Hairan sungguh dengan kepercayaan bantuan bomoh atau dukun yang boleh
menghasilkan pendapatan lumayan jika berhubungan dengan mereka. Seolah-olah
kuasa bomoh atau dukun sahaja yang mampu menghasilkan kejayaan yang diingini
walaupun mungkin tanpa adanya sebarang usaha perlu dilakukan. Adakah ini yang
perlu diamalkan semasa dan ketika melakukan jualan. Kenapa perlu ambil jalan
mudah sehingga sanggup bagi kita mengingkari arahan Allah? Hebat sangat kah
pengaruh bomoh ini dalam melakukan jualan?
Kalau ini yang kita lakukan cukup berat balasan Allah SWT terhadap mereka
yang mengamalkannya. Sepatutnya apa yang telah kita lakukan kita bertawakal dan
berdoa kepada Allah bagi per mudahkan dan menyenangkan apa juga kesukaran yang
timbul dan berlaku. Tetapi bukan di sebaliknya sehingga sanggup bagi kita
melakukan syirik terhadap Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW ‘Barang siapa yang mendatangi bomoh untuk
bertanya tentang sesuatu perkara lalu dia membenarkan apa yang bomoh itu
katakan, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh hari’. (Hadis Riwayat Muslim).
Kerana hendak memuaskan hawa nafsu dan mengabaikan apa yang Allah suruh
tinggalkan boleh mengakibatkan seluruh amalan kita kepada Allah akan menjadi
sia-sia sahaja begitu sahaja. Buat penat sahaja kita tunggang tonggek dalam
melakukan solat, menahan kelaparan dan kehausan apabila berpuasa dan
bersengkang mata apabila membaca Al-Quran namun segala amalan-amalan akan
menjadi sia-sia begitu sahaja. Adakah ini pencarian sebenarnya kita sebagai
bekalan untuk menghadapi dunia akhirat kelak? Adakah pegangan teguh kita
terhadap Allah boleh berubah dengan senangnya hanya kerana percaya kepada bomoh
atau dukun sesenang begitu sahaja?
Fikirkan semula jika ada kita lakukan perkara sebegini. Bukan setakat 40
hari amalan kita boleh di tolak namun boleh mengakibatkan kita terkeluar dari
Islam pula nanti. Ini ada di buktikan oleh sabda Rasulullah SAW ‘Barang siapa yang mendatangi bomoh lalu ia
mempercayai apa yang bomoh itu katakan maka kafirlah ia terhadap apa yang Allah
turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w’ (Hadis Riwayat Abu Daud).
Jauhilah segera dan jangan terlalu
mudah untuk di amalkan. Jangan mudah hampiri bomoh atau dukun jika gagal melakukan jualan kerana setiap
kegagalan yang kita tempuh itu adalah satu ujian dari Allah sama ada kita redha
dan sabar dengan apa yang berlaku. Kegagalan juga akan menjadikan kita semakin
matang berpengalaman dan menambahkan lagi ilmu pengetahuan kita dalam melakukan
jualan. Berfikiran waras dan bijak serta pandai memilih yang mana satu kaca dan
yang mana satu berlian. Allahlah tempat kita bergantung sepenuhnya tanpa ada
sedikit pun rasa ragu-ragu dan waswas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan