Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Jumaat, 6 Jun 2014

SENTIASA BERSYUKUR




Sesiapapun juga yang sering lalai atas perintah Allah sememangnya mudah dipermainkan syaitan melakukan perbuatan keji dan tidak disukai oleh Allah. Sering kali menjadikan nafsu berjaya mengawal diri sendiri dari Iman dan takwa yang ada sepatutnya mengawal diri kita. Semakin kita leka semakin mudah kita akan tergelincir dari landasan yang sepatutnya. Ini boleh menjadikan diri kita semakin lupa dan alpa pada kehebatan dan keagungan Allah SWT. Marilah kita sentiasa menghubungkan diri dengan Allah Yang Maha Pencipta sekalian alam dengan cara mengingati kebesaran Nya, mengingati segala rahmat Nya dan nikmat kurniaan Nya yang sentiasa dicurahkan kepada kita.

Fikirlah sejenak, hanya dalam keadaan tidur pun, Allah mengirimkan rahmat Nya ke dalam tubuh kita untuk menggerakkan jantung dan paru-paru. Oksigen kita hirup melalui udara adalah rahmat Allah yang diperlukan oleh badan supaya kita boleh hidup. Mampu untuk berfikir dan bergerak ke sana ke sini juga di kira satu rahmat juga dari Allah. Bukankah besarnya pemberian dan penganugerahan Allah terhadap diri kita? Bukan itu saja, banyak lagi rahmat yang dikurniakan Allah kepada kita. Wajar kah manusia lupa terhadap Allah? Tidak pernah mengingati dan menyebut nama Allah, tidak pernah bersyukur dan memuji Allah, bahkan tidak pernah beribadah menyembah Allah?

Allah menyeru manusia supaya selalu ingat dan jangan lupa terhadap Nya dalam firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan sebanyak-banyaknya.” (Surah Al-Ahzab, ayat 41).

Bersyukurlah sebanyak yang mungkin tentang apa yang telah kita lalui dalam melakukan jualan. Bersyukur sebagai tanda terima kasih dan kasih sayang kita terhadap Allah yang telah banyak membantu diri kita melakukan jualan dengan senang, mudah dan boleh dilakukan. Setiap penutupan jualan sudah pasti mampu memberikan kegembiraan kepada kita seolah-olah kita telah memenangi satu piala pertandingan pula. Semua kegembiraan itu sudah pasti datang dan hadir dari pertolongan dan bantuan dari Allah SWT juga.

Ingatlah Allah yang sentiasa memberikan pengaruh hebat dan besar kepada manusia dari segi rohani dan jasmani. Seorang pemimpin yang diamanahkan yang banyak mengingati Allah, sudah tentu akan memberi pengaruh dan kesan besar terhadap corak pemerintahan serta kepemimpinannya. Apa juga cabaran sudah pasti dianggapkan sebagai satu ujian dari Allah SWT menguji tentang kesabaran, ketenangan dan kecekalannya untuk dihadapi. Manakala pekerja dan kakitangan di bawah seliaannya yang banyak mengingati Allah akan memberi kesan mendalam untuk melaksanakan tugas, amanah, tanggungjawab dan kewajipannya. Semuanya bergerak seiring dan saksama kalau ini dapat diamalkan dan dilakukan secara bersama dan sekata. Allah berfirman yang bermaksud: “Oleh itu ingatlah kamu kepada Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan, dan bersyukurlah kamu kepada Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat Ku).” (Surah Al-Baqarah, ayat 152)

Orang yang sentiasa mengingati Allah, Allah akan sentiasa mengingatinya, jiwanya menjadi tenang, hatinya tenteram, jauh dari perasaan gelisah. Hasilnya, lahirlah budaya pekerti dan tutur kata mulia. Semua orang merasa senang dan bahagia bersamanya, walaupun kehidupannya serba kekurangan. Firman Allah yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikrullah, ketahuilah hanya dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah Ar-Rad, ayat 28).

Hanya jiwa yang tenang pasti akan membolehkan seseorang untuk melakukan tugasan seperti yang di mahukan. Mana bisa seseorang yang kepalanya berserabut dan penuh dengan masalah boleh dan mampu untuk melakukan tugasan yang diberikan. Kepada yang berserabut sudah tentu menyukarkan kita melakukan jualan. Macam mana untuk berinteraksi dan memberikan presentasi yang terbaik. Semua fokus akan lari tenggelam begitu sahaja. Tidak ini akan memberikan kesan yang cukup negatif kepada segala tindakan kita?

Lakukanlah penyerahan diri terhadap Allah dengan sepenuh hati. Sentiasa berdoa kepada Allah akan mempermudah kan lagi tindakan kita melakukan jualan. Dipermudahkan jangan disukarkan. Minta pada Allah akan sentiasa menghulurkan bantuan dan pertolongan setiap masa dan ketika tidak kira dalam apa juga keadaan dan suasana. Sentiasa mendoakan agar setiap bakal pembeli atau pelanggan mudah menerima tawaran yang di kemukakan oleh kita. Firman Allah yang bermaksud: “Maka alangkah eloknya kalau mereka berdoa kepada kami dengan nada rendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab kami? Tetapi yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran) dan syaitan pula memperelok kan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan.” (Surah Al-An’am, ayat 43).

Rasulullah SAW juga banyak mengingatkan umatnya supaya sentiasa mengingati Allah. Sabda Baginda yang bermaksud: “Mahu kah aku beritahukan kepada mu sebaik-baik amalan kamu dan paling bersih (banyak keberkatan) di sisi Tuhan mu, paling tinggi darjatnya, dan lebih baik bagi kamu menafkahkan emas dan perak, dari (berperang) menghadapi musuh, lalu kamu penggal leher mereka atau mereka memenggal leher kamu? Jawab sahabat: Mahu ya Rasulullah. Baginda bersabda: Iaitu zikrullah.” (Hadis riwayat Tarmidzi, Ibnu Majah daripada Abu Darda).

Bersyukurlah dengan apa yang ada dan yang telah kita nikmati bersama. Jangan mudah lupa diri apatah lagi bangga diri sewenang-wenangnya. Ingat kekuasaan Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Hebat. Tanpa Allah siapalah kita di dunia ini. Nak makan pun minta pada Allah apatah lagi memudahkan kita melakukan ibadat dan tugasan. Elakkan diri kita dari lupa dan alpa mengingati Allah seperti mana yang telah di ajarkan oleh Rasulullah seperti yang telah ajar kepada sahabat baginda Muadz Bin Jabal iaitu: “Ya Allah tolonglah aku, supaya (dapat) sentiasa mengingati Mu dan mensyukuri serta memperbaiki ibadat ku kepada Mu.” (Hadis riwayat Abu Daud). Tidak kira di mana pun kita berada dan lakukan, sentiasa hadirkan Allah dalam diri kita. Sesungguhnya, kita adalah hamba Nya yang hebat di dunia dan berjaya di akhirat kelak. Lakukan sebaik mungkin agar senang di dunia senang juga di akhirat sama.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan