Bila ditanya pada sesiapapun sudah pasti jawapannya
tidak mahu melakukan kezaliman pada orang lain. Mengelakkan perbuatan menzalimi
orang lain adalah kerana takut adanya orang lain pula menzalimi kita. Kena
berhati-hati dan berwaspada agar perkara sebegini tidak berlaku dan terjadi.
Tapi malangnya setakat mana kita mengetahui yang kita sama sekali tidak
menzalimi orang lain. Sedar atau tidakkah kita? Dikhuatiri tidak melakukannya
tapi pada hakikatnya terdapat kewujudan pula pada diri kita terutamanya ketika
melakukan jualan.
Satu tabiat yang perlu dielakkan iaitu bila terdapatnya
sikap suka menzalimi orang lain. Dari segi maksudnya ulama menjelaskan maksud
zalim ini ialah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Kerana itu dalam
melakukan tugasan jualan semua kena ada semakan dalam diri dan perbuatan kita sendiri
agar kezaliman sama sekali tidak kita lakukan dengan sewenang-wenangnya sama
ada kita sedari ataupun tidak. Suatu yang memalukan jika berlaku pada diri
kita. Betapa banyak nanti ganjaran dosa pula yang asyik kita peroleh sedangkan
kita merasakan ganjaran pahala boleh kita dapati. Mungkin perkara-perkara
sebegini tanpa kita sedari telah melakukannya iaitu
i.
Tipu orang
Dengan
nama Allah, berjanjilah agar kita jangan sama sekali menganiaya sesiapapun
dalam kita melakukan jualan. Elakkan dari menipu hanya kerana memikirkan
kesenangan dan kepentingan diri. Carilah keberkatan dalam pendapatan dan rezeki
melalui kejujuran. Sekali kita menipu dan menganiaya orang apabila telah
diketahui sudah pasti sampai bila-bila sesiapapun tidak akan mempercayai kita.
Kita menipu kita aniaya orang bermakna kita telah menzalimi mereka.
Berhati-hatilah agar kita sama sekali tidak tergolong di kalangan orang-orang
yang tidak baik perangainya.
ii.
Janji lain jadi lain
Penyakit
yang ada ubatnya kalau disiplin dijaga dengan betul. Bila berjanji tunaikan
tidak kira apa juga yang kita janjikan. Jangan peleceh dan per mainkan janji
yang telah diberikan. Mungkir setiap janji kepada mereka bermakna kita telah
melakukan satu kezaliman. Kalau dah berjanji tapi takut terlupa buatlah catatan
pada buku harian agar sifat pelupa kita boleh diatasi. Prospek/pelanggan akan
hilang rasa hormatnya kepada kita kalau kita sangat pandai berjanji tapi sangat
pandai pula mengingkarinya. Berubahlah agar kita sentiasa menjadi orang yang
berdisiplin memegang kukuh akan setiap janji kita kepada orang.
iii.
Tiada kesungguhan
Terlalu
ambil mudah akan apa yang kita lakukan sehingga tidak memikirkan kesusahan dan
kepayahan orang lain akan memberikan impak negatif yang tidak baik kepada diri
kita sendiri. Bila kita suka ambil mudah apa juga tindakan dan tugasan kita
sudah pasti tiada kesungguhan akan terbit pada diri kita. Bila tiada
kesungguhan sudah pasti hasil jualan tidak ke mana seolah-olah apa yang kita
lakukan seperti melepaskan batuk di tangga sahaja. Ini bahaya jika ini yang
kita lakukan. Tidak terfikir kah apa pula pandangan prospek/pelanggan yang kita
bertemu selama ini? Sudah pasti agak berat hati mereka untuk berurusan dengan
kita merasa ragu-ragu di atas keupayaan dan kebolehan kita menjual kepada
mereka. Bukankah dengan cara begitu kita telah menzalimi mereka?
iv.
Ambil hak orang lain
Dikhuatiri kerana tamak dan
mementingkan diri sendiri, hak orang kita ambil. Asalkan boleh mendapatkan
penutupan jualan walaupun hak rakan sekerja kita tetap kita abaikan.
Seolah-olah pelanggan mereka pelanggan kita, pelanggan kita pelanggan kita
juga. Ada barang promosi sepatutnya kita serahkan kepada mereka langsung tidak
kita serahkan tapi diperam dan disimpan pula menjadi hak milik kita. Tidak kah
merasa takut bahawa kita telah menzalimi mereka? Cukuplah dengan apa yang ada
selama ini kita peroleh jualan dengan hasil usaha diri kita dibandingkan dengan
hasil usaha mengambil dan mencuri hasil dari orang lain. Jangan ada perasaan
tamak menguasai diri kita tetapi sentiasalah bermuhasabah adakah apa yang kita
lakukan selama ini dalam jualan betul-betul mengikut syariat Allah yang telah
ditetapkan.
Bertindak baik dan jangan sama sekali memikirkan
kepentingan diri mengatasi segala-galanya. Buat baik berpada-pada buat jahat
jangan sekali. Berubah ke arah kebaikan agar apa yang kita lakukan diredai dan
diberkati. Jangan bertindak zalim ataupun menindas orang lain kerana kita orang
yang melakukan jualan bukan itu cara dan etikanya kita melakukan tugasan. Fikir
dosa pahala agar apa yang kita lakukan sentiasa Allah redha sama sekali.