Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Jumaat, 19 April 2013

PENCARIAN KEAKRABAN



Jangan mudah gusar dan gelisah hanya kerana keyakinan kita untuk mendapatkan hubungan yang lebih akrab dan rapat dengan prospek/pelanggan. Mesti ada caranya. Mesti ada peluangnya untuk diintai bagi mendapatkannya. Bukan mudah untuk mendekati prospek/pelanggan dengan cara yang baik tapi semuanya yang pasti tidak mustahil untuk dilakukan. Macam mana nak menjual kalau mendekati mereka pun kita gagal.

Kerana itu kena lakukan beberapa perkara untuk lebih memudahkan lagi buat kita merapati prospek/pelanggan yang disasarkan dan yang ditemui. Antara yang perlu dilakukan adalah

i.             Berkelakuan baik dan merendah diri
Kita yang berkehendakkan jadi kita kena mulakan dulu. Berbuat baik dan merendah diri. Buang segala ego yang ada agar lebih mudah untuk bermesra dan mendampingi sebaik yang mungkin. Mungkin pada mulanya agak kekok sedikit tapi lama-kelamaan sudah semestinya diperbaiki dan mudah mula untuk dilakukan.

ii.           Berhemah dan lembut tutur kata
Intonasi suara kena jaga. Main sesuka hati buat pertama kali bertemu bercakap macam dah bertemu banyak kali perlu dielakkan. Control macho. Perkataan lu, gua , bai, bro atau sis elakkan dahulu dari digunakan. Kenali dahulu orangnya bagaimana perhubungan boleh dikekalkan. Jangan mudah main lakukan andaian atau agak-agak sahaja. Dapatkan kepastian dahulu itu lebih utama.

iii.          Berani dan buang sifat pemalu
Asyik malu dan tak berani macam mana nak berhubung baik dengan mereka. Tanamkan keyakinan diri agar kita berani melakukannya. Tiada apa yang perlu disegankan atau dimalukan kerana kita lakukan untuk memudahkan lagi tugasan jualan kita. Bersikap dan berfikiran positif agar kita mudah melakukannya.

iv.          Beri pujian
Dengan keikhlasan yang ada bukan dibuat-buat berikan segala pujian yang ada. Sememangnya manusia suka dipuji. Berikan pujian sebaik yang mungkin agar mereka lebih senang dan mudah untuk didekati. Sebaik-baik pujian berikan apa yang kita lihat di sekeliling mereka seperti cara penampilannya, hobinya atau apa sahaja yang kita sedari tentangnya. Yang penting kita tahu untuk memulakannya di tempat yang sepatutnya dilakukan.

v.            Membantu bukan menjual
Kehadiran kita walaupun untuk menjual tapi jangan sama sekali ditonjolkan terlebih dahulu. Tunjukkan kepada mereka kehadiran kita semata-mata untuk membantu dan menolong mereka untuk selesaikan masalah yang mereka tanggung selama ini menerusi produk yang kita tawarkan. Kerana itu banyakkan bertanya dan beri penerangan sewajarnya. Buktikan yang produk kita amat relevan dengan kehendak mereka. Maklumkan bahawa kehadiran kita bukan sama sekali ingin mencuri wang mereka bagi menampung keuntungan produk yang kita tawarkan. Berbuat baik agar mereka juga berbuat baik terhadap kita.

Kalau setakat berkenalan sahaja sudah pasti sesiapa sahaja boleh melakukannya. Lihat kanak-kanak kecil bagaimana mereka tanpa mengira siapa pun di sekelilingnya cukup mudah berkawan dan bermesra dengan siapa juga yang ditemuinya asalkan matlamat utama mereka boleh bermain bersama. Kalau kanak-kanak boleh melakukannya kenapa kita yang sudah dewasa cukup sukar pula untuk melakukannya. Fikirlah sebaik-baiknya ambil tindakan yang sepatutnya agar setiap orang yang kita bertemu dan bersua cukup mudah untuk kita berkawan dan bersahabat sampai bila-bila tidak kira mereka itu menjadi pelanggan ataupun tidak.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan