Sempena Kehadiran Nisfu
Syaaban ini ambillah kesempatan dengan kehadirannya. Terdapat banyak saranan
Rasulullah SAW berkenaan dan berkaitan tentang Nisfu Syaaban ini. Antaranya
adalah dari Ibnu Majah dari Ali r.a. dari Nabi SAW. bersabda bermaksud, “Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, lalu
berqiamullail pada malamnya, dan berpuasa di siangnya, maka sesungguhnya Allah
SWT turun ke langit dunia ketika matahari terbenam dan berfirman, “Adakah di
sana orang yang memohon keampunan, lalu Aku mengampunkan dia? Adakah di sana
orang yang memohon rezeki, lalu Aku memberi dia rezeki? Adakah di sana orang
yang diberi ujian bala bencana, lalu Aku menyejahterakan dia? Adakah di sana …
adakah di sana … ? sehingga terbit fajar”.
Dari Al-Baihaqy dengan
sanad-sanadnya dari Aisyah r.a. bahawa Nabi SAW. bersabda bermaksud, “Jibril telah mendatangi aku dan berkata:
Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Pada malam itu Allah membebaskan
hamba-hamba dari seksaan Api Neraka seramai bilangan kambing Bani Kalb
(merentasi satu tempat) selama sebulan. Pada malam itu Allah tidak menoleh
kepada orang yang melakukan syirik, pengadu domba (kaki batu api), pemutus
silaturahim, penderhaka kepada kedua ibu bapa dan orang yang ketagih arak”.
Bani Kalb adalah kabilah Arab yang terbesar atau yang memiliki bilangan kambing
yang terbanyak.
Nisfu
Syaaban (Nisf bermaksud separuh) adalah peristiwa hari ke-15 dalam bulan
Syaaban tahun Hijrah. Umat Islam mempercayai yang pada malam Nisfu Syaaban,
amalan akan dibawa naik oleh Malaikat untuk ditukar dengan lembaran amalan yang
baru setelah setahun berlalu. Pengertian am Nisfu Syaaban dalam bahasa Arab
bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu
Syaaban adalah malam ke-15 Syaaban iaitu siangnya 14 hari bulan Syaaban.
Malam
Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar. Hari Nisfu Syaaban adalah hari di mana buku catatan
amalan orang-orang Muslimin selama setahun diangkat ke langit dan diganti
dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan di buku
yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu Maghrib (waktu senja), (15
Syaaban bermula pada 14 hari bulan Syaaban sebaik sahaja masuk waktu Solat
Maghrib).
Nabi
Muhammad SAW menggalakkan umatnya untuk bangun malam setiap malam dan
berjaga serta beriktikaf sepanjang malam kerana tidak mahu amalan diangkat
dalam keadaan tidur atau lalai. Tunjukkan kesungguhan yang ada dengan berzikir,
bertahmid dan berdoa sebanyak yang mampu. Berdoa dengan apa yang kita hajati
apa juga asalkan tidak dan bukan kepada perkara-perkara yang bercanggah dengan
Agama. Allah Maha Mendengar, Maha Pengampun dan Maha Pemurah. Jika
dipersia-siakan kehadiran hari yang kita tunggu-tunggukan selama ini.
Menjadi
amalan kita di sini pada malam Nisfu Syaaban, membaca surah Yasin sebanyak tiga
kali terutamanya di Masjid-masjid atau di surau- surau. Tujuan pembacaan
sebanyak tiga ini adalah untuk memohon kepada Allah seperti berikut
1. Bacaan kali pertama, memohon supaya
dipanjangkan umur dan taat kepada Allah serta sentiasa beramal soleh.
2. Bacaan kali ke-2, memohon supaya ditolak
segala bala bencana.
3.
Bacaan kali ke-3, memohon supaya di murahkan rezeki dan tidak
berhajat kecuali kepada Allah
Luangkanlah sedikit masa untuk kita beramal ibadat kepada
Allah memohon agar pekerjaan kita dalam melakukan jualan sentiasa diberi
pertolongan memudahkan apa yang disukarkan, diberikan kesihatan yang terbaik
untuk melakukan tugasan dan dilimpahi rezeki sentiasa dalam apa juga keadaan.
Inilah rutin yang perlu dilakukan secara tahunan yang perlu diamalkan tanpa ada
sebarang kesukaran atau halangan. Berilah komitmen kepada Allah dahulu sebelum
boleh kita berikan komitmen kepada perkara yang lain. Tanpa Allah izinkan siapalah
kita di muka bumi ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan