Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Sabtu, 13 April 2013

Pengajaran dari Imam Hassan Al Banna



Kenalkah kita kepada Hasan Al-Banna? Seorang pendakwah yang hebat yang amat dikenali diseluruh dunia akan segala jasa-jasa beliau yang telah ditaburkan. Hasan Al-Banna dilahirkan di desa Mahmudiyah kawasan Buhairah, Mesir tahun 1906 M. Ayahnya, Syaikh Ahmad Al-Banna adalah seorang ulama fiqh dan hadis. Sejak masa kecilnya, Hasan Al-Banna sudah menunjukkan tanda-tanda kecemerlangan akhlak dan pemikirannya. Pada usia 12 tahun, atas anugerah Allah, Hasan Al-Banna semenjak dari usia kecil telah menghafal separuh isi Al-Quran. Maka mulailah Hasan Al-Banna dengan dakwahnya. Dakwah mengajak manusia kepada Allah, mengajak manusia untuk menolak kejahilan. Dakwah beliau dimulai dengan menggalang beberapa muridnya. Kemudian beliau berdakwah di kedai-kedai kopi.

Pada Mac 1928 Syeikh Hassan Al-Banna telah menubuhkan gerakan Ikhwan Muslimin di bandar Ismailiyyah. Pengaruh Ikhwan yang semakin kuat amat dikhuatiri dan ditakuti oleh kerajaan Mesir yang diketuai oleh al-Nukrasi Bassa dari parti al-Sa’di yang bertindak mengharamkan Ikhwan Muslimin pada 1948. Hasan Al-Banna telah ditembak pada 12 Februari 1949 ketika keluar dari bangunan pertubuhan Ikhwan Muslimin. Beliau menghembuskan nafas terakhir di hospital dan pembunuhan beliau didakwa dirancang oleh polis rahsia kerajaan berikutan kematian perdana menteri yang dibunuh oleh seorang pelajar yang kecewa dengan pembubaran Ikhwan Muslimin. Jenazah al-Imam Hassan Al-Banna telah dikebumikan dengan kawalan kereta-kereta kebal dan perisai. Orang ramai tidak dibenarkan menghadiri upacara pengebumiannya, yang hadir hanya keluarganya sendiri.

http://my.effectivemeasure.net/emnb_18_27556.gif?251189857 
Begitulah hebatnya Hasan Al-Banna, pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin dan pendakwah tegar yang digeruni oleh pemerintah sekular di waktu itu sehingga mati dibunuh namun inti pati pengajaran dan dakwah masih segar lagi dikuti oleh pengikut-pengikutnya sehingga kini. Terdapat beberapa wasiatnya yang boleh kita pergunakan sama sekali sebagai pengajaran dan iktibar yang boleh kita jadikan sebagai satu panduan buat diri kita yang melakukan jualan seperti mana yang Islam mahukan iaitu

i.             Jangan bertengkar walau dalam apa juga keadaan sekalipun kerana pertengkaran yang kosong tidak mendatangkan apa-apa faedah sekalipun.
Pastikan dalam kita menjual elakkan sama sekali dari melakukan sebarang pertengkaran walaupun mungkin terdapat kebenarannya di sebelah kita. Bawa bertenang dan bersabar. Beralah bukannya kalah tapi tenangkan dahulu keadaan dan situasi supaya tidak sampai menjadi bertengkar, berkelahi dan meninggi suara. Imej diri dan organisasi perlu dijaga dengan sebaik yang mungkin.

ii.           Janganlah terlalu banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah sentiasa sahaja akan tenteram dan tenang.
Banyakkan bertenang, ingat akan Allah dalam kita melakukan jualan. Jangan dilatih diri kita terlalu berseronok dengan perkara yang bukan-bukan dikhuatiri nanti kita mudah terlupa dan alpa terlalu seronok dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya kita lakukan. Bila terlalu banyak ketawa apatah lagi di hadapan prospek/pelanggan kita pasti tidak akan dihormati oleh mereka dan merasakan kita sengaja mahu untuk mengambil kesempatan pula ke atas mereka.

iii.          Janganlah terlalu banyak bergurau kerana orang Islam yang sedang berjuang itu tidak mengerti erti bergurau melainkan bersungguh2 dalam setiap perkara.
Lakukan sebaik mungkin dalam kita melakukan tugasan jualan kita. Jangan pandang ringan dan mudah sama sekali. Sudah menjadi periuk nasi kita jadi amat perlu untuk kita menjaganya dengan baik dan sepatutnya agar keberkatan dan keredaan Allah kita peroleh sentiasa.

iv.          Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah suatu perbuatan yang sia-sia malah menyakiti hati orang.
Bercakap biarlah mengikut intonasi suara yang sepatutnya. Tidak perlu meninggi suara dan terjerit-jerit apabila melakukan jualan. Kawal intonasi dan suasana agar setiap kali prospek/pelanggan yang ditemui merasa cukup senang dengan kehadiran diri kita.

v.            Jauhilah daripada mengumpat-umpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa- apa yang memberi kebajikan.
Jaga mulut dan kawal peribadi. Mana nampak yang tidak elok dan buruk tabiat yang dipamerkan jangan sama sekali kita memburuk-burukkan pula kepada orang lain. Kawal diri kita agar diri kita lebih disenangi oleh orang lain. Jangan suka mengata orang apatah lagi membicarakan tentang aib seseorang. Lagi kita menjaganya selagi itu aib kita pasti Allah akan turut menjaganya pula.

vi.          Berkenal-kenalanlah dengan setiap Muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.
Sememangnya kita yang melakukan jualan digalakkan untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan seranai yang termampu. Jadikan mereka sebagai kenalan, sahabat dan tempat kita berurusan dengan mereka. Lagi ramai lagi bagus kerana bila orang dah mula kenali diri kita tanpa rasa malu dan segan sudah pasti mereka cukup mudah untuk kita dampingi setiap masa.

vii.        Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah pelaksanaannya.
Jangan lakukan perkara-perkara yang mengarut di luar dari perkara yang sepatutnya. Kalau nak menjual buatlah dengan sepenuh hati. Jangan nak buat benda lain pula. Konsentrasi dan fokus pada apa yang sepatutnya kita lakukan. Datangkan kepercayaan orang kepada kita agar mereka tahu kita sememangnya serius dan bersungguh dalam melakukan jualan.

Ambillah iktibar dan pengajaran yang sepatutnya. Jangan ambil mudah dan senang tapi ambillah dengan bersungguh dan serius akan apa yang ingin kita lakukan. Jangan tamak tapi banyakkan membantu dan menghulurkan pertolongan selesaikan permasalahan mereka melalui produk-produk yang kita tawarkan. Selagi kita jujur dengan apa yang kita lakukan selagi itu kita tidak perlu risau dengan apa yang kita buat. Nak berjaya kena jujur dan dapatkan kepercayaan mereka. Betulkan hati dan perasaan kita agar kita tahu bezakan yang mana baik dan buruknya dalam melakukan tindakan melakukan jualan seperti mana yang dimahukan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan