Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Khamis, 21 Jun 2012

Syaaban - Ambil kesempatan kemunculannya


Syaaban membawa maksud berpecah-pecah atau berpuak-puak. Kenapa ia membawa maksud dan makna sampai berpecah-pecah atau berpuak-puak? Ini adalah disebabkan semasa zaman tersebut, orang-orang Quraisy terpaksa melakukan perpecahan yang terbentuk beberapa kumpulan yang kecil hanya bagi tujuan mencari sumber air di padang pasir. Sehinggalah kehadiran Nabi Muhammad SAW yang terus mengekalkan nama tersebut sehinggalah sekarang.

Terdapat begitu banyak sekali kelebihannya. Rasulullah SAW ada menyebut dalam beberapa hadis yang sahih dan muktabar sanadnya. Antara hadis yang paling masyhur tentang bulan Syaaban ini adalah Nabi Muhammad SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya. “Tahu kah kamu sekalian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab “ Hanya Allah dan Rasulnya yang lebih mengetahui.” Sabda Rasulullah SAW, “ Kerana dalam bulan inilah berkembangnya kebaikan yang banyak sekali.” (Rujukan Kitab Raudatul Ulama)

Ulama-ulama ada mengatakan bahawa “Sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk memohon keampunan daripada segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.”

Inilah waktu dan ketikanya untuk kita yang selalu sibuk melakukan jualan untuk mengambil kesempatan yang ada ini berada pada bulan Syaaban untuk sama-sama melakukan

i.                    Satu persediaan menghadapi kedatangan bulan Ramadhan
Mana yang larat bolehlah cuba untuk melakukan puasa-puasa sunat. Bagi perempuan, inilah masanya melangsaikan hutang puasanya kepada Allah. Tidak lama lagi Ramadhan akan muncul, inilah masa dan ketikanya untuk melakukan latihan berpuasa lebih banyak dari kebiasaannya. Sememangnya karier dalam melakukan jualan terpaksa menghadapi pertukaran cuaca yang tidak menentu ini apatah lagi gangguan ke tidak seragaman waktu makan yang kadang-kadang terpaksa makan tengah hari di waktu malam. Niat yang betul pasti membawa keputusan yang baik. Niat yang baik sudah pasti memberikan ganjaran yang akan Allah berikan semula kepada kita tanpa kita sedari.

Abu Hurairah berkata Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Rejab bulan Allah dan Syaaban itu bulan ku, manakala Ramadan itu bulan umat ku." (Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim).

ii.                  Perbanyakan amal jariah
Perbanyakan bersedekah tidak kira siapa pun orangnya. Melakukan amalan bersedekah sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban golongan orang-orang yang susah dan mengharapkan bantuan dari yang berkemampuan. Bersedekah juga kepada prospek/pelanggan dengan cara berbelanja makan dan minum, memberikan cenderahati dan barangan kenang-kenangan sudah pasti akan dapat merapatkan lagi hubungan dan ukhwah di samping meminta referral sebanyak yang boleh. Bukan untuk memanipulasikan atau mengambil kesempatan ke atas pelanggan tetapi demi menjaga perhubungan yang ada supaya keadaan yang lebih mesra dan mendapat kepercayaan mereka itu yang lebih utama. Sabda Rasulullah SAW bermaksud “Dua sifat yang tidak patut terkumpul dalam diri seseorang Mukmin yang beriman adalah sifat bakhil dan buruk pekertinya” ( Hadis Riwayat Bukhari dan Abu Said)

iii.                Bantu dan menolong seramai yang termampu
Antara perkara yang dituntut dalam Islam adalah kita perlu menolong hulurkan bantuan seramai yang boleh untuk kita selesaikan permasalahan mereka. Prospek/pelanggan mungkin tidak sedari hanya dengan produk kita, masalah yang mereka tanggung selama ini boleh dan mampu diselesaikan. Jangan fikirkan tentang keuntungan untuk diri sendiri dahulu. Ia akan datang kemudian hari. Semakin banyak kita membantu semakin banyak hasilnya boleh kita peroleh asalkan niat yang ada pada kita adalah betul dan benar. Sabda Rasulullah SAW bermaksud “Saudagar yang jujur dan dapat dipercayai akan dimasukkan dalam golongan  para nabi, orang-orang yang jujur dan para syuhada” (Hadis riwayat Tirmidzi)

iv.                 Menanti kehadiran Nisfu Syaaban
Nisfu Syaaban (Nisf bermaksud separuh) adalah peristiwa hari ke-15 dalam bulan Syaaban tahun Hijrah. Umat Islam mempercayai yang pada malam Nisfu Syaaban, amalan akan dibawa naik oleh Malaikat untuk ditukar dengan lembaran amalan yang baru setelah setahun berlalu (diari lama di tukarkan kepada diari yang baru). Pengertian am Nisfu Syaaban dalam bahasa Arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas hari bulan Syaaban. Adalah digalakkan pembacaan Surah Yasin sebanyak tiga kali dapat dilakukan pada malam tersebut selepas solat Magrib. Mungkin ini masa yang terbaik kita peruntukkan masa kita sedikit melakukan persiapan sempena kedatangan Nisfu Syaaban ini.

Dari Usamah b Zaid ra berkata, “Aku bertanya, ya Rasulullah. Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam bulan-bulan lain seperti mana engkau berpuasa di bulan Syaaban”. Rasulullah bersabda, “Ia adalah bulan yang manusia lalai terhadapnya, di antara Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekalian alam, maka aku suka amalan ku diangkat sedang aku berpuasa” (riwayat An-Nasaie).

Sibuk macam mana pun kita melakukan jualan, cari kesempatan melakukan amal ibadat. Jangan buat-buat lupa apa tah lagi untuk menafikannya. Karier harus di jaga, agama perlu ditunaikan. Lagi banyak kita lakukan ganjaran yang kita dapati bukan sahaja di dunia sahaja tetapi di akhirat juga akan kita peroleh sama. Niatlah dengan betul dan telus kerana Rasulullah SAW bersabda maksudnya “Sesungguhnya amal perbuatan itu pasti mengundang niat, dan setiap orang akan memperoleh apa yang diniatkannya.” ( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).



Tiada ulasan:

Catat Ulasan