Setiap hari, setiap waktu
umur kita bertambah atau meningkat. Jangan dinafikan sama sekali. Tidak pernah
sama sekali semakin hari semakin muda umur kita. Sama ada memasuki tahun baru
atau tidak, hayat kita tetap bertambah singkat dan ajal semakin dekat. Setiap
kita disuruh untuk berazam ke arah yang lebih baik, sama ada menjelang atau
belum tahun yang baru. Itulah kehidupan dan jiwa seorang Muslim. Masa tidak
selalu menunggu kita. Kebaikan jangan di tangguh, keburukan jangan ditanggung.
Jangan menunggu tahun baru untuk berubah kepada yang lebih baik. Jangan
menunggu tahun baru untuk meninggalkan keburukan. Itulah jalan hidup yang patut
kita fahami dan hayati.
Begitulah kita dalam
menyambut sempena kehadiran Maal Hijrah apakah kita hanya mahukan cuti tahunan
yang boleh kita peroleh. Berehat depan TV menyaksikan program-program tanpa
memikirkan sesuatu yang boleh memberikan kita satu kesedaran dan keinsafan dalam
diri kita sendiri? Masa semakin suntuk dan singkat tapi kedudukan kita tidak ke
mana. Masih terkial-kial mencari jejak kejayaan baik di dunia mahupun di
akhirat. Apalah gunanya kita berjaya di dunia tapi malangnya kejayaan yang
diperoleh tidak dapat diperoleh untuk dunia yang satu lagi? Alangkah malangnya
jika perkara sebegini berlaku.
Jika tahun baru hendak
diingati atau dihayati, mungkin di sudut kedatangan tahun baru boleh menjadi
pemangkin semangat dan azam. Membantu penilaian dan perancangan. Maka, ia akan
menggalakkan kita muhasabah diri; apakah kejayaan amalan dan tugasan jualan
yang baik atau dosa yang telah kita lalui tahun lalu? Juga, yang penting apakah
perancangan dan azam kebaikan bagi kalendar yang akan datang. Maka kita pun
berazam ke arah prestasi yang lebih baik agar jualan kita semakin hebat
peningkatannya setiap masa dan ketika.
Berazam sahaja tidak
memadai andai kata tindakan yang kita lakukan tidak selari dengan keazaman yang
ditetapkan. Fikir baik-baik adakah apa yang kita lakukan telah berjaya dicapai
ataupun tidak. Kalau berjaya syukur Alhamdulillah. Kalau masih lagi belum
kesampaian fikir yang terbaik bagaimana untuk mencapainya menjadi realiti. Yang
penting penyerahan diri kita terhadap Allah perlu dikukuhkan lagi agar apa juga
cabaran, rintangan dan halangan dengan tabah dan cekal tetap kita hadapi dan
lalui dengan baik sama sekali. Hanya Allah tempat kita bergantung dan hanya
kepada Allahlah tempat kita mengadu segala-galanya.
Berikan yang terbaik bukan
sahaja buat diri kita tetapi juga kepada Agama kita juga. Perjuangan hidup bukan
setakat di dunia tetapi juga di dunia yang satu lagi yang lebih kekal abadi
sampai bila-bila. Teruskan perjuangan dalam melakukan jualan. Sentiasa hulurkan
dan berikan bantuan dan pertolongan seperti mana yang diharapkan. Selesaikan
masalah mereka menerusi produk yang ditawarkan. Per mudahkan dan jangan
disukarkan. Pasti kejayaan akan diperoleh sama ada kita sedar ataupun tidak. Yakinlah.
Selamat menyambut Maal
Hijrah 1435.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan