Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Selasa, 26 Jun 2012

Pelaburan Peribadi Jangan di sisihkan


Sebut sahaja pelaburan pasti semua kita akan menyangka kan satu pelaburan yang boleh mendatangkan dan menghasilkan pendapatan lumayan dan banyak kepada kita. Sememangnya kita amat disarankan agar segala pendapatan yang kita terima dan perolehi sebahagian kecil atau besar amat diperlukan bagi melakukan pelaburan baik untuk satu jangka masa panjang atau pendek. Tidak kiralah samada membeli aset tetap seperti rumah kediaman ataupun rumah kedai mahupun pelaburan dalam Amanah Saham yang kita kehendaki. Yang penting asalkan ianya memberikan pulangan yang baik itu sudah dikira cukup berbaloi. Asyik kita sahaja yang bekerja keras rasanya bilalah duit pendapatan yang kita perolehi pula yang bekerja dan berbakti untuk kita pula.

Walaupun begitu, jangan sama sekali kita lupakan satu lagi pelaburan yang perlu kita lakukan iaitu pelaburan pada diri kita sendiri. Sudah kah kita semua melakukannya? Rasanya belum terlewat lagi untuk kita lakukan. Bagi sesiapa yang telah melakukannya, syukur alhamdulillah. Apa yang dimaksudkan dengan pelaburan untuk diri kita sendiri adalah pelaburan dalam

i.                    Perhubungan
Jalinan persahabatan dan berkawan dengan semua orang yang kita temui baik prospek mahupun pelanggan. Tidak satu pun dikecualikan. Samada dijemput menghadiri kenduri ataupun kita mengadakan kenduri ini semuanya akan merapatkan lagi silaturahim sesama insan. Berkongsi pengalaman bertukar-tukar idea dan pandangan agar lebih mudah lagi interaksi kita melakukan jualan. Labur masa kita demi merapatkan lagi hubungan kemanusiaan. Pergunakan luangan masa kita bersama mereka sedikit sebanyak dapat juga mengetahui perkembangan semasa, pasaran sekarang, kehidupan mereka dan minat apa yang mereka seronok lakukan. Ini semua boleh digunakan kemudian hari ketika kita melakukan jualan. Firman Allah SWT bermaksud “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat makruf, atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Dan barang siapa yang berbuat demikian kerana mencari keredaan Allah, maka kelak Kami memberi kepadanya pahala yang besar.” (Surah An Nisa Ayat 114)

ii.                  Kesihatan
Seperti orang bersukan, kesihatan perlu dijaga. Asyik cuti sakit memanjang sahaja tidak sihat bagaimana nak lakukan tugasan jualan. Kena pertahankan kesihatan badan kita supaya ia nya sama sekali tidak memberi kesan yang tidak baik pula ke atas diri kita sendiri. Kerana itu kita di saran supaya sentiasa menjaga pemakanan dan bersenam setiap hari sekurang-kurangnya 30 minit. Mungkin juga boleh kita pergunakan lebihan wang pendapatan bagi membeli pemakanan tambahan asalkan ia nya cukup bersesuaian dengan diri kita menjaga kesihatan dengan lebih baik dan sempurna lagi. Mencegah adalah lebih baik dari berubat.... Sabda Rasulullah SAW bersabda “Tidak ada sesuatu yang diminta yang lebih disukai oleh Allah dari afiat (kesejahteraan)” Riwayat At Tarmizi)

iii.                Pemikiran
Peruntukkan wang pendapatan yang kita perolehi untuk membeli buku-buku seperti yang berkaitan dengan jualan, pemasaran, perhubungan manusia, ekonomi dan motivasi agar masa terluang kita dapat kita isikan dengan pembacaan bagi menambah ilmu sebanyak yang boleh. Bagi yang rajin melayari internat di rumah atau di cyber cafe mungkin boleh melakukan pencarian ke laman-laman web yang berkaitan dengan tugasan jualan kita. Paling baik adalah berguru, cari sifu seorang. Masuk mana-mana seminar, taklimat ataupun kursus pun di kira baik juga untuk di hadiri. Jangan harapkan majikan sahaja yang panggil diri kita untuk menghadiri kursus tetapi kita sendiri kena ada inisiatif untuk mencari ilmu dan mendalami apa yang kita lakukan. Melabur sedikit, ilmu yang diberkati pulangannya pasti mewah di kemudian hari. Rasulullah SAW bersabda "Menuntut ilmu itu diwajibkan bagi setiap orang Islam" (Riwayat Ibnu Majah)

iv.                 Ke jalan Allah
Jangan sama sekali kita lupakan agar sentiasa rajin taburkan wang pendapatan kita ini terus menerus bersedekah walaupun seringgit sehari kepada badan-badan amal, rumah-rumah Allah, pembelian Al-Quran untuk disedekahkan, menderma kepada peminta sedekah, anak-anak yatim, orang tua dan sebagainya. Paling penting lakukan pelaburan dengan menderma kepada kedua iba bapa kita setiap kali kita menerima pendapatan. Apabila orang suka termasuk ibu bapa kita menerima wang dari kita, doa mereka paling bermakna buat kita. Pasti setiap kebajikan dan kebaikan yang kita lakukan mesti ada imbuhan yang paling besar kurniaan dari Allah SWT tanpa kita sangka-sangka kan sama sekali. Firman Allah SWT bermaksud “Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kedekut); sedang Allah menjanjikan untuk kamu ampunan daripada Nya dan kurnia Nya. Dan Allah Maha Luas (kurnia Nya) lagi Maha Mengetahui” (Surah Al Baqarah Ayat 268)

Ayuh sama-sama kita lakukan pelaburan yang dinyatakan agar tugasan kita melakukan jualan lebih dipermudahkan lagi. Tanpa melakukan pelaburan mana nak datang hasilnya. Jangan terlalu berkira kerana ditakuti nanti Allah pula yang akan berkira sakan pada kita. Peruntukkan sedikit wang dari pendapatan kita agar kita sentiasa ke hadapan memilih satu kejayaan buat diri kita juga. Kalau orang lain boleh melakukannya kenapa tidak kita. Berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan