Semua orang pasti memikirkan bagaimana tindakan dan cara terbaik untuk
mencapai sasaran yang telah diberikan. Tidak kira bagaimana cara dan kaedah
yang dilakukan yang pasti keputusan akhir mencapai sasaran menjadi agenda
utama. Bukan untuk mendabik dada atau menunjukkan hebat dalam melakukan jualan
tetapi ini lah realitinya dalam jualan sekarang di mana mendapatkan keputusan
akhir itu adalah matlamat paling penting dan muktamad.
Sememangnya menjual memerlukan satu pengorbanan dan komitmen untuk
melakukannya. Jangan ambil kira bagaimana melakukannya. Sama ada dengan cara
lembut atau kasar, jalan jauh atau jalan dekat, menipu atau jujur mahupun
mencari atau merampas hak orang lain semuanya dilakukan mengikut apa yang dimahukan.
Keputusan akhir amat penting jika difikirkan tentang tindakan dalam menjual. Pandangan
kita hanyalah satu iaitu mencari keputusan akhir bagi mencapai sasaran yang
dimahukan.
Pernah kah terfikir di hati kita apa yang Allah lihat dan mahukan
sebenarnya dari kita? Adakah perbuatan dan tindakan kita selari dengan apa yang
Allah mahukan? Adakah sasaran akhir itu tanggungjawab sebenar kita? Tepuk dada
tanyalah iman. Bukan nak di katakan bahawa sasaran itu tidak penting dan
mustahak. Hanya ingin mengingatkan sesama kita bahawa Allah sebenarnya hanya
melihat apa tindakan sebenar kita dalam melakukan jualan dan bukan sama sekali
melihat apa yang telah kita capai dalam memenuhi sasaran yang diberikan.
Kita kadang-kadang cuma terleka atau kebiasaan hanya disebabkan bersusah payah
mengejar sasaran sehingga telah kita abaikan dan menghalalkan apa tindakan
sepatutnya kita lakukan dalam menjual. Bukannya menjual itu bantu dan tolong
orang ramai selesaikan masalah peribadinya melalui produk yang kita tawarkan.
Keikhlasan dan kejujuran amat penting dalam kita menjual. Adalah dikhuatiri
kerana nak penuhi sasaran yang diberikan kita terlupa dan terleka sehingga
sanggup tidak berkata benar, menipu dan mengambil kesempatan atas kelemahan
orang lain. Semuanya perbuatan dan tindakan kita di dunia ini akan di hitung
satu persatu nanti di dunia yang satu lagi.
Berikan tindakan yang terbaik dan sepatut. Perlakuan kita yang jujur dan
ikhlas dalam memastikan tindakan yang betul dan tepat sudah pasti akan membantu
kita mencapai sasaran yang dimahukan. Tidak perlu menipu, menekan atau
mengambil hak orang lain demi mencapai sasaran. Lakukan sebaik mungkin mengikut
apa yang telah kita rancang kan. Buat baik pasti Allah akan balas kebaikan
tersebut tapi kalau perkara yang tidak baik sudah semestinya hasilnya juga
tidak ke mana di samping keberkatan kita melakukan jualan akan hilang begitu
sahaja. Carilah sebaik yang mungkin dengan jalan dan kaedah yang dibenarkan oleh
syariah kerana setiap rezeki yang kita usahakan itu sudah menjadi satu jaminan dari
Allah untuk kita mendapatkannya.
Firman Allah bermaksud ‘Dan Katakanlah (Wahai Muhammad): Beramal lah kamu (akan Segala Yang
diperintahkan), maka Allah dan Rasul Nya serta orang-orang Yang beriman akan
melihat apa Yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang
mengetahui perkara-perkara Yang ghaib dan Yang nyata, kemudian ia menerangkan
kepada kamu apa Yang kamu telah kerjakan’ (Surah At-Taubah ayat 105).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan