Firman Allah bermaksud “Dan Tuhan mu telah memerintahkan supaya kamu jangan
menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa mu dengan
sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur
lanjut dalam pemeliharaan mu, maka sekali-kali janganlah mengatakan kepada
keduanya perkataan ‘ah’, dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkan kepada
mereka perkataan yang mulia.” (Surah al-Isra’ Ayat 23).
Pada zaman Rasulullah ada seorang pemuda
yang bernama Alqamah. Dia seorang pemuda yang rajim beramal ibadah, rajin
bersolat, banyak berpuasa dan suka bersedekah. Suatu hari Alqamah jatuh sakit
tenat, maka isterinya mengirim utusan kepada Rasulullah untuk memberitahukan
kepada baginda akan keadaan Alqamah. Maka, Rasulullah pun mengutus Ammar bin
Yasir, Shuhaib ar-Rumi dan Bilal bin Rabah untuk melihat keadaannya. Beliau
bersabda, “Pergilah ke rumah Alqamah dan
talqin-lah untuk mengucapkan La
Ilaha Illallah ”Akhirnya mereka berangkat ke rumahnya, ternyata
saat itu Alqamah sudah dalam keadaan begitu nazak,
maka segeralah mereka mengajarnya, namun ternyata pergerakan mulut Alqamah
tidak mampu mengucapkan La ilaha
illallah.
Kecewa dengan apa yang berlaku terus sahaja mereka laporkan kejadian ini
pada Rasulullah.
Maka Rasulullah pun bertanya, “Apakah dia
masih mempunyai kedua orang tuanya?”
Lalu antara mereka lantas yang menjawab,
“Ada wahai Rasulullah, dia masih mempunyai seorang ibu yang sudah sangat tua dan
lemah”
Maka Rasulullah mengirim utusan untuk
menemuinya, dan beliau berkata kepada utusan tersebut, “Katakan kepada ibunya
Alqamah, ‘Jika dia masih mampu untuk berjalan menemui Rasulullah maka
datanglah, namun kalau tidak, maka biarlah Rasulullah yang datang menemui
dirinya’
Tatkala utusan itu telah sampai pada
ibunya Alqamah dan pesan baginda itu disampaikan, maka dia berkata, “Sayalah
yang lebih berhak untuk mendatangi Rasulullah.”. Maka, dia pun mengambil
tongkat dan berjalan untuk bertemu dengan Rasulullah. Sesampainya di rumah
Rasulullah, dia mengucapkan salam dan Rasulullah pun membalas salamnya semula. Lalu
Rasulullah bersabda kepadanya, “Wahai ibu Alqamah, jawablah pertanyaan ku
dengan jujur, sebab jika engkau berbohong, maka akan datang wahyu dari Allah
yang akan memberitahukan kepada ku, bagaimana sebenarnya keadaan anak lelaki mu
Alqamah?”
Lalu si ibu menjawab, “Wahai Rasulullah,
dia sangat rajin mengerjakan solat, banyak puasa dan mudah melakukan
bersedekah.” Lalu Rasulullah bertanya lagi, “Lalu apa perasaan mu padanya?” Ibu
Alqamah menjawab, “Saya marah kepadanya Wahai Rasulullah.”
Rasulullah bertanya lagi, “Kenapa?” Ibu
Alqamah menjawab, “Wahai Rasulullah, dia lebih mengutamakan isterinya
dibandingkan saya dan dia pun derhaka kepada ku.”
Maka, Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya
kemarahan ibu telah menghalangi Alqamah untuk mengucap, sehingga tidak mampu
mengucapkan syahadat.” Kemudian baginda bersabda, “Wahai Bilal, pergilah dan
kumpulkan kayu bakar yang banyak.” Lantas si ibu bertanya, “Wahai Rasulullah,
apa yang akan engkau mahu lakukan?” Baginda menjawab, “Saya akan membakarnya di
hadapan mu.” Dia menjawab, “Wahai Rasulullah , saya tidak rela dan mahu kalau
engkau membakar anak ku di hadapan ku.”
Maka, Rasulullah menjawab, “Wahai Ibu
Alqamah, sesungguhnya azab Allah lebih pedih dan lebih dahsyat, kalau engkau
ingin agar Allah mengampuninya, maka relakanlah anak mu Alqamah, demi Dzat yang
jiwa ku berada di Tangan Nya, solat, puasa dan sedekahnya tidak akan memberinya
apa-apa manfaat sedikit pun selagi engkau masih marah kepadanya,” Maka ibu
Alqamah berkata, “Wahai Rasulullah, Allah sebagai saksi, juga para malaikat dan
semua kaum Muslimin yang hadir ketika ini, bahawa saya telah redha pada anak ku
Alqamah”.
Rasulullah pun berkata kepada Bilal, “Wahai
Bilal, pergilah kepadanya dan lihatlah apakah yang berlaku kepada Alqamah sudah
mampu melafazkan mengucap syahadat atau kah belum, barangkali ibu Alqamah mengucapkan sesuatu yang bukan berasal dari dalam hatinya, barangkali
dia hanya malu kepada ku.” Maka, Bilal pun berangkat, ternyata dia mendengar
Alqamah dari dalam rumah mengucapkan La Ilaha Illallah. Maka, Bilal pun masuk
dan berkata, “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya kemarahan ibu Alqamah telah
menghalangi lafaznya sehingga tidak mampu mengucapkan syahadat, dan redha nya
telah menjadikannya mampu mengucapkan syahadat.” Kemudian, Alqamah pun
meninggal dunia saat itu juga.
Maka, Rasulullah melihatnya dan
memerintahkan untuk dimandikan lalu dikapankan kemudian beliau menyembahyangkannya
dan menguburkan Alqamah. Lalu, berdekatan dengan kuburan tersebut baginda
bersabda, “Wahai sekalian kaum Muhajirin dan Ansar, barang siapa yang
melebihkan isterinya daripada ibunya, dia akan mendapatkan laknat dari Allah,
para malaikat dan sekalian manusia. Allah tidak akan menerima amalannya sedikit
pun kecuali kalau dia mahu bertaubat dan berbuat baik pada ibunya serta meminta
redha nya, karena redha Allah tergantung pada redha ibunya dan kemarahan Allah
tergantung pada kemarahan ibunya.”
Baru-baru ini ketika mendengar siaran radio Ikim.Fm terdengar saya tentang
pengorbanan seorang anak dan bagaimana anak ini begitu memuliakan ibunya
sehingga hari ini adalah seorang usahawan yang berjaya di Malaysia. Apa yang
dimaksudkan adalah saudara Ali Hassan Mohd Hassan pemilik Syarikat aL-ikhsaN
di mana perniagaan utamanya adalah sebuah syarikat yang menyediakan kelengkapan
sukan bertaraf antarabangsa dan mempunyai lebih daripada 100 cawangan di
seluruh Negara. Menurutnya kejayaan saudara Ali Hassan ini adalah kerana apa
juga yang beliau lakukan, redha ibu akan beliau peroleh dahulu. Bukan setakat
redha ibunya yang dipohonnya tetapi juga sering meminta ibunya untuk berdoa ke
hadrat Allah agar sentiasa dipermudahkan dan berkembang maju perniagaannya.
Sehinggakan ada cawangan-cawangan Al-Ikhsan yang dibuka secara rasmi oleh ibunya sendiri dan bukannya oleh VIP yang dijemputnya. Begitulah
hebatnya bagaimana yakinnya saudara Ali Hassan mengapa kita sebagai anak perlu
menghormati dan mentaati kepada kedua orang tuanya untuk perkembangan
perniagaannya.
Bagaimana pula dengan kita? Nak menjamin kejayaan secara langsung dan
bersungguh dalam melakukan jualan sudahkan kita memohon restu dan doa dari
kedua-dua orang tua kita? Restu mereka adalah restu Allah juga. Jangan sama
sekali kita ingat bahawa kita sudah dewasa dan boleh mencari pendapatan
sendiri, kedua ibu bapa kita abaikan sama sekali. Kejayaan karier kita dalam
jualan terlalu bergantung rapat dengan keredaan dan doa dari mereka. Semoga
kita sentiasa menjadi anak yang soleh dan tidak sama sekali menjadi seorang
anak yang derhaka kepada kedua orang tua kita. Mereka seronok dengan kita
secara tidak langsung kita juga akan merasa seronok dengan aktiviti jualan yang
kita lakukan pada siapa pun juga yang kita temui.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan