Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Khamis, 30 Ogos 2012

ELAKKAN MENIPU


Satu perkara yang perlu kita jauhkan dan hindari adalah sikap suka berbohong, menipu dan berkata yang tidak benar semata-mata. Kenapa boleh menipu dan berbohong? Semuanya adalah kerana kepentingan diri sendiri. Mengutamakan matlamat menghalalkan cara dan kaedah hanya memuaskan hati sendiri asalkan apa yang di cari dicapai dan diperoleh. Dari segi istilah menipu adalah melakukan sesuatu untuk mendapatkan apa yang dihajati demi kepentingan diri sendiri dan memudaratkan orang lain.

Terdapat satu kisah bagaimana seorang yang niatnya begitu baik tetapi malangnya apa yang dilakukan tidak boleh diterima sama sekali. Ulama-ulama bersepakat apa yang dilakukan sama sekali tidak di benarkan dalam Islam. Selepas kewafatan Rasulullah SAW terdapat ramai yang suka mereka-reka hadis palsu dan antara pereka hadis yang paling banyak mereka hadis (dipercayai sebanyak 4,860 hadis palsu yang di rekanya) tentang kelebihan surah Al-Quran ialah Nuh bin Abi Maryam atau dikenali sebagai Nuh al-Jami’. Gelaran al-jami’ membawa maksud dalam dirinya terhimpun semua kebaikan. Nuh bin Abi Maryam seorang yang banyak melakukan amal ibadah. Boleh dikatakan semua kebaikan ada pada dirinya kecuali kebenaran. Ini kerana dia dengan sewenang-wenang menyandarkan sesuatu perkara atas nabi.

Mata tidak akan menipu
Asalnya, pada zaman itu umat Islam begitu ghairah membaca kitab sejarah karangan Ibnu Hisyam sehingga mengabaikan membaca Al-Quran. Untuk tujuan itu, Nuh bin Abi Maryam mencari helah untuk menggalakkan umat Islam kembali membaca Al-Quran. Lalu dia mula mereka kelebihan hadis kelebihan surah-surah dari Al-Quran. Walaupun secara dasar perbuatan ini nampak baik, namun ia diingkari oleh kaum Muslimin. Nabi secara jelas melarang perbuatan ini, dan pembuatnya diancam neraka berdasarkan hadis mutawatir oleh Imam Bukhari, Muslim dan lainnya.

Inilah contoh yang berfakta yang boleh dijadikan satu pengajaran dan teladan untuk dihayati. Kita bukan sahaja berhadapan dengan prospek/pelanggan tetapi majikan tempat kita mencari rezeki ini perlu juga dijaga kepentingannya. Kerana inginkan sesuatu mendapat ganjaran tetapi kita telah melupakan kepentingan yang lain pula. Sesuatu perkara dan sikap yang mesti kita jauhkan sama sekali.


Firman Allah bermaksud "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya..........." Surah Al-Baqarah Ayat 286.

Apabila kita berbohong atau menipu dan orang pula telah mengetahui yang kita telah melakukan pembohongan kepada mereka, kesannya adalah

i.                    Tiada siapa akan percaya
Tidak kira siapa baik pelanggan ataupun majikan, kalau tahu siapa diri kita sebenarnya, kalau kaki kelentong pasti sampai bila-bila tidak akan mempercayainya. Cukuplah sekali bila terkena. Sampai mati pun akan ingat. Niat baik tapi kalau perbuatan tidak baik sama jer. Cukup bahaya. Bila orang dah tak percaya kepada kita bagaimana kita hendak lakukan jualan kepada orang lain? Bak kata pepatah orang Melayu “Siakap senohong, Gelama ikan Duri, Bercakap bohong, lama-lama mencuri.”

ii.                  Hilang rasa tanggungjawab
Bila kita menipu, bermakna kita tidak mampu menanggung beban yang diamanahkan. Kita akan menjadi seorang yang tidak bertanggungjawab dan asyik kepada kepentingan diri kita sahaja. Keutamaan kerja dan tugasan hanyalah untuk diri kita sahaja, tidak lebih dari itu. Kenapa? Kerana merasakan tanggungjawab yang diberikan itu adalah satu bebanan yang menyusahkan dan biarlah orang lain yang menanggungnya bukan diri kita.

iii.                Akan menanam sifat tamak
Memang akan menjadi tamak haloba dan jauh sama sekali fikirkan manfaat untuk berkongsi sama. Lebih baik menipu dan berbohong asalkan matlamat tercapai dengan cepat dan segera. Tak perlu fikirkan orang lain cukuplah fikirkan tentang diri sendiri sahaja walaupun cara yang kita lakukan ini adalah tidak betul sama sekali. Dirasakan apa yang dilakukan walaupun diketahui dengan cara menipu dan berbohong boleh mencapai matlamat dan impian selama ini.

iv.                 Pentingkan diri sendiri sahaja
Janji dapat penutupan jualan dengan apa cara sekalipun walaupun terpaksa menipu dan berbohong. Prospek/pelanggan bukan tahu pun janji bila balik ke pejabat boleh dibuktikan dengan hasil yang diperoleh. Baru naik semangat kot bila pihak pengurusan memuji bagus dan layak untuk di iktiraf antara yang terbaik. Inilah fikiran singkat dan padah apabila orang akan ketahui lambat launnya nanti. Berhati-hati dengan tindakan yang sepatutnya supaya di kemudian hari tidak ada rasa penyesalan pula yang akan berlaku dan terjadi.

v.                   Makin jauh kita kepada Allah dan tuntutan agama
Makin kita menipu semakin kita berbohong sehebat mana kita kelentong bermakna semakin jauh kita dengan Allah nanti. Dah jauh dengan Allah tiba-tiba tergerak hati nak mohon dan pohon pertolongan dari Allah agak-agak macam mana Allah nak membantu? Bila masa susah cari Allah bila waktu senang lenang buat tak tahu sahaja.


Hindarilah dia. Jangan diamalkan kerana banyak yang tidak elok dari eloknya. Belajar berkata benar walaupun ia nya agak pahit. Jika ini di amalkan insya-Allah semua yang kita lakukan ada keberkatannya. Jangan rasa tak yakin pula kerana sesuatu perkara yang benar sememangnya agak sukar untuk dilakukan pada peringkat awalnya. Semakin diperbaiki semaikin akan baiklah jadinya. Jangan putus asa dan mudah kecewa. Perbetulkan niat dan lakukan dengan sebaik mungkin untuk elakkan diri dari menipu sentiasa. InsyaAllah Allah akan sentiasa bersam dengan kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan