Abu Musa berkata ‘Nabi
Muhammad bersabda : Panduan dan ilmu yang Allah tugaskan kepada saya supaya menyampaikannya
itu umpama air hujan yang turun ke bumi. Ada kawasan yang tanahnya subur. Ia
dapat meresap air, sebab itu ia dapat menumbuhkan tumbuhan dan rumput yang
banyak. Ada juga kawasan bertanah keras
yang dapat menakung air. Sebab itu Allah menjadikannya berguna kepada manusia.
Mereka dapat minum dan memberi minuman kepada binatang ternakan dan bercucuk
tanam. Hujan itu juga menimpa kawasan tanah tandus yang tidak dapat pula
menumbuhkan tumbuhan. Itulah perumpamaan orang yang benar-benar faham berkenaan
agama Allah. Dia mendapat faedah daripada ilmu Allah yang saya sampaikan, sebab
itu dia berilmu dan beramal serta mengajarkannya kepada orang lain. Dan itu
jugalah perumpamaan orang yang angkuh dan langsung tidak menghiraukan petunjuk
Allah yang saya sampaikan’ (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Hebatnya pada orang yang mempunyai ilmu walaupun sedikit. Apabila diguna
pakai ilmu yang ada sudah pasti kejayaan akan mampu diraih dan di kecapi. Ilmu
yang ada pergunakan dengan sebaik mungkin. Jangan tamak dan kedekut sama sekali
tetapi pergunakan demi kegunaan orang ramai. Biar berkat di dunia dan akhirat.
Kerana ilmu juga seseorang boleh menjadi tamak haloba dan mementingkan diri
sendiri. Kerana ilmu yang ada kekayaan dan segala nikmat dunia boleh
mengakibatkan seseorang menjadi tinggi dan lagak diri.
Sabda Rasulullah SAW ‘Sesiapa yang mempelajari ilmu agama bukan bertujuan mendapat keredaan Allah
tetapi bagi mendapat kekayaan dan kedudukan di dunia semata-mata, pada Hari
Kiamat kelak dia tidak mencium bau syurga’ (Riwayat Abu Daud).
Semuanya bergantung dengan niat dan tujuannya. Kalau niat dan tujuannya
baik sudah semestinya hasil juga menjadi baik tapi kalau niat dan tujuan ilmu
yang diperoleh untuk bermegah-megah, menunjuk-nunjuk ataupun menandingi
kehebatan ilmu orang lain sudah pasti tidak ke mana. Semuanya di tangan kita
sama ada untuk memilih kesenangan hidup di dunia sahaja atau memilih kesenangan
hidup di dunia yang lebih kekal lagi iaitu di akhirat nanti.
Sabda Rasulullah SAW ‘Sesiapa yang menuntut ilmu dengan tujuan bermegah-megah menandingi ulama
dengan ilmunya itu atau dengan tujuan bertengkar dan bertegang urat dengan orang yang jahil dengan ilmunya
itu atau pun dengan tujuan menaik dengan ilmunya itu perhatian orang ramai
memujinya, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam neraka’ (Riwayat Hadis oleh Tirmizi dan Ibnu
Majah).
Pilihan di tangan kita. Ilmu yang ada di samping untuk di guna pakai boleh
juga disebar-sebarkan kepada sesiapapun juga walaupun kepada pesaing. Jangan
kedekut ilmu dan pengetahuan. Bukan boleh dibawa ke kubur atau penambah
kewangan kita sampai bila-bila. Semakin kita menyimpannya dan merasa kedekut
dengan ilmu yang ada sudah pasti Allah akan menariknya sedikit demi sedikit
tanpa kita sedari sama sekali. Elakkan merasa tamak, kedekut, bakhil dan kikir
tentang penyebaran ilmu. Lakukan sebaik-baiknya kerana dengan ilmu kita lebih
mudah mendapat kawan dari lawan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan