Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Khamis, 7 November 2013

TIP TINGKATKAN KEMAHIRAN PERUNDINGAN




Perundingan amat penting bagi mendapatkan kata putus bakal pembeli atau pelanggan sama ada untuk menerima tawaran yang dikemukakan ataupun tidak. Proses perundingan ini berlaku kerana masing-masing cuba untuk mendapatkan apa yang terbaik bagi diri masing-masing. Perundingan juga boleh kita kenali sebagai satu proses tawar menawar terhadap produk yang ditawarkan. Majoritinya tawar menawar banyak bergantung harga yang ditawarkan. Sebelah pihak memerlukan harga terendah boleh diperoleh manakala sebelah pihak lagi pasti mahukan keuntungan setinggi yang termampu.

Seperti orang bermain layang-layang ada kalanya kena tarik tali layang-layang tersebut dan ada masanya kena lepaskan tali layang-layang tersebut bagi memastikan layang-layang tersebut dapat melayang dengan baiknya di udara yang tinggi. Semuanya perlu dikawal dengan bijak sama sekali. Cuma dipastikan tali yang ada jangan mudah putus di pertengahannya pula ditakuti nanti layang-layang tersebut akan hilang dari pandangan pula. Kerana itu dalam melakukan perundingan kena pandai mengambil hati, tidak terlalu bertegas dan bijak bermain-main kata. Kena berhati-hati dan tunjukkan keadaan menang-menang perlu diwujudkan. Sekali tidak dapat dikawal sudah tentu pada akhirnya bakal pembeli atau pelanggan akan pergi meninggalkan kita begitu sahaja.

Jalan selamat, ikuti tip yang diberikan ini agar ketika perundingan dilakukan sekurang-kurangnya kita tahu apa yang perlu dilakukan. Sentiasa beringat bahawa peringkat perundingan adalah satu peringkat yang bakal menentukan sama ada penutupan jualan boleh diperoleh ataupun tidak. Jangan tersilap langkah padahnya kita juga kempunan tak sudah-sudah. Ambil langkah selamat, sentiasa berhemah dan bersopan dengan melakukan perkara-perkara seperti berikut

i.             Berunding secara mendalam apabila mereka telah menunjukkan minat

ii.           Jangan dipengaruhi dan mendesak. Biarkan perbincangan pada isu produk yang ditawarkan.

iii.          Berupaya mencari solusi penyelesaian yang boleh mendatangkan cengkaman minat mereka.

iv.          Ketahui masa terhad mereka agar tidak berlarutan

v.            Jangan biarkan kekangan masa kita dikawal oleh mereka

vi.          Ambil tahu apa pesaing tawarkan di pasaran dan ketahui apa kelemahannya.. Atasi kelemahan mereka dengan kehebatan produk kita.

vii.        Elakkan bernada rendah seolah-olah kita tidak pasti dengan apa yang kita tawarkan

viii.       Permainan mata perlu dan penting ketika tawaran dikemukakan

ix.         Diam seketika bagi memberi mereka ruang untuk berfikir

x.           Jangan berjanji dan menulis melainkan tawaran telah diterima kerana dikhuatiri apa yang telah dijanjikan dan dituliskan tidak boleh diubah semula

xi.         Yakin dengan apa yang diperkatakan

Jangan pandang ringan proses perundingan lagi. Satu langkah lagi untuk mendapatkan penutupan jualan. Sentiasa bijak dan berkeupayaan menarik minat bakal pembeli atau pelanggan untuk menerima tawaran. Dengar apa yang dimahukan dan jangan cepat melakukan keputusan boleh ataupun tidak. Kadang-kadang permintaannya boleh kita tunaikan asalkan kena pada yang dibenarkan oleh pengeluar produk. Jangan tunjuk pandai pada tempat yang tidak mampu  melakukan keputusan. Padahnya pada kita juga Oleh itu berfikir sebaik-baiknya agar apa juga tindakan kita bukan setakat tidak menanggung kerugian, mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pengeluar produk dan juga apa saja kemahuan mereka yang mungkin boleh menerima tawaran yang dikemukakan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan