Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Ahad, 19 Ogos 2012

Kesempatan Menyambut Aidil Fitri


Dah namanya pun orang Sales, tak kira waktu, ketika dan masanya, jarum terus dicucuk meneruskan tradisi tanda karier kita perlu diteruskan juga melakukan jualan. Sedangkan 7 Eleven dan KFC pun 24 jam terus menerus beroperasi tanpa henti apatah lagi kita. Kena teruskan usaha dan perlu pandai mencari peluang ambil kesempatan terutama yang berada di depan mata. Jangan kata penat atau dah tak larat dah selagi peluang dah terhidang di depan mata pastikan ia nya jangan di tunggu lagi.

Aidil Fitri adalah hari menandakan kemenangan tanda kesyukuran kepada orang-orang Muslim yang berjaya melawan dan menyengkang hawa nafsunya pada sepanjang bulan Ramadhan. Dalam keghairahan menyambut Hari Raya yang mulia adalah wajar ianya disambut mengikut lunas- lunas yang digariskan oleh Syarak‘ dan tidak dicampuradukkan dengan perkara-perkara yang dilarang atau yang diharamkan. Hari Raya memang tidak boleh disamakan dengan sambutan perayaan- perayaan yang lain, kerana ianya merupakan kurniaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala khusus kepada hamba- hamba yang beribadat dan berjuang melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadhan. 

Di samping kedatangan Aidil Fitri ini, kita orang SALES pun kena pandai ambil kesempatan dan manfaatkan peluang yang ada. Antara adab-adab Aidil Fitri yang perlu kita ambil kesempatan adalah 

i.                     Berdoa

Al-Imam Al-Syafie Rahimahullahu Ta‘ala telah menegaskan bahawa malam Hari Raya itu adalah di antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya Al-Umm: "Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam Rajab dan malam Nisfu Sya‘ban.”

Minta sepuas-puasnya mohon Allah per mudahkan segala tugasan kita dan berkati segala apa yang kita usahakan. Tiada satu manusia pun yang hidup di dunia ini yang boleh dan dapat menolong kita melainkan Allah yang satu. Kenapa harus merasa malu dan segan terhadap Allah. Terus kan lagi usaha kita berdoa sentiasa dan setiap masa. Jangan pula menjadi bodoh sombong pula tak mahu berdoa pada Allah yang mencipta kita.

Minta sahaja untuk jadi kaya, capai sasaran yang dikehendaki oleh majikan, sentiasa No 1 di kalangan Tim jualan. Per mudahkan jangan di sukarkan. Biar ramai pelanggan lebih mudah terbuka hati mereka menerima tawaran yang ditawarkan. Biar komisen setiap bulan diperoleh dengan tetap dan konsisten dengan banyak dan menyeronokkan.

ii.                   Ucapan

Daripada Jubair bin Nufair, di mana beliau merupakan salah seorang Tabi‘en (orang-orang yang datang setelah Sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam) telah berkata (maksudnya): "Sahabat- sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila mereka berjumpa di Hari Raya, sesetengahnya mengucapkan kepada sesetengah yang lain:

Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kami dan menerima Nya daripada kamu."

Menurut pandangan jumhur ulama bahawa mengucapkan tahniah di Hari Raya merupakan sesuatu perkara yang disyariatkan dan di galakkan di dalam Islam.

Al-Imam Al-Qalyubi yang di terima daripada Al-Imam Ibnu Hajar bahawa memberi atau mengucapkan tahniah pada hari-hari raya, bulan-bulan dan tahun-tahun (kerana ketibaannya) merupakan perkara yang disunatkan. Al-Imam Al-Baijuri mengatakan: Inilah yang di ihtimal kan.(Al-Mausu‘ah Al-Fiqhiyyah, Juz 14, m.s. 100) 

Berikan ucapan hari raya kepada semua pelanggan-pelanggan sedia ada, bakal pelanggan, networking kita dan sahabat handai memberi ucapan Selamat menyambut Aidil Fitri melalui e-mel, telefon, sms, mms, bbm, whatsapp, facebook, twitter ataupun linkedin. Mana-mana pun boleh asalkan orang yang kita hantarkan mesej tersebut mudah untuk menerimanya dan jumlah kos penghantaran adalah murah atau se ’free’  yang termampu.

Jangan terlalu kedekut dan berkira pada masa kita untuk melakukan perkara ini kerana ini salah satu peluang yang pelanggan akan merasakan kita benar-benar mengambil berat terhadap dirinya. Kalau kita tidak lakukan mungkin pesaing kita pasti akan melakukannya. Jangan bertangguh lagi.

iii.                  Ziarah menziarahi

Dalil yang menunjukkan mensyariatkannya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha, beliau berkata: maksudnya: "Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam masuk kepada ku, dan di sisi ku ada dua orang anak perempuan yang menyanyi dengan nyanyian Bu‘ats. Lalu Baginda baring di atas hamparan dan memalingkan mukanya, dan kemudian Abu Bakar masuk (menziarahi Baginda dan anaknya), lalu mengherdik ku dengan berkata: "Seruling syaitan di sisi (di tempat) Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam!" Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menghadap kepada Abu Bakar lalu berkata: "Biarkan mereka berdua itu." Melalui riwayat Hisyam Baginda menambah: "Wahai Abu Bakar, masing-masing kaum ada hari rayanya, dan hari ini adalah Hari Raya untuk kita semua." (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Manakala itu pula, amalan saling ziarah menziarahi rumah terutama sekali saudara mara terdekat dan sahabat handai merupakan suatu tradisi yang sentiasa diamalkan ketika menyambut Hari Raya. Amalan ini juga sebenarnya termasuk di dalam perkara yang digemari dan disyariatkan di dalam Islam. Jalinan silaturahim sesama insan amat digalakkan seperti mana Firman Allah SWT bermaksud Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (Surah An Nisaa’ 4:1). 

Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barang siapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (Hadis Riwayat Bazzar dan Targhib).
Kena pandai ambil kesempatan. Umpama sambil menyelam minum air begitulah dengan kita sambil meraikan kehadiran Aidil Fitri dan sama sekali jangan di lupakan tentang jualan yang perlu dilakukan ke atas orang-orang sama ada kita mengenali mereka ataupun mereka mengenali kita. Peluang mendapatkan jualan dan seterusnya penutupan jualan adalah tinggi hanya disebabkan kepercayaan, telah mengenali antara satu dengan yang lain dan juga rekomen dari saudara mara dan sahabat handai di sekelilingnya. Tiada siapa pun akan berani mengatakan apa yang kita lakukan ini adalah salah semata-mata. Yang penting lakukan sahaja tanpa ada sebarang rasa malu ataupun segan. Kalau tidak diambil kesempatan agak-agaknya bila lagi?
Akhir kata, bila dah raya tolong jangan dilupakan waktu solat lima waktu yang dimestikan untuk kita lakukan. Sibuk sangat nak beraya sampai terlupa lah pula nak bersembahyang. Sebagai seorang yang di kenali oleh orang ramai di pasaran. Disiplin dan penampilan diri perlu dijaga dengan kemas dan baiknya sama sekali. Semuanya akan jaga antara hubungan Allah dengan hubungan manusia. Kita ambil berat menjaganya sudah pasti Allah akan sibuk menjaga kita.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan