Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Jumaat, 15 Jun 2012

JANGAN ADA YANG NEGATIF


Mencapai dan melunaskan sasaran amat diperlukan sebagai satu tanggungjawab dan amanah yang mesti dilakukan. Jangan ditanya kenapa dan bagaimana tetapi tanyalah pada diri sendiri sudah kah kita melaksanakannya. Sememangnya amat berat dan sukar untuk dilakukan tetapi pada hakikatnya kita sendiri yang sanggup dan merelakan diri kita untuk melakukannya menyertai sendiri tanpa paksaan dalam tim jualan atau melakukannya sendirian. Kenapa perlu dikesalkan? Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Itulah yang sepatutnya kita semai dan lakukan.

Bagi memastikan kejayaan boleh dicapai, amanah yang diberikan dapat ditunaikan dan sasaran yang diberikan dapat dilepasi adalah disarankan agar perkara-perkara berikut dapat dilakukan dengan penuh rasa tanggungjawab yang amat besar iaitu

i.                    Mohon bantuan Allah SWT sentiasa
Sebagai seorang Muslim yang sejati, pengabdian diri kita amat diperlukan dan dituntut sama sekali. Sebagai seorang hamba kepada Allah SWT, ketaatan dan mengikuti segala peraturan yang ditetapkan amatlah diperlukan. Sentiasa memohon kepada Allah SWT mengharapkan agar segala usaha dipermudahkan tidak disukarkan,  keberkatan dalam mencari rezeki dan sentiasa mengharapkan keampunan Allah SWT.

ii.                  Yakin pada diri sendiri kita boleh melakukannya
Kalau diri sendiri tidak yakin tiada sesiapapun akan membantu kita untuk meyakinkan diri kita. Berdisiplin dan tahu tanggungjawab sebenarnya agar kita sentiasa yakin dan tahu apa yang perlu kita lakukan. Jangan sama sekali menjadi orang yang malas dan tidak mahu menghadapi cabaran yang dilalui tetapi jadikanlah sesuatu kejadian itu sebagai satu hikmah yang perlu ditempuhi. Kena suka dahulu apa yang ingin kita lakukan agar apa yang kita buat terasa mudah dan senangnya sampai bila-bila sekalipun.

iii.                Fahami apa yang di perlukan
Tak faham apa yang kita buat bagaimana kita nak lakukan apa yang dikehendaki. Karier bukannya satu perkara yang suka-suka hati untuk lakukan begitu sahaja. Kena ambil tahu dahulu tentang produk yang ditawarkan akan ciri-cirinya, kelebihan dan manfaat kepada pelanggan, peraturan dan arahan yang perlu diikuti. Berdisiplin menjalankan tugasan bukannya buat ambil mudah sahaja kita tentukan segalanya. Yakinlah segala arahan yang dikeluarkan adalah untuk memastikan agar kita peroleh kejayaan dan bukan sama sekali nak melingkupkan karier kita.

iv.                 Bersungguh-sungguh untuk melakukannya
Bersemangat dan bukannya hangat-hangat tahi ayam. Bila kena tegur dan kena marah baru nak bergerak menjalankan tugasan. Bila bertugas lakukan sebaik mungkin bukannya relaks sebaik mungkin. Jangan cari alasan katakan pelbagai masalah yang perlu ditanggung tetapi jadikan diri kita sebagai seorang yang sentiasa rajin dan mahu melakukannya secara bersungguh-sungguh tidak kira apa juga rintangan, halangan dan dugaan yang mendatang. Tanpa kesungguhan pasti kejayaan pun tak bersungguh untuk kita perolehi.

v.                   Perancangan yang sistematik dengan tindakan yang sepatutnya
Tanpa perancangan macam mana tindakan boleh dibuat. Tanpa perancangan bermakna tiada hala tuju. Tanpa perancangan juga bermakna kita pasti tak tahu apa yang ingin kita lakukan. Lakukan perancangan segera. Tidak tahu tak mengapa. Tiru sahaja dari orang yang berjaya melakukannya. Jangan salah faham kerana kalau orang yang kita tiru itu boleh berjaya kenapa kita tidak? Jangan malu untuk bertanya apatah lagi hendak berkawan dengan orang yang berjaya.

vi.                 Bersabar sentiasa walaupun pelbagai halangan dan dugaan
Jangan mengeluh dan menjadi panas baran yang bukan-bukan. Jangan memohon simpati dan mudah merasa sedih. Bersabarlah dan hadapi dengan ketenangan yang sewajarnya. Firman Allah SWT bermaksud "Maka bersabarlah kamu dengan sabar yang baik" (Surah AL-MA'ARIJ Ayat 5 ). Apabila kita bersabar dan tenang bermakna kita berjaya mengawal pemikiran kita untuk kita menjadi seorang yang tabah dan kuat untuk hadapi segala permasalahan dan dugaan yang timbul dan mendatang.

vii.               Matlamat kejayaan sentiasa di hati
Semua orang yang belajar pasti mahukan kedudukan nombor 1 dalam peperiksaan yang diambilnya. Semua orang mahu berjaya dan sentiasa mahu di hadapan orang lain. tapi adakah matlamat kita mahu berjaya mengatasi orang lain? kalau setakat matlamat kita nak nombor satu tapi usaha tak ke mana dan asyik mengumpat dan per senda kan sahaja orang lain bagaimana nak berjaya. Bina matlamat yang teguh agar kita sentiasa bermotivasi membina kerjaya kita dalam bidang jualan ini semoga sentiasa berterusan dan istiqamah mencapai kejayaan.

viii.             Tidak mudah putus asa dan kecewa
Asyik tension memanjang sahaja menyalahrkan orang dan keadaan adakah itu yang kita perlukan? Di mana perginya pendirian diri kita? Orang yang berjaya sama sekali tidak pernah merungut dan mengatakan kekecewaannya tetapi berusaha diri sendiri atasi masalah yang dihadapi agar kejayaan sahaja yang boleh mereka hadapi dengan tenang dan mudah sama sekali. Selagi kita mudah berputus asa dan kecewa, selagi itulah kita akan mudah merasakan ada sahaja yang tidak kena pada keadaan dan situasi sekelilingnya. Segala oportuniti walaupun berada di hadapan mata sudah pasti dirasakan sebagai satu halangan yang besar untuk kita rasakan begitu sukar dicapai sama sekali.

Orang yang berjaya tidak sama sekali mengeluh dan mudah putus asa. Orang yang berjaya apa juga rintangannya pasti boleh dihadapinya dengan tenang dan bersemangat waja. Orang yang berjaya tahu bagaimana nak kecapi kejayaan. Dalami ilmu, perbaiki skil dan kemahiran yang ada supaya kita sentiasa berada dalam golongan orang-orang yang sentiasa dahagakan kejayaan untuk dinikmati. Buang segala sikap negatif yang ada, jangan mudah terpengaruh apa yang orang lain perkatakan, kuatkan semangat dan dorongan diri sendiri untuk kita capai dan genggam kejayaan yang diingini. Percayalah pada kekuatan diri sendiri.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan