Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Khamis, 25 April 2013

TAK APA PUNYA




Ambil mudah sahaja dalam melakukan jualan amat dikesali. Penyakit TAK APA amat menular di kalangan orang-orang yang melakukan jualan seolah-olah apa yang dilakukan seperti tidak ada perkara penting dan serius untuk diambil tahu. Seolah-olah apa yang dilakukan semuanya betul dan benar pada pengamatan diri kita sendiri tanpa perlu merasakan kepentingan pada pelanggan, majikan atau perniagaan yang kita jalankan. Biar orang lain susah asalkan kita tidak susah sudahlah. Semuanya merasakan tentang diri kita sahaja.

Perlu kah kita bersikap sebegini dalam memastikan kejayaan melakukan jualan. Sudah tentu pasti tidak  kita mahukan apabila bercakap pada orang lain. Tapi pada realitinya kita tetap melakukannya antara kita sedar ataupun tidak. Kalau inilah sikap kita sudah pasti kita tidak ke mana dalam karier kita. Berfikir semula agar sikap TAK APA tidak menular dalam diri kita. Ini adalah kerana

i.             Kita akan bersikap lebih malas untuk bertindak memajukan karier dan tugasan kita dalam jualan. Selagi boleh menjual nak takut apa janji boleh dapat pendapatan dan komisen sudah memadai. Buat apa kerja kuat andai kata menyusahkan diri sendiri sehingga tidak boleh relak dan lepak. Adakah ini matlamat kita mencari rezeki?

ii.           Kredibiliti pasti akan diragui dalam kita melakukan jualan. Tidak kira siapa pun juga walaupun rakan karib kita pasti tidak akan menghormati diri kita andai sikap acuh tak acuh tidak mengambil berat dilaksanakan dalam diri kita. Sudah pasti nama kita dalam pasaran menjadi satu nama yang bukan pilihan mereka hanya kerana hebahan mulut yang tersebar.

iii.          Tidak ada kesungguhan dan serius apabila melakukan tugasan. Ini yang merisaukan kerana kita melakukan jualan bukan untuk sehari dua sahaja tapi dilakukan dalam satu tempoh yang lama kalau boleh sehingga akhir hayat kita. Bila tiada kesungguhan sudah pasti sikap dendam, khianat dan berdengki akan menular pula dalam diri kita. Kita sudah pasti tidak boleh menerima orang lain boleh berjaya melainkan diri kita sahaja. Walhal bagaimana nak berjaya sekiranya kesungguhan melakukan tugasan tidak setimpal dengan apa yang kita usahakan.

iv.          Tiada lain yang dilihat melainkan demi kepentingan diri kita sahaja. Buat apa nak menyibuk hal orang andai kata asyik mereka sahaja yang untung. Bukankah dalam jualan membantu dan menolong orang amat diperlukan sama sekali untuk kita melakukannya? Kena semak semula akan apa yang kita lakukan selama ini betul ataupun tidak

v.            Akan mudah memberikan pelbagai alasan yang tidak munasabah hanya kerana sikap TAK APA kita. Sudah tentu pelanggan atau siapa sahaja yang berurusan dengan kita pasti kecewa dengan sikap kita yang tidak mengambil berat perkara yang sepatutnya. Sepatutnya boleh kita lalui langsung pudar dan musnah pula akibatnya hanya kerana pelbagai alasan yang kita kemukakan.

vi.          Janji sudah pasti tidak akan ditunaikan. Hanya kerana sikap acuh tak acuh kita. Kena tahu apa yang patut dilakukan agar apabila sudah berjanji. Sekali kita memungkirinya sudah pasti sampai bila-bila orang akan sukar untuk mempercayainya pula di masa hadapan.

vii.        Hilang langsung keikhlasan kita dalam melakukan jualan. Sikap TAK APA lebih banyak menguasai diri kita dari segala-galanya. Bila tiada keikhlasan bermakna kejujuran pasti hilang dan sudah pasti memberikan satu imej yang tidak baik pada diri kita sendiri apabila melakukan jualan.

Jangan mudah perkatakan TAK APA dalam diri kita ini. Orang sekeliling akan memandang lekeh pada kita andainya betapa mudah kita dalam menangani satu-satu perkara yang serius dan mesti dilakukan. Kalau ini ada dalam diri kita eloklah berubah segera demi karier dalam bidang jualan ini. Periuk nasi kena jaga. Jangan kerana sikap diri sendiri habis kita taburkan pasir dalam periuk nasi tersebut. Bila dah berpasir macam mana nak makan? Elakkan dan jauhkan sama sekali agar apa yang kita lakukan kita jaga sungguh-sungguh. Bukan main-main atau ambil mudah sahaja. Kita bersungguh sudah pasti hasilnya lumayan buat kita asalkan kita mahu lakukan apa yang telah kita rencanakan selama ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan