Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Isnin, 14 Oktober 2013

YAKIN DIRI BUKAN EGO




Betapa bahayanya jika kita terlalu membangga diri, merasa bongkak dan ego. Semuanya nanti akan memusnahkan karier kita suatu hari nanti. Ambillah jalan yang selamat dan tidak memudaratkan karier kita. Binalah keyakinan diri untuk melakukan jualan dan bukannya egois. Bila ada keyakinan diri sudah pasti pemikiran kita sentiasa positif dan berpuas hati dengan apa yang ada pada kita. Inilah yang sepatutnya kita lakukan kerana keyakinan diri ini akan menyebabkan kita sering merasa boleh melakukannya walaupun terdapat pelbagai halangan, dugaan dan cabaran yang perlu ditempuh.

Apabila keyakinan diri telah wujud jangan pula mudah untuk berbangga diri dan berlagak tak tentu hala. Lakukan keyakinan yang ada untuk memudahkan tugasan kita melakukan jualan bukan untuk menunjuk-nunjuk atau membanggakan diri di khalayak ramai. Sentiasa beringat agar menjadi seorang yang berhemah, bersopan, baik tingkah laku dan merendah diri. Apabila keyakinan diri telah terbina ini bermakna kita akan mudah

i.         Membina reputasi diri
Reputasi amat diperlukan dalam membina karier jualan. Tanpa adanya reputasi bagaimana orang akan lebih percaya dan yakin akan keupayaan diri kita. Nama baik kita merupakan tunjang kepercayaan orang terhadap kita. Kerana itu reputasi yang baik memerlukan akhlak dan tabiat yang baik juga untuk diamalkan dan dilakukan sentiasa.

ii.        Tonjolkan peranan kita
Kita yang hendak menjual bermakna kita kena tonjolkan peranan kita menjual. Jangan menunggu mereka tapi kena cari mereka yang memerlukannya. Lainlah kalau produk kita telah dikenali dan tersebar luas kehebatannya sudah pasti mereka pula yang akan mencari kita. Lakukan dengan kejujuran dan keikhlasan yang sepatutnya kerana dengan itu sahaja peranan kita boleh dilihat oleh mereka. Sekali kita menipu sampai bila-bila mereka tidak akan mempercayainya.

iii.       Yakin tapi bukan terlalu yakin
Lakukan dengan penuh keyakinan yang kita benar-benar yakin boleh melakukannya. Tapi awasi jangan terlalu yakin kerana ini boleh menyebabkan kita suka melakukan andaian dan merasakan apa yang kita lakukan adalah betul dan benar sahaja. Elakkan sama sekali kerana ia akan memberikan kesan atau impak yang negatif pula kepada karier kita dalam menjual.

iv.       Sentiasa berfikiran positif
Perkara yang sepatutnya kita lakukan. Fikiran yang positif sudah pasti memberikan sesuatu yang positif akan tindakan kita. Kerana itu Rasulullah mahukan sentiasa bersangka baik dan jangan sama sekali memikirkan perkara yang bukan-bukan boleh berlaku dan terjadi. Fikir positif tindakan pasti positif keputusan akhir pasti menjelma dengan kejayaan.

v.        Mudah mendapatkan kepercayaan
Kita yakin dalam melakukan jualan sudah pasti sesiapapun juga yang berada di hadapan kita akan yakin dengan apa yang kita tawarkan. Bila mereka yakin bermakna kepercayaan mereka terhadap kita boleh kita peroleh. Semuanya bergantung atas kita bagaimana jujur dan ikhlasnya kita memberikan penerangan dan presentasi yang sepatutnya. Menunjukkan jalan dan cara menyelesaikan masalah yang mereka hadapi selama ini. Tarik minat mereka dengan ketahui apa masalah yang ditanggung oleh mereka terlebih dahulu supaya kepercayaan mereka mudah lagi untuk dibina dan didapati.

vi.       Berpengetahuan
Bukan semua perkara kita kena tahu. Cukuplah dengan kita benar-benar berpengetahuan atas segala produk yang kita mahu tawarkan. Kalau bertemu dengan seseorang tapi agak memalukan jika ada persoalan yang timbul kita masih teragak-agak untuk memberikan jawapan balas. Adakah ini boleh dikatakan sebagai seorang yang berpengetahuan dalam penawaran produk. Kerana itu dalami pengetahuan produk dengan sebaik-baiknya dan jangan sama sekali mengetahui produk tersebut umpama melepaskan batuk di tangga sahaja.

vii.      Berbuat baik
Tidak kira apa kedudukannya, jawatan dan taraf kehidupan sememangnya kita disarankan untuk melakukan kebaikan dengan manusia. Konsep habluminannas kena ada dan diingati sentiasa. Kita hidup bermasyarakat kena berbuat baik dengan siapa pun juga. Yakin dengan apa yang kita lakukan agar orang lebih ramai suka bergaul dengan kita, sekali kita lakukan kebaikan sudah pasti Allah akan balas lebih daripada itu. Suka membantu dan menolong orang juga akan membina juga keyakinan diri kepada kita.

Firman Allah bermaksud ‘dan janganlah kamu merasa lemah dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa Yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang Yang tertinggi (mengatasi musuh Dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang Yang (sungguh-sungguh) beriman’ (Surah Ali-imran Ayat 139).

Firman Allah lagi bermaksud ‘Sesungguhnya orang-orang Yang menegaskan keyakinannya Dengan berkata: "Tuhan Kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan Yang betul, akan Turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan Terimalah berita gembira Bahawa kamu akan beroleh syurga Yang telah dijanjikan kepada kamu’ (Surah Fussilat Ayat 30).

Di mana bumi kita berpijak di situlah tempat kita dijunjung. Lakukan dengan sebaik yang mungkin agar orang sentiasa mahu bersama dengan kita dan menerima apa yang kita tawarkan. Lakukan secara jujur dan amanah tanpa mengira kepentingan peribadi terlebih dahulu. Merendah diri walaupun itu berada dalam apa keadaan sekalipun adalah satu senjata terbaik untuk mendapatkan kepercayaan seseorang. Jangan biarkan diri kita dihina atau dikeji hanya kerana kebodohan kita sendiri. Perbaiki segera pelajari apa kesilapan dan kesalahan kita agar sama sekali tidak kita ulangi di masa hadapan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan