Baru-baru ini saya telah menerima
hasrat seseorang yang di kenali sebagai Alief, memohon kepada saya agar dapat
membahaskan serba sedikit tentang konsep sedekah dalam perniagaan.
Terima kasih kepada saudara Alief
yang bertanya di mana saya amat menghargainya, di harapkan agar maklum balas
saya ini telah memenuhi apa yang saudara kehendaki dan mahukan. Terima kasih
sekali lagi.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Allah SWT berfirman bermaksud "Bandingan
(derma atau nafkah) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah,
ialah seumpama sebiji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai, setiap
tangkai itu mengandungi 100 biji. Allah melipatkan pahala bagi siapa yang
dikehendaki Nya dan Allah Maha Luas (kurnianya) lagi Maha Mengetahui"
(Surah Al-Baqarah Ayat 261).
Janji Allah SWT kepada
sesiapapun juga yang sanggup melakukan sedekah sama ada mengeluarkan sebahagian
atau kesemua dari hartanya melakukan pemberian kepada orang-orang yang
benar-benar memerlukannya. Bagi kita yang melakukan jualan dan menceburi bidang
perniagaan ini lah asasnya kepada tugasan kehidupan kita. Dalam pencarian
mendapat dan mencari keuntungan yang di kehendaki sebanyak yang termampu amalan
memberi sedekah dan membantu kepada orang yang memerlukan sebagai satu
kebajikan dan amalan membantu orang lain akan dapat membantu menaikkan lagi
keuntungan perniagaan dan tugasan jualan yang dilakukan.
Apa yang perlu
dilakukan adalah
i.
Berniat
dengan betul dan telus
Apa yang hendak
kita lakukan mesti di mulakan dengan niat. Tanpa niat sememangnya apa yang kita
lakukan tidak akan ada apa-apa pun yang boleh kita dapati. Selain dari niat
ketika beribadat adalah satu syarat kepada penerimaan amal ibadat mengikut
Mazhab Imam As-Syafie. Niat adalah pembeza antara adat dan ibadat. Nabi
Muhammad SAW telah bersabda mafhumnya "Hanya sesungguhnya amalan itu dengan niat dan bagi dian setiap orang apa yang dia niat"
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kadangkala niat
yang baik sahaja pun sudah ada ganjaran apatah lagi jika disusuli dengan amalan
seperti bersedekah kepada sesiapapun yang memerlukannya. Rasulullah s.a.w
bersabda maksudnya "Niat seorang mukmin lebih baik dari amalannya" (Riwayat Al
Baihaqi dan Ar Rabi'). Memberi
tunjuk ajar kepada orang lain atau menunjukkan jalan yang baik supaya dia dapat
melakukannya juga mendapat ganjaran sebagaimana orang yang melakukannya.
ii.
Tawakal
sepenuh kepercayaan
Perlunya
pengabdian diri kepada Allah SWT. Apa yang dilakukan dan diusahakan penyerahan
diri hanya kepada Allah perlu diwujudkan tanpa ada sebarang keraguan dan syak
wasangka. Firman Allah SWT bermaksud “Dan barang siapa yang bertawakal kepada
Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya.” (Surah at-Thalaq Ayat 3).
Apa yang penting untuk kita lakukan adalah terus berusaha dan terus
berusaha secara konsisten dan bersungguh-sungguh melakukan jualan demi
memastikan produk yang ditawarkan sentiasa mendapat sambutan seperti mana yang
dikehendaki. Setelah itu kita berusaha barulah kita menyerahkan diri terhadap
Allah SWT dan bukannya tawakal dahulu baru nak berusaha.
iii.
Perniagaan
mengikut syariah
Nak dapat
keberkatan dari Allah kena pastikan apa juga perbuatan dan produk yang kita
tawarkan kena ikut apa yang telah syariah tetapkan. Jangan ada yang meragukan
dan yang tidak halal mengikut syariah kita lakukan jualannya. Selagi kita
bersubahat selagi itulah rezeki tidak akan ke mana walaupun perolehan dan
pendapatan kita memang diakui terlalu banyak di mata masyarakat.
Sabda
Rasulullah SAW bermaksud “Yang halal itu
sudah jelas dan yang haram pun sudah jelas; dan di antara keduanya ada hal-hal
yang musytabihat (syubhah, samar-samar, tidak jelas halal haramnya), kebanyakan
manusia tidak mengetahui hukumnya. Barang siapa hati-hati dari perkara syubhah,
sungguh ia telah menyelamatkan agama dan harga dirinya” (Hadis
Riwayat Muslim)
iv.
Yakin
rezeki itu datangnya dari Allah
Firman Allah SWT bermaksud “Barang siapa bertawakal
kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya)” (Surah at-Thalaq ayat 3)
Firman Allah SWT bermaksud “Demi
sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambah nikmat Ku kepada mu, dan demi sesungguhnya
jika kamu kufur, sesungguhnya azab Ku amat keras.” (Surah Ibrahim ayat 7)
Yakin dengan
sepenuh hati dan jiwa raga, setiap apa yang kita usaha itu dan perolehan yang
kita nikmati semuanya datang dari Allah SWT. Apa yang kita dapati adalah hadiah
dari Allah atas segala usaha dan kerja keras yang telah kita usahakan. Jangan
mendabik dada kerana segala usaha itu adalah datangnya dari usaha kita sendiri
sahaja. Kalau tanpa adanya bantuan Allah rasanya lagi sukar untuk kita
memperoleh dan mendapat rezeki seperti mana yang kita inginkan.
v.
Allah akan memakbulkan hajatnya serta diselamatkan dari
segala kesusahan.
Berdoalah sepuas-puasnya. Mohon pada
Allah. Jangan berlagak sombong yang kita tidak perlukan segala bantuan dan
pertolongan dari Allah SWT. Kita orang Islam mengakui yang kita ini adalah hamba
kepada Nya jadi jangan mudah merasakan kita tidak perlu meminta-minta segala
bantuan dan pertolongan dari Allah. Kufur nikmat namanya itu.
Sabda Nabi Muhammad SAW mafhumnya “Barang siapa
ingin doanya terkabul dan dibebaskan dari kesulitannya hendaklah dia mengatasi
(menyelesaikan) kesulitan orang lain” (Hadis Riwayat:
Imam Ahmad)
vi.
Banyak kelebihannya yang bakal diperoleh
Hanya dengan bersedekah Allah SWT akan mengurniakan kepada kita akan amal
kebajikan yang kita lakukan. Hanya dengan amalan bersedekah tersebut akan
memberikan kepada kita dengan memanjangkan umur, meninggal dunia dalam keadaan
khusnul khatimah serta dijauhkan daripada sifat-sifat mazmumah. Ketahuilah
sentiasa dengan bersedekah sahaja segala sikap dan sifat takbur,
berlagak,sombong, bangga diri dan ego boleh dielakkan sama sekali. Orang yang
melakukan jualan dan perniagaan perlu memastikan bahawa sikap negatif yang
sebegini tidak sama sekali wujud di dalam hati dan perasaan serta tingkah laku
yang boleh membuatkan prospek/pelanggan akan membenci dan mencemuh diri kita
yang bukan-bukan.
Dari Amru bin
Auf r.a katanya Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu dapat memanjangkan
umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk (menjelikkan) dan Allah SWT
pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan
diri (dari pemberiannya).” (Hadis Sahih Bukhari)
Abu Hurairah r.a. berkata bahawa
Nabi Muhammad SAW bersabda, “Ketika seorang hamba berada pada waktu pagi, dua malaikat
akan turun kepadanya, lalu salah satu berkata, ‘Ya Allah, berilah pahala kepada
orang yang menginfakkan hartanya’ Kemudian malaikat yang satu berkata, ‘Ya
Allah, binasakanlah orang-orang yang bakhil.”
Lagi banyak kita bersedekah dan
melakukan pengeluaran zakat jika cukup nisabnya pasti Allah akan membalasnya
dengan apa yang telah kita lakukan. Biarpun ia nya di luar dari pemikiran logik
akal kita tapi kalau kita yakin dan fahami akan apa yang telah Allah janjikan,
maka tiada apa yang perlu dirisaukan. Firman Allah bermaksud “Orang-orang
yang menafkahkan hartanya di malam dan siang hari secara tersembunyi dan
terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada
kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”
(Surah Al-Baqarah 274). Begitulah orang mukmin orang yang
ikhlas menyumbangkan hartanya ke jalan Allah melambangkan kesempurnaan iman
mereka. Lagi banyak yang diberikan lagi banyak yang bakal diterima. Asalkan
kita yakin dan percaya itu sudah cukup memadai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan