Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Jumaat, 27 Jun 2014

PERSEDIAAN RAMADHAN




Ramadhan akan hadir tidak lama lagi. Bagi kita yang melakukan jualan, keluar masuk premis pejabat, memandu ke sana ke mari, berinteraksi dengan siapa pun yang kita temui dan menyiapkan segala pesanan di peroleh bulan Ramadhan ini merupakan satu cabaran dan tugasan hebat yang perlu kepada pengorbanan. Bukan untuk mencari alasan dan ulasan tapi menyedari bahawa setiap apa yang dilakukan adalah juga satu amalan dan ibadah buat diri kita sepanjang Ramadhan ini.

Kalau di bulan biasa kita sibuk dengan makan dan minum di siang hari serta sanggup mengharungi cuaca yang tidak menentu ini tapi pada bulan Ramadhan kali ni pula kita di siang hari sibuk pula untuk berpuasa penuh. Dah lah panas mungkin pula berjerebu. Persiapan fizikal dan mental kena ada. Ibadah kena lakukan kerja dan tugasan kita di dunia perlu di jaga sama sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan juga.

Mungkin perkara-perkara berikut perlu kita lakukan sebagai persediaan kita menghadapi Ramadhan yang bakal menjelma tidak lama lagi

i.         Kenal pasti kepentingan tugasan
Rancang tugas kita menjual sempena Ramadhan ini. Sambil melakukan tugasan sambil beribadat. Dua-duanya kena seimbangkan. Perut lapar dan tekak yang dahaga bukan bermakna satu lesen yang besar tidak atau mengurangkan tugasan kita melakukan jualan tetapi semakin bersemangat untuk melakukan tugasan menjual.

ii.        Memastikan kesihatan yang sihat
Pastikan tubuh badan yang sihat dapat di kekalkan dengan memastikan pemakanan yang sihat, mengamalkan kehidupan yang sihat dan sentiasa merujuk kepada doktor perubatan. Ramadhan ini di jangka mengalami suhu yang semakin meningkat panasnya. Bulan biasa bolehlah kita minum air sebanyak yang termampu tapi pada bulan Ramadhan ini ketika berbuka puasa jangan pula sampai satu baldi kita minum sampai nak makan pun dah tak lalu hanya kerana kekenyangan meminum air. Kalau air sahaja yang banyak di isi mana nak datang tenaga nanti untuk diri kita? Kesihatan yang tidak di jaga dan dipelihara sudah pasti tugasan kita akan turut sama terjejas.

iii.       Contohi Rasulullah
Kita ini hanya menjual sahaja, tapi Rasulullah dan sahabat-sahabat di bulan Ramadhan ini banyak mengalami pertempuran dengan pihak jahiliyah. Dahlah panas di tengah padang pasir, dengan kekangan bilangan tentera yang sedikit menghadapi pasukan tentera yang serba lengkap untuk bertempur di tambah lagi berpuasa. Namun bagi baginda Rasulullah semuanya dihadapi dengan hati yang terbuka membuktikan puasa bukanlah satu halangan dalam melakukan apa juga tugasan walaupun terpaksa bertempur dengan musuh.

iv.       Wujudkan ‘Senarai yang perlu di lakukan’
Apa kena buat, apa yang boleh di tangguhkan kena ada untuk kita lakukan perancangan dari sekarang. Jangan bila dah mula berpuasa baru terhegeh-hegeh nak buat perancangan. Lakukan segera! Persiapan perlu dari awal lagi agar kita tidak panik dan menggelabah tak tentu hala.

v.        Dapatkan Networking dan Referral
Hubungi rakan-rakan networking dan dapatkan referral dari mereka per mudahkan lagi mencari sasaran bakal pembeli dan pelanggan. Masing-masing berpuasa tapi jualan masih perlu untuk dilakukan juga. Dapatkan dari mereka secara berhemah dan bersopan membantu kita agar lebih per mudahkan dan menyenangkan lagi pergerakan kita mendapatkan pelanggan yang dimahukan.

vi.       Pengurusan masa
Susun secara lebih efektif dengan perancangan yang boleh memberikan manfaat kepada kita. Perancangan yang baik sudah pasti menitikberatkan pengurusan masa yang baik pada waktu mana paling sesuai bertindak dan memberikan keputusan yang terbaik untuk kita lakukan. Bila masa berehat, bila masa untuk beribadat, bila masa untuk bertemu prospek dan bila masa untuk kita menghabiskan segala tugasan yang sepatutnya. Semuanya perlu di rancang dengan teliti dan berkesan.

vii.      Muhasabah semula
Amat penting dilakukan dan jangan di abaikan. Dengan muhasabah sudah pasti segala kesilapan dan kesalahan yang dilakukan tidak akan berulang lagi. Dengan muhasabah kita akan ketahui apa tindakan terbaik boleh kita lakukan sesuai dengan kita berpuasa di siang hari. Dengan muhasabah juga sudah pasti segala kelemahan yang ada dapat kita tutup dengan segala kelebihan yang ada kita pergunakan dengan sebaik yang mungkin.

Jangan jadikan puasa sebagai satu alasan mengurangkan jualan kita. Bila kita berlapar dan dahaga ini akan menguatkan lagi semangat kita melakukan tugasan dengan sebaik yang termampu. Jangan biarkan lapar kita menjadi penghalang dalam melakukan jualan kerana dalam Islam pun tak suruh pun kita tidur sepanjang siang hari dan cerah biji mata bila hendak berbuka puasa. Lagi kita merasa lapar dan dahaga lagi kuat semangat kita melakukan tugasan. Lagi pun berpuasa ni bukannya lama, hanya sebulan dan bukannya setahun. Bersiap sedialah untuk menghadapinya. Tak perlu nak merungut, menyumpah dan bersedia dengan kehadiran Ramadhan. Bukankan Ramadhan ini hadiah Allah untuk kita sebagai umat Rasulullah yang di dalamnya penuh dengan keberkatan, kerahmatan dan pengampunan dari Allah SWT? Berikan yang terbaik dan terhebat agar segala apa juga yang kita lakukan ini adalah satu amal ibadat yang perlu untuk kita lakukan dengan sebaik yang mungkin. Berikan yang terbaik pada Ramadhan kali ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan