Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Rabu, 28 Mac 2012

JANGAN YAKINI DENGAN BERNASIB BAIK SAHAJA


Melakukan jualan untuk mendapatkan penutupan jualan kadang-kadang memerlukan nasib yang baik juga kepada kita tetapi pergantungan sepenuhnya kepada nasib jangan diharapkan sama sekali. Ini adalah kerana dalam Islam, kita semua dituntut untuk berusaha keras dan bersungguh-sungguh demi memastikan segala tindakan kita dan usaha kita mendapatkan imbuhan yang sepatutnya dan bukannya mengharapkan simpati orang lain ataupun bergantung nasib begitu sahaja semata-mata.


Rasulullah SAW bersabda bermaksud: ‘Lebih baik seseorang itu membawa tali, lalu memikul seberkas kayu api dan menjualnya. Lalu dia memperoleh nafkah daripada usahanya dan tidak lagi memerlukan bantuan orang lain. Itu lebih baik daripada dia meminta-minta daripada orang’ (diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah r.a)


Oleh itu sebelum kita bernasib baik sentiasa dan selalu adalah diharapkan agar tindakan-tindakan berikut dapat dilakukan dahulu sebelum nasib baik kita sentiasa menyebelahi diri kita iaitu


i.                    Tahu apa yang akan kita lakukan
Apa juga jenis pekerjaan yang kita lakukan kita perlu tahu apa yang kita buat dan lakukan. Begitu juga dalam jualan yang kita ceburi, jualan bukan bermakna main jual sahaja sesuka hati asalkan ada pembelinya sudah dikira mencukupi. Jualan memerlukan lebih dari segala-galanya dari pengetahuan asas, persiapan diri, pengalaman yang ditimba, memperbaiki skil dan seterusnya memahami kerenah dan kehendak pelanggan yang ditemui. Semakin kita mengetahui melakukan jualan semakin mahir kita mendapatkan penutupan jualan seperti mana yang dikehendaki menyebabkan prospek/pelanggan semakin yakin ke atas kita.


ii.                  Berpengetahuan
Nak menjual kita kena tahu bukan setakat produk sahaja tetapi keadaan sekeliling, ekonomi semasa, kerenah dan gelagat prospek/pelanggan juga kita perlu ketahui sama. Bila mereka melihatkan keupayaan dan kebolehan kita seolah-olah kita ini serba tahu, prospek/pelanggan akan lebih merasa kagum dan cukup percaya akan keupayaan kita dalam melakukan jualan.


iii.                Konsisten
Jangan sekejap rajin sekejap lagi terasa malas pula nak melakukannya. Kena rajin dan berusaha menjadikan jualan rutin utama dalam pekerjaan kita melakukannya. Bila sudah konsisten melakukannya dan disedari dalam pasaran kehadiran kita maka semakin mudah nanti mendapatkan prospek/pelanggan pula. Semakin kita malas dan tidak menunjukkan kesungguhan, keyakinan prospek/pelanggan pasti akan berkurangan dan mula menjauhkan diri dari kita nanti.


iv.                 Ghairah
Ghairah, betul-betul bersungguh dan bernafsu melakukan jualan tidak kira apa juga rintangan, dugaan, cabaran dan dugaan yang mendatang dan yang perlu dihadapi. Tidak mudah patah semangat dan putus asa menjadikan dirinya sentiasa mahu mendapatkan pelanggan seramai yang boleh mengikut kemampuan kita sendiri. Biar apa orang lain kata asalkan di dalam hati dan pemikiran kita kejayaan juga yang pasti kita perolehi.


v.                   Tawakal
Banyakkan berdoa memohon bantuan dan pertolongan dari Allah SWT. Mohonlah kepada Allah SWT supaya segala-galanya dipermudahkan dan jangan disukarkan apa juga perbuatan kita melakukan jualan kepada sesiapa juga yang kita temui. Peliharalah kesihatan kita dan berilah kekuatan supaya lebih mudah untuk melakukan tugasan. Berilah kerajinan yang bersungguh dan jangan sama sekali menjadikan kita seorang insan yang suka mengeluh dan mengadu domba kepada manusia. Hanya kepada Allah SWT sahajalah tempat kita berlindung dan memohon segala-galanya.


InsyaAllah apa juga yang kita usahakan secara bersungguh dan berterusan tanpa henti dengan niat yang betul dan sentiasa mahu membantu orang lain, hasilnya pasti akan menjelma juga. Sentiasa perlu difahami bahawa memberikan manfaat kepada prospek/pelanggan melebihi dari manfaat apa yang bakal kita peroleh pasti hasilnya akan Allah balas juga kepada kita baik di dunia mahupun di akhirat. Sentiasa bernasib baik didalam jualan mesti dimulakan dahulu dari kita sendiri melakukan jualan sehingga boleh dikenali dan diketahui dalam pasaran. Hebahan mulut pelanggan-pelangan kita keatas sahabat handainya, kenalannya dan saudara maranya merupakan kuasa pemasaran paling hebat inilah yang akan banyak membantu diri kita ini sentiasa bernasib baik





Tiada ulasan:

Catat Ulasan