
kepentingan diri diutamakan dalam setiap aspek walaupun dalam tugasan jualan,
habis segala keperluan dan matlamat asas dalam jualan telah diabaikan begitu
sahaja. Kerana mengikut gejolak serakah nafsu yang ada kita langsung tidak
mengambil berat setiap bantuan dan pertolongan yang perlu kita hulurkan kepada
mereka yang memerlukannya. Yang penting produk diterima dalam pasaran melalui
kita dan apa yang berlaku selepas itu bukanlah tanggungjawab sebenar kita
hendaknya.
ii.
Kelalaian
Tidak serius dengan apa
yang berlaku dan terjadi. Sanggup melakukan secara tergopoh gapah begitu sahaja
tanpa memikirkan kesan dan impaknya kepada pihak prospek/pelanggan. Mudah
sangat lalai dengan ada sahaja yang tiada kesempurnaannya seperti tertinggal
barang-barang yang diperlukan semasa presentasi dengan prospek/pelanggan, tidak
menjaga masa yang diperuntukkan atau sengaja melewat-lewatkan apa yang
prospek/pelanggan inginkan. Kesemua yang dilakukan adalah demi kepentingan diri
sendiri dan bukannya demi kepentingan prospek/pelanggan yang ditemui.
iii.
Kejahilan
Hanya disebabkan diri
sudah pandai dan terlalu bijak dalam melakukan jualan dirasakan sudah memadai
dengan apa yang ada asalkan penutupan jualan berjaya diperoleh. Sentiasa ingat
tidak perlu adanya ilmu yang tinggi tapi cukuplah sekadar boleh mendapatkan penutupan jualan langsung itu sudah memadai. Seolah-olah merasakan setiap ilmu yang baru tersebut akan mengganggu rentak tugasan sedia dalam melakukan jualan. Janji tahu sedikit sudah cukup sebagai senjata apabila melakukan jualan.
iv.
Tiada pergantungan pada Allah
Lebih percaya kepada logik
akal semata-mata. Keredaan dan keberkatan Allah tidak diambil berat langsung.
Mudah merasakan diri sendiri yang melakukan semua jualan yang diberikan tanpa
adanya sebarang bantuan dan pertolongan dari Allah SWT. Nauzubillah. Sebagai
seorang hamba Allah yang diciptakan untuk tunduk semula kepada Nya, bukan
setakat solat sahaja perlu tunduk kepada Allah tetapi juga semua perbuatan dan
amalan kita di
dunia ini perlu kepada Allah juga tempat kita
memohon apa juga bantuan dan pertolongan kepada Allah.
v.
Bersikap ego dan bangga diri
Mudah sangat merasa bangga diri, berlagak dan
ego tak tentu hala. Di
waktu kita senang mungkinlah apa yang orang lain
kata sudah pasti tidak kita pandang sama sekali seolah-olah dunia ini kita yang
punya. Tapi bagaimana di
waktu dan ketikanya kita dalam keadaan jatuh
tersungkur tiada siapa yang ingin menghulurkan bantuan ketika itu pula.
Sentiasalah kita dalam keadaan berhemah dan bersopan serta merendah diri
sentiasa walaupun kadang-kadang keegoan mengatasi segala-galanya.
Inilah ancaman dalaman yang perlu kita sedari agar kita sama sekali tidak
mudah terjebak dengannya. Sekali kita alpa dan terleka bermakna berbagai macam
lagi kelupaan akan diwujudkan dalam diri kita menawarkan sesuatu yang menggembirakan pada firasat kita walaupun secara realiti tiada apa-apa pun yang berlaku dan terjadi. Ambil sikap yang berhati-hati dengan pencarian
ilmu setiap masa agar kita lebih khusyuk kepada Allah dan lebih fokus dalam melakukan tugasan jualan kita dengan
lebih baik dan baik setiap hari. Jangan terlalu difikirkan keuntungan dan kelebihan yang
kita peroleh tapi sentiasa fikirkan apa kelebihan dan keuntungan yang bakal
mereka peroleh apabila kita melakukan jualan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan