Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Jumaat, 17 Ogos 2012

DISIPLINKAN DIRI MELAKUKAN JUALAN


Nak berjaya kena berdisiplin. Tanpa disiplin umpama layang-layang yang terputus talinya. Melayang tanpa dapat dikawal lagi. Bila ia tidak dapat dikawal lagi bermakna semakin sukar untuk dikembalikan semula. Disiplin adalah tunjang segala-galanya. Mengikut kamus Dewan DBP disiplin adalah satu peraturan untuk melatih seseorang berkelakuan baik dan mesti di patuhi. Tanpa peraturan hidup dan tugasan yang ada untuk membentuk diri lebih sempurna maka apa yang kita hajati dan mahukan cukup sukar untuk dicapai dan diperolehi.

Disiplin diri yang kuat dan ikuti sentiasa akan menyebabkan segala punca yang positif akan berlaku dan terjadi. Dengan disiplin perwatakan seseorang boleh dibentuk dengan baik dan sempurna. Bila ada disiplin segala komitmen yang diberikan akan dilaksanakan sebagai satu amanah dan kepuasan apabila dapat dicapai. Apabila berdisiplin segala kesungguhan akan apa yang kita lakukan sudah pasti memberikan hasil yang terbaik dan dikehendaki. Berdisiplin akan menyebabkan kita lebih dipercayai oleh siapa juga yang berkawan, mengenali dan berurusan dengan kita.

Pentingnya disiplin. Apabila berdisiplin banyak sebabnya yang membolehkan kita ketahui dengan lebih banyak lagi. Antaranya adalah

i.                    Kejujuran

Disiplin akan mengajar kepada kejujuran. Apabila kita jujur bermakna kita akan lebih dipercayai. Bukan setakat rakan karib kita tetapi rakan setugas,  ketua tempat kita bertugas dan prospek/pelanggan akan lebih mempercayai segala apa yang kita lakukan untuknya. Bila ada kejujuran melakukan jualan pasti memudahkan lagi. Dengan kejujuran yang ada pada diri segala penerangan dan presentasi yang kita lakukan akan lebih diyakini kerana mereka tahu kita jujur akan apa yang kita perkatakan.

ii.                  Keberanian

Disiplin mengajar kepada keberanian. Berani untuk berhadapan dengan siapa juga terutama prospek/pelanggan. Berdisiplin akan mengajar kita berani lakukan jualan tanpa perlu merasa malu dan takut. Keberanian amat diperlukan kerana bukan semua orang berani bertemu bersemuka dengan prospek/pelanggan begitu sahaja. Mesti ada sebab untuk melakukannya dan bukannya suka-suka hati sahaja. Hanya dengan keberanian sahaja membolehkan seseorang berjaya melakukan jualan dengan sebaik yang mungkin

iii.                Integriti

Mengikut Kamus Dewan, Integriti adalah satu keadaan yang sempurna dan utuh. Sebagai seorang yang melakukan jualan, apa yang kita perkatakan itu yang perlu dilakukan. Tidak mempunyai apa yang diperselindungkan dan disembunyikan kerana integriti kita boleh memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada prospek/pelanggan.

iv.                 Tabah

Disiplin mengajar kepada ketabahan. Apabila kita tabah apa juga yang mendatang tidak kira cabaran,dugaan, masalah dan rintangan tetap kita tempuhinya dengan satu disiplin yang tinggi. Kekuatan hati dan semangat amat diperlukan terutamanya jika sebarang musibah berlaku dan melanda terhadap diri kita. Pasti kita secara automatiknya akan mencari jalan penyelesaiannya apabila kita ditimpa sesuatu di luar dugaan kita sendiri.

v.                   Sabar

Tidak kira apa yang berlaku dan terjadi kita tetap sabar. Walaupun dimarahi, diberi tekanan dan menghadapi satu situasi yang sama sekali tidak kita gemari. Berdisiplin untuk bersabar dalam apa juga keadaan amat dituntut. Keperibadian seseorang akan diukur dengan kesabaran yang ada. Semakin kita bersabar semakin kita dihormati. Tenang dalam melakukan tugasan adalah lebih baik dari kita panas baran tak tentu hala dan merintih-rintih yang bukan-bukan.

Disiplin akan menjana karier jualan kita ke tahap yang lebih tinggi dari apa yang kita sangka kan. Disiplin akan memberi kita lebih ruang untuk orang lain mempercayai diri kita. Membentuk keperibadian yang baik dan sempurna akan menyebabkan kita lebih yakin dalam melakukan apa yang kita kehendaki. Jangan mudah melakukan perkara yang bukan-bukan seperti melanggar peraturan, prosedur dan aturan kerja kerana walau apa pun terjadi periuk nasi dan karier kita perlu dijaga dengan sempurna sebaik yang mungkin. Berdisiplinlah kerana ia tunjang bagi segala-galanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan