Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Ahad, 13 Oktober 2013

Ego ada penawarnya




Ambillah tindakan terbaik agar keegoan ini dapat dihindari agak kita sentiasa menjadi seorang yang berguna bukan sahaja setakat di dunia ini sahaja tetapi juga di akhirat sama. Biarlah kita menjadi manusia yang cerdik bukan setakat mendapat ganjaran di dunia tetapi juga mendapat ganjaran di akhirat sekali. Tak jatuh pun maruah kalau kita tiada keegoan. Biar orang lain yang memandang kita akan menjadi lebih hormat dan kagum lagi kepada kita. Ambillah tindakan sebaik-baiknya agar ketika kita melakukan jualan dengan siapa juga yang bertemu dan bersua dengan kita pasti akan berlapang dada dan mudah menerima kehadiran diri kita.

Carilah penawarnya agar ego tidak wujud dalam diri kita. Bukan dapat pahala pun kalau ego terus bersarang dalam diri kita. Dalam menangani dan menghindari keegoan yang ada pada diri kita ini ambillah tindakan terbaik melakukannya dengan cara

i.         Sedar diri kita ada orang lebih hebat
Jangan sama sekali merasa diri kita sudah cukup hebat. Pasti ada Allah jadikan orang lain mempunyai kehebatan dari kita. Hanya Rasulullah sahaja yang hebat dan yang pastinya bukannya kita. Siapa kita nak perkatakan yang kita hidup di dunia ini kita manusia yang hebat. Bukan ini sesuatu yang memalukan nanti apabila kita bertemu dengan Allah nanti? Fikirlah sebaik-baiknya sebelum kita boleh mendabik dada merasakan dan mengatakan kita adalah insan hebat di dunia ini. Firman Allah bermaksud ‘Dan janganlah Engkau memalingkan muka mu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah Engkau berjalan di bumi Dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri’ (Surah Luqman Ayat 18).

ii.        Bersyukur dengan apa yang ada
Apa juga yang Allah berikan dan anugerahkan kepada kita bersyukur dengan apa yang ada. Mana-mana ada kekurangan dan kelemahan atasilah dengan sebaik yang mungkin. Atasi segala apa yang di alami dengan penuh kerelaan dan redha atas ketentuan Allah. Jika terdapat kelebihan dan kehebatan yang ada pada kita pergunakan dengan sebaik yang mungkin untuk membantu orang seramai yang termampu dan bukannya untuk lebih meninggi diri dan berlagak tak tentu hala. Firman Allah bermaksud ‘Oleh itu ingatlah kamu kepada Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat Ku)’ (Surah Al-Baqarah Ayat 152).

iii.       Apa yang berlaku adalah dari Allah
Apa pun yang berlaku anggaplah sebagai satu ujian daripada Allah. Tukarkan ujian tersebut sebagai satu cabaran yang perlu kita tempuhi dengan penuh kesabaran dan kecekalan. Bukan semua orang menerima ujian yang baik-baik sahaja dan begitu juga bukan semua orang menerima ujian yang tidak baik sahaja setiap masa. Jangan mudah merasa mudah lupa diri merasakan setiap yang hebat itu hak kita selama-lamanya. Allah hanya beri pinjaman sahaja, sekejap lagi pasti Allah akan mengambilnya semula. Sentiasalah bersedia jangan mudah meninggi diri bersyukur dengan apa yang ada ketika ini. Firman Allah bermaksud ‘Tuhan Yang Menguasai pemerintahan langit dan bumi, dan Yang tidak mempunyai anak, serta tidak mempunyai sebarang sekutu dalam pemerintahan Nya; dan Dia lah Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna’ (Surah Al-Furqan Ayat 2).

iv.       Satu kitaran kehidupan
Terima hakikat bahawa ada ketikanya kita berada di atas dan ada ketikanya kita berada di bawah pula. Inilah kitaran kehidupan yang perlu kita terima dengan hati yang terbuka. Sesuatu yang pasti Allah jadikan agar kita sentiasa sedar dan tahu yang kita ini adalah hamba Allah yang sepatutnya kita taat dan setia hanya kepada Allah di samping menjalinkan hubungan kita sesama manusia. Kerana itu walau apa pun yang terjadi dan berlaku sentiasalah pandang pada orang di bawah agar kita tahu tidak kiralah kita berada di atas mahupun di bawah kita tahu di mana kita berada. Sebagaimana sabda Rasulullah ‘Pandanglah orang yang berada di bawah mu (dalam masalah harta dan dunia) dan janganlah engkau pandang orang yang berada di atas mu (dalam masalah ini). Dengan demikian, hal itu akan membuat mu tidak meremehkan nikmat Allah pada mu.’ (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Firman Allah bermaksud ‘Dan janganlah Engkau memalingkan muka mu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah Engkau berjalan di bumi Dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri’ (Surah Luqman Ayat 18). 



Pesan Rasulullah SAW sabdanya ‘Sesungguhnya Allah mewahyukan kepada ku agar kalian sentiasa merendah hati, hingga tidak ada seorang pun yang bangga atas yang lain dan tidak ada yang berbuat aniaya atas yang lain’ (Hadis Riwayat Muslim 2865, Abu Dawud 4895, Ibnu Majah 4179).


Hindarilah sikap ego, sombong, berlagak dan tinggi diri ini kerana pasti ia nya tidak ke mana. Jangan mudah mendabik dada merasakan kita adalah insan hebat di dunia ini. Tidakkah kita pelajari dari kisah Firaun dan Namrud yang akhirnya tewas begitu mudah di tangan Allah begitu sahaja? Muhasabahlah semula diri kita agar kita berada di landasan yang benar dan betul. Biarlah apa pun juga orang nak kata atau perkatakan bersabar dan tenang sahaja. Jangan dilayan dan jangan mudah terpengaruh. Lebih baik merendah diri dan bersopan dari kita mudah mencari kebencian orang terhadap kita.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan