Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Khamis, 10 Oktober 2013

STRATEGI VS TAKTIK




Sering kali kita mendengar antara strategi dan taktik dibicarakan dalam jualan. Dua istilah yang cukup digemari dimaklumkan sesama orang SALES. Paling menyeronokkan apabila ada kedengaran bahawa strategi itu adalah taktik manakala taktik itu adalah strategi. Sehingga tak boleh nak dibezakan antara strategi dan taktik. Memang boleh mengelirukan di buatnya. Bagi membezakan antara strategi dan taktik kena ketahui apa maksud sebenarnya agar selepas ini tiada kekeliruan lagi boleh berlaku dan terjadi. Strategi dan taktik masing-masing membawa pengertian yang berbeza dan tiada kesamaannya. 

Mengikut kamus Dewan Edisi Keempat strategi membawa maksud seperti berikut

1. ilmu tentang cara-cara merancang dan melaksanakan tindak-tanduk peperangan, ilmu siasat perang; 

2. siasat perang, taktik perang; 

3. berupa siasat (muslihat) untuk mencapai sesuatu maksud; 

4. rancangan yang teratur (yang memperhitungkan pelbagai faktor) untuk mencapai matlamat atau kejayaan; strategi dua (tiga) serampang strategi yang terdiri daripada dua (tiga) rancangan atau pendekatan yang utama yang dilaksanakan sekali gus atau secara bersepadu.


Dalam jualan, strategi adalah satu pendekatan yang dilakukan bagi mencapai satu-satu objektif tentang perniagaan. Strategi lebih menjurus kepada merangka atau merancang bagi memastikan apa yang dilakukan boleh mencapai kejayaan. Strategi juga adalah mencari cara atau kaedah untuk memenangi persaingan dengan segala kekuatan dan kelebihan yang ada dan perlu dicari alternatif yang baru. Dengan adanya strategi ini pasti membantu untuk lebih fokus pada sasaran pasaran.

Di dalam strategi ini terdapat dua cara yang perlu diketahui iaitu

i.             Strategi jualan secara langsung (DIRECT)
Apa yang dimaksudkan dengan strategi begini adalah bagaimana jualan dilakukan secara terus menerus. Tidak memerlukan sebarang temu janji atau pertemuan yang di janjikan. Hanya terus melakukan jualan memaklumkan apa penawaran yang boleh dilakukan. Terima atau tidak bukan persoalannya yang penting buka mulut untuk menjualnya. Kebiasaannya jualan seperti ini dilakukan oleh promoter-promoter yang berdiri di sisi produk lalu menjualnya kepada siapa sahaja yang lalu lalang atau datang bertanya kepadanya. Mulut kena manis dan pandai memikat bakal pembeli untuk menerima tawaran yang di kemukakan. Konsep seperti ini dikenali juga sebagai pendekatan jualan negatif (Negative Sales Approach)

ii.           Strategi jualan bukan langsung (INDIRECT)
Strategi yang digunakan secara lebih berhemah. Bertemu dengan pelanggan memaklumkan segala kelebihan dan manfaat yang boleh diperoleh kepada mereka yang mahukan produk yang ditawarkan. Kebiasaannya pendedahan maklumat tentang produk lebih menjurus kepada kelebihan, manfaat dan keuntungan yang bakal mereka peroleh yang semestinya tiada pada pesaing yang menawarkan. Strategi jualan bukan langsung ini lebih banyak memberi didikan dan kefahaman tentang produk yang ditawarkan. Semuanya untuk memudahkan mereka mengetahui bagaimana strategi ini dilakukan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.


Mengikut kamus Dewan Edisi Keempat lagi, yang dimaksudkan dengan taktik pula adalah satu cara atau kaedah untuk memperoleh, mencapai, atau mendapatkan sesuatu tujuan yang dikehendaki, muslihat, siasat: musuh sedang menggunakan  taktik baru dalam usahanya hendak menghancurkan negara tersebut.

Bagi taktik dalam jualan pula membawa maksud kepada satu tindakan yang cukup spesifik bagaimana untuk melakukan jualan. Tindakan secara terus-menerus dilakukan secara pendedahan produk kepada sasaran bakal pembeli atau pelanggan. Tindakan yang dilakukan lebih kepada untuk menarik minat seseorang bagi menerima produk yang ditawarkan. Antara tindakan-tindakan yang perlu dilakukan adalah seperti pengedaran risalah, perletakkan di tempat-tempat strategi kain-kain rentang atau semasa bertemu dan bersembang dengan bakal pembeli atau pelanggan.

Bagaimana untuk melakukannya terserah kepada seseorang. Kalau taktik yang dilakukan dirasakan berkesan maka eloklah dipertahankan melainkan ada penambahbaikan perlu diberikan. Semuanya ini bagi memastikan apa juga tindakan yang dilakukan boleh menghasilkan pulangan dan imbuhan seperti mana yang dimahukan dari awal lagi.

Dapatlah disimpulkan bahawa melakukan strategi adalah satu bentuk perancangan yang perlu kita lakukan bagi mencapainya manakala taktik pula adalah bagaimana tindakan terbaik kita bagi perolehnya pula. Sememangnya antara strategi dan taktik adalah berkait rapat antara satu sama yang lain. Pemikir ada mengatakan ‘bahawa strategi tanpa taktik adalah laluan paling perlahan mencapai kemenangan. Taktik tanpa strategi adalah kebisingan sebelum kekalahan’.

Wallahua’lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan