Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Ahad, 21 April 2013

Menjadi Tetamu Allah



Dari Malaysia? Malaysia bagus, Malaysia bagus, mari mari marilah masuk tengok dulu semuanya murah-murah sahaja. Masih teriang-riang di telinga mengingatkan peristiwa semasa melakukan Umrah di tahun lepas. Selain menjadi tetamu Allah di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram aktiviti lain yang tidak kurang juga hebatnya bagi jemaah Malaysia termasuklah diri saya adalah menjadi tetamu tidak rasmi di kedai-kedai berhampiran masjid dan hotel penginapan. Rata-rata jemaah dari Malaysia walaupun bukan di musim haji tapi hanya melakukan umrah tetap ramai juga mengunjungi kedai-kedai yang ada membeli barangan untuk dibawa ole-ole balik ke Malaysia. Kadang-kadang bukannya barangan tersebut tidak dijual di Malaysia tapi mungkin kerana barangan tersebut berada di Arab Saudi menjadi penyebab utama kenapa membeli juga di sana.

Yang menghairankan makin kuat beribadah di sana semakin kuat pula melakukan shopping. Sememangnya apabila membeli belah di sana Pak-Pak Arab di sana akan bertanya dahulu dari Malaysia atau tidak. Kalau mereka mengetahui bakal pembelinya adalah rakyat Malaysia layanan sudah tentu amat istimewa diberikan. Biarpun harga tidak semurah mana dan lebih kurang sahaja harganya dengan kedai yang lain namun bakal pembeli sedikit sebanyak pasti akan membelinya jua. Inilah kelebihan Pak Arab yang berniaga di Arab Saudi mungkin boleh kita praktik kan pula di sini bagaimana mereka menjual iaitu

i.             Mengetahui bahasa bakal pembeli yang datang
Bahasa Arab adalah bahasa utama di sana. Walaupun majoriti jemaah dari Malaysia tidak mahir dan fasih berbahasa Arab namun urusan jual beli masih lagi boleh dilakukan. Majoriti peniaga Arab boleh berbahasa Melayu dengan baik. Ini lebih memudahkan lagi promosi dan tawar menawar berlaku. Cukup terhibur dan kagum  dengan peniaga Arab ini walaupun menetap di Arab Saudi namun bahasa Malaysia adalah pilihan mereka dan bukannya bahasa English.

ii.           Sasaran pelanggan yang perlu dijual
Tidak dinafikan mereka akan memilih pembeli-pembeli yang datang. Pasti untung jika disebut datangnya dari Malaysia. Layanan pasti tip top. Seolah-olah pelanggan dari negara lain yang datang pasti dicicirkan begitu sahaja melayan pelanggan yang datang dari Malaysia. Cukup meriah dengan tawar menawar. Perkataan bagi jadi, halal dan boleh sentiasa menjadi mainan perbualan jualan di sana. Tak membeli banyak pun tidak mengapa asalkan pelanggan dari Malaysia membeli di kedainya walaupun sedikit amat-amat digemarinya.

iii.          Memberikan harga yang istimewa
Harga kalau dibandingkan mana-mana kedai walaupun setelah selesai tawar menawar lebih kurang sama sahaja harganya. Namun kerana bodek yang cekap dan berkesan memujuk terus memujuk menjadikan pembeli dari Malaysia ini dari tak jadi terus pula jadi untuk membelinya. Sememangnya harga memainkan peranan yang penting tapi ukuran kedua yang sama pentingnya adalah kualiti produk tersebut ditentukan pula di samping mulut manis Pak Arab yang menjualnya tanpa rasa penat dan jemu memujuk.

iv.          Mengumpan cenderamata
Bila diumpan hadiah atau cenderamata sudah pasti akan datang lagi atau menceritakan pula pada jemaah lain betapa bagus dan eloknya kedai tersebut tawarkan. Walaupun hadiah tersebut harganya tidak seberapa mahal dan eloknya tapi oleh kerana percuma pasti ia nya akan membuatkan lebih banyak terpesona dan terpikatnya jemaah dari Malaysia untuk mengulangi datang berkali-kali di kedai tersebut. Hanya kerana umpan kesetiaan mudah diperoleh.

v.            Layanan yang mesra
Layanan memang hebat. Terutama kalau yang pergi membelinya orang perempuan. Mulut sentiasa manis dan cukup sukar menyaksikan mereka dalam situasi yang marah dan yang menjegil sama sekali. Kerana itu orang perempuan kalau hendak membeli belah di kedai Pak Arab ini kena berjaga-jaga kerana adanya Pak Arab ini gatal orangnya suka mengambil kesempatan menggesel-gesel badannya kepada pembeli wanita. Tindakan paling baik biarlah teman yang mengikut terdapat seorang lelaki mengekorinya.

Begitulah Pak Arab berniaga. Cukup pandai mengambil kesempatan apabila terdapatnya ada orang hendak membeli. Tidak memberi ruang langsung. Bila bakal pembeli bertanya terus dihulurkan barangan tersebut tanpa ada sebarang penangguhan dan rungutan. Memang mereka cukup sabar dan tabah dalam melayan karenah pelanggan terutamanya dari Malaysia. Kerana itu mana yang baik bila balik ke Malaysia tidak salah bagi kita untuk mencedok dan meniru dipraktikkan di Malaysia pula. Asalkan boleh menjual tidak ada yang salahnya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan