Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Rabu, 9 April 2014

BERTEMU DENGAN MEREKA YANG EGO




Memang menyusahkan apabila bertemu dan bersua dengan bakal pembeli atau pelanggan yang penuh dengan keegoannya. Seolah-olah apa yang diperkatakan semuanya betul dan benar belaka. Kita pula perlu mendengar dan mengikut apa yang di perkatakan. Memang sesuatu yang melecehkan dan kalau tidak boleh dikawal sudah tentu kesabaran yang ada boleh hilang. Semuanya berpunca dari sikap dan sifat ego bakal pembeli atau pelanggan yang ditemui.

Apa lagi yang boleh di perkatakan. Semuanya perlu dilalui dengan penuh redha dan sabar yang meninggi. Tak perlu meninggi suara apatah lagi melayan kerenah mereka yang cukup tinggi diri itu. Masih terdapat ruang dan peluang yang boleh kita pergunakan sebaik mungkin. Antara tindakan yang perlu adalah
       
i.             Bersedia untuk mendengar apa yang mereka mahu kita dengar terlebih dahulu. Beri sahaja peluang untuk mereka perkatakan apa yang mereka mahu perkatakan. Dengar dengan teliti dan penuh kesungguhan. Sekiranya kita tidak bersetuju dengan apa yang mereka nyatakan, cuba beri bantahan dengan cara yang lembut dan berhemah. Ini adalah kerana sekiranya anda memberi bantahan dengan cara yang keras, sudah semestinya mereka itu akan lebih berkeras dengan kita demi untuk menjaga keegoan mereka.

ii.           Buatkan mereka berasa bijak. Orang sebegini amat mementingkan kehormatan dan pujian dari kita untuk mereka. Sekiranya kita merasakan pendapat yang mereka berikan tidak masuk akal sekalipun, jangan memberi kenyataan sehingga mereka menganggap kita memikirkan mereka tidak bijak! Ia akan memburukkan lagi keadaan dan keharmonian suasana kerana mereka akan cuba untuk mempertahankan walaupun mereka sebenarnya sedar mereka telah salah sama sekali.

iii.          Buatkan mereka merasakan sebagai serba tahu apa yang kita lakukan.  Biarkan sahaja apa yang mereka perkatakan dan mahu luahkan. Buat permulaan banyakkan berkata ya dari tidak. Ambil hati dan perhatian mereka terhadap kita terlebih dahulu. Bila keadaan telah reda barulah boleh kita bertindak memberikan penerangan kepada mereka pula.

iv.          Jangan lupa hulurkan pujian yang sederhana tidak melampau kepada mereka. Bukan wanita sahaja yang gemarkan pujian, tetapi lelaki juga sama. Sekiranya mereka telah berusaha melakukan sesuatu untuk kita, berilah mereka sedikit pujian. Ini akan membuatkan mereka merasakan kita benar-benar menghormati mereka. Apabila kita telah menunjukkan rasa hormat, tidak mustahil untuk mereka juga menghormati diri kita seperti mana yang kita mahukan.

v.            Pastikan penampilan kita sentiasa menarik. Tidak kira pertemuan pertama atau ulangan di waktu perbincangan kita mesti berada di dalam keadaan yang boleh menarik perhatian dan tumpuan mereka. Ini kerana dari segi psikologi, sekiranya kita berada di dalam keadaan penampilan yang tidak terurus atau sebagainya, ia akan menaikkan lagi kemarahan mereka yang berada di hadapan kita. Berhiaslah berikan penampilan yang menarik bukan untuk memikat tapi sekurang-kurangnya dapat mencuri sedikit perhatian mereka meluangkan masa untuk mendengar presentasi kita kepada mereka.

vi.          Jangan membantah atau mencelah. Sememangnya agak sukar untuk mengurangkan ego seseorang. Kita perlu bijak untuk membuatkan mereka merasakan mereka betul walaupun sebenarnya mereka salah. Gunakan kreativiti kita secara tersendiri untuk melakukannya. Cuba elakkan daripada memberi bantahan terus menerus kerana ia pasti secara terang menunjukkan mereka salah. Cuba berikan penjelasan secara kiasan supaya mereka tidak sedar bahawa kita sebenarnya membantah apa yang mereka nyatakan. Biarkan mereka sendiri yang memikirkannya.


Bersemuka dengan mereka yang ego perlukan kesabaran dan ketenangan. Jangan melawan arus tapi ikutilah arus yang ada. Bukan rugi pun. Berikan yang terbaik. Beralah seketika bukan bermakna kita mengalah selama-lamanya. Mesti ada jalan atau kaedah untuk diatasi asalkan kita relak dahulu tidak perlu terburu-buru mengambil tindakan. Jangan tersilap langkah sudahlah. Berhati-hati dan berwaspada sentiasa. Setiap kejadian dan keadaan yang berlaku itu terlalu banyak hikmahnya.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan