Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Jumaat, 1 November 2013

PANJANG ANGAN-ANGAN




Bagi mendapatkan kejayaan yang dimahukan kita amat di saran agar mempunyai matlamat dan impian yang jelas dan tepat. Tanpa adanya matlamat dan impian bagaimana tindakan kita untuk bekerja boleh dicapai dengan baik sama sekali. Jangan matlamat yang ada telah ditukarkan kepada angan-angan sahaja. Impian dan angan-angan bukannya satu perkara yang sama. Impian lebih kepada apakah tindakan kita memberikan komitmen untuk di capai. Manakala angan-angan pula lebih kepada mainan perasaan yang melangkau dari kemampuan kita untuk melakukannya. Ingat kah lagi kisah Mat Jenin yang tidak habis-habis dengan angan-angannya? Perlukan kita dalam melakukan tugasan jualan bertindak dan melakukan tugasan seperti Mat Jenin? Berfikir balik agar apa juga kita lakukan boleh mencapai atas apa sahaja matlamat dan impian yang telah kita bina dan inginkan.

Dari Jabir ra., pesan Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya perkara yang sangat-sangat aku bimbangkan terhadap umat ku ialah hawa nafsu dan panjang angan-angan, kerana hawa nafsu itu menghalang daripada menerima kebenaran dan panjang angan-angan pula melengahkan amalan akhirat. Dan ingatlah dunia ini pada setiap saatnya berjalan pergi, dan akhirat pula pada setiap saatnya berjalan datang, sedang tiap-tiap satunya ada orang yang kasih dan setia kepadanya: Oleh itu kalau kamu dapat menahan diri daripada menjadi orang-orang yang kasih dan setia kepada dunia maka buatlah, kerana kamu pada hari ini berada di kampung yang ada padanya peluang untuk kamu beramal dan belum ada sebarang hisab dan kamu pada hari esok akan berada di kampung akhirat yang ada padanya hisab dan tidak ada peluang bagi sebarang amal.”(Hadis Riwayat Al-Baihaqi).

Jauhkan dari angan-angan. Angan-angan yang panjang boleh mengakibatkan kita syok sendiri. Melangkaui keupayaan sebenar dalam mencapai apa yang ingin kita mahukan dan kehendaki jika angan-angan masih dilayan begitu sahaja. Kerana itu elakkan sama sekali berangan tak tentu hala dan fasal. Ini adalah kerana

i.         Terlalu mengganggu fikiran kita
Semakin dilayan angan-angan semakin sukar tindakan kita melakukan tugasan jualan. Kita terlalu leka dan menjadi semakin alpa dibuatnya. Sibuk melayan angan-angan sehingga terlupa nak lakukan tugasan sebenarnya. Lakukan secara realiti dan bukannya fantasi. Berikan yang terbaik apa yang perlu dicapai dari kita melayan perkara yang bukan-bukan.

ii.        Fokus pemusatan kehidupan akan lari
Tumpuan dan fokus kita menjadi tidak betul kalau angan-angan tetap menjadi pilihan utama kita. Fikirkan kesan negatifnya dan jangan main suka-suka hati terlalu berangan kepada perkara yang tidak menjadi realiti lagi. Fikirkan kemampuan sebenar kita sebelum kita fahami sama ada boleh atau tidak untuk kita lakukan. Biarlah orang kata apa pun asalkan fokus teguhkan pendirian mengejar apa yang kita idam dan impikan. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

iii.       Menimbulkan kelekaan dan lupa tanggungjawab sebenar
Tanggungjawab kita adalah amanah yang perlu dilakukan. Bukan main suka-suka untuk menanggung dan menjawab apabila diperlukan. Fikirkan realiti dan bukannya kita dituntut agar leka dan lupa pula kepada tanggungjawab yang ada. Berikan perkara yang sepatutnya untuk kita lakukan. Biar keputusan akhir menjadi saksi akan tugasan jualan yang telah kita usahakan. Tak perlu berangan tapi lakukan sahaja tunjukkan keputusan akhir adalah hasil dari titik peluh kita sendiri.

iv.       Pengurusan masa
Masa itu emas. Masa itu penting. Angan-angan kalau dilayan habis hilang masa tugasan kita begitu sahaja. Alangkah ruginya alangkah kecewanya jika ini berlaku dan terjadi. Urusan masa perlu dibuat dengan tempuh yang telah ditetapkan setiap seorang dengan jangka waktu 24 jam sehari semalam. Sepatutnya kita boleh melakukan tugasan dalam 8 ke 10 jam sehari melakukan jualan. Tapi kerana terlalu melayan angan-angan kita masa jualan akan hilang begitu sahaja tanpa kita sedari dan kita hanya boleh melakukan tugasan tersebut kurang dari 4 jam sahaja sehari semalam. Alangkah malangnya jika perkara sebegini berlaku dan terjadi.

v.        Jauh dari melakukan ibadah kepada Allah.
Ingatilah selalu bahawa Allah tidak memberi kepada kita apa yang kita mahukan tapi memberi kan kepada kita apa yang kita perlu. Allah beri apa yang kita perlu kena pastikan perkara tersebut bukannya satu angan-angan yang perlu di amalkan sama sekali. Angan-angan akan memusnahkan kehidupan kita jika kita terlalu melayan angan-angan sendiri. Berfikir dan bermuhasabah sentiasa agar tidak mudah menjadi satu tabiat buruk pula kepada diri kita sendiri.

Makan buah berangan tak apa lagi. Yang tak boleh tu sentiasa mahu untuk berangan-angan. Kalau nak pun berangan-angan tu boleh tapi biarlah jangan berlebih-lebihan. Biarlah angan-angan kita itu angan-angan yang mampu untuk dilakukan. Ada logiknya dan segala tindakan yang ada cukup berasas. Ingat amanah dan tujuan kita melakukan yang terbaik dan bukannya angan-angan sendiri menjadi yang terbaik. Berikan yang terbaik dan disenangi oleh orang lain. Mutu jualan kita perlu diambil berat bagaimana untuk melakukannya mengikut standard yang telah ditetapkan. Teruskan usaha tinggalkan angan-angan agar setiap keputusan yang diperoleh sebenarnya adalah dari kehebatan dari diri kita sendiri.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan