Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Khamis, 21 November 2013

APABILA TIDAK DILAYAN




Sememangnya memeningkan kepala apabila bertemu dengan bakal pembeli atau pelanggan mereka langsung tidak mahu melayan kita. Sama ada penetapan temu janji atau bertemu terus-terusan namun keengganan untuk tidak melayan kehadiran kita amat menyukarkan tindakan. Sesuatu perlu dilakukan agar apa yang kita hajati dapat di penuhi juga. Jangan mudah panik atau merasa kecewa dengan tindakan mereka kerana ini akan lebih memburukkan suasana.

Setiap masalah yang timbul pasti ada jalan penyelesaiannya. Jangan mudah berkata ‘Tidak’ atau berlalu pergi begitu sahaja. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Teruskan sahaja tindakan kerana mereka berada di hadapan kita. Lakukan sahaja dengan tabah dan sabar. Antara tindakan yang perlu dilakukan adalah 

i.             Bersabar
Bawa bertenang dan banyakkan bersabar. Bukankah bersabar itu separuh dari iman. Tak perlu nak kalut-kalut tapi kenal pasti apa puncanya. Mungkin ada kesilapan pembuka kata atau penampilan kita yang dirasakan telah menyakitkan hati dan perasaan mereka. Setiap yang berlaku pasti ada hikmah dan cabarannya. Hadapi dengan baik agar kita tahu apa tindakan terbaik boleh diberikan kepada mereka untuk menjernihkan semula keadaan.

ii.           Jangan menjerit atau merungut
Mulakan mendengar dengan teliti apa yang diperkatakan. Jangan syok sendiri atau tunjuk pandai yang boleh menyakitkan hati mereka. Fahami apa yang mereka mahukan agar kita tahu apa yang perlu kita lakukan pula. Jangan jadi seperti budak kecil tak dapat apa yang dikehendakinya sering merungut dan menjerit yang bukan-bukan. Bentuklah diri menjadi seorang yang profesional yang boleh mengikut arus ke mana di bawa pergi.

iii.          Jangan mengungkit
Jangan dinyatakan keadaan yang berlaku tapi tanyakan kenapa tiba-tiba sahaja keadaan menjadi sebegini. Lebih baik ambil tahu dari kita menganggap yang bukan-bukan. Ambil tindakan sewajarnya dengan selalu berbaik sangka pada orang. Bukan jatuh pun maruah kalau sentiasa merendah diri. Pikat hatinya agar interaksi boleh dilakukan semula dengan sebaik yang mungkin.

iv.          Mohon kemaafan
Ringankan mulut membuka bicara dengan sentiasa memohon kemaafan. Walaupun tiada tindakan mereka yang menyakitkan hati kita tapi tidak salahkan kalau kita sering memohon kemaafan. Bagi mereka pasti menjadi malu alah dengan kita. Dari buat tak tahu mungkin mereka akan mula berinteraksi dengan kita tanpa kita sedari pula. Yang penting berusaha dan jangan dibiarkan begitu sahaja hanya dengan memohon kemaafan.

v.            Beredar segera
Kalau masih tak dilayan juga nak tunggu apa lagi. Kena beransurlah namanya. Sebaik-baik tindakan jangan ditunggu lagi. Minta keizinan berundur diri. Berundur bukan bererti tewas tapi masa mungkin belum bersesuaian lagi. Nantikan masa yang terbaik agar keputusan akhir boleh diperoleh juga

vi.          Berdoa
Perkara yang wajib untuk kita lakukan secara konsisten dan berterusan. Tiada siapa yang boleh membantu kita melainkan Allah. Yakin pada Allah sudah tentu Allah hulurkan bantuannya sama ada kita sedar ataupun tidak. Minta sahaja apa yang kita mahukan dan perlukan yang penting usaha kena ada untuk dilakukan.

Buang sikap mudah merasa kecewa dan putus asa. Jangan orang tak layan kita pun ikut sekali tak layan mereka. Setiap yang berlaku ada hikmat dan sebabnya. Terima dengan hati yang terbuka. Lakukan perancangan semula agar perkara sebegini tidak berlaku lagi di masa hadapan. Sekali orang menolak kita bukan bermakna semua orang akan menolak kita juga. Sasaran yang lain perlu dilakukan agar akhirnya kita temui apa sebenarnya kita mahukan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan