Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Rabu, 23 Oktober 2013

STRATEGI MENARIK PERHATIAN




Melakukan jualan pasti memerlukan perhatian yang sewajarnya dari mereka. Apa juga yang kita perkatakan dan maklumkan kepada bakal pembeli atau pelanggan tugasan utama adalah mendapatkan perhatian sewajarnya dari mereka. Apa guna kita bercakap atau memberi penerangan tapi malangnya mereka yang di hadapan kita buat tak tahu sahaja. Langsung perhatian mereka yang sepatutnya kita ambil dan tentukan menjadi hambar begitu sahaja. Penat kerja melakukan jualan andai kata kita menjual tapi tiada siapa pun yang mengambil berat.

Umpama kita berikan kad perniagaan kita kepada bakal pembeli atau pelanggan. Lantas kita maklumkan kepada mereka kalau berminat jangan lupa untuk hubungi kita. Pasti sampai kiamat mereka tidak akan menelefon kita. Apa tidaknya, kalau sesuatu jualan kita gagal untuk menarik minatnya sudah pasti mereka tidak akan menghubungi diri kita. Mereka yang mengambil kad perniagaan kita pun hanya disebabkan ingin menjaga hati kita sahaja. Bukankah rugi dan sia-sia sahaja perbuatan kita kalau perkara sebegini berlaku dan terjadi.

Kerana itu dalam menarik minat seseorang ketika kita melakukan jualan kena ada strateginya. Jangan main hentam sesuka hati begitu sahaja. Mesti ada cara dan kaedah untuk kita melakukannya dengan harapan mereka terus berminat dan masih mahu tahu seterusnya. Apa yang dimaksudkan dengan strategi tersebut adalah

i.             Yakin dengan apa yang kita lakukan
Yakin dengan apa yang mahu kita berikan kepada sesiapapun juga dalam melakukan jualan. Jangan teragak-agak dan mudah merasa sangsi. Berikan yang terbaik dengan keyakinan yang tinggi. Kita yakin pasti mereka yang di hadapan kita juga turut yakin dengan apa yang kita perkatakan. Jangan merasa cuak betul ataupun tidak. Berikan yang terbaik agar hasil yang diingini juga menjadi yang terbaik.

ii.           Isytiharkan kepakaran kita
Secara berhemah dan bersopan maklumkan saja kepada mereka bahawa kita juga adalah pakar dalam bidang jualan ini. Pastikan kita datang untuk membantu dan berikan bantuan sewajarnya. Sesuaikan produk yang ditawarkan dengan masalah yang mereka hadapi agar kehadiran kita memberikan satu solusi kepada mereka. Kita pakar dalam bidang kita sudah pasti semakin mudah menarik minat seseorang untuk berurusan dengan kita. Bukan untuk bangga dirikan  menjadi ego dan sombong tidak ketentuan tapi biar mereka tahu kita bukan sebarang orang untuk menjual produk kepada mereka. Konsultan jualan kena berani untuk melakukannya.

iii.          Buktikan kita juga mampu melakukannya
Pesaing juga manusia dan melakukan perkara yang sama seperti mana yang kita lakukan. Kenapa mesti menjadi dayus dan pengecut membiarkan sahaja mereka begitu mudah melakukan jualan dan bukannya kita. Kalau mereka boleh melakukannya apa kurangnya kita. Perbaiki segera kelemahan diri yang ada agar setidak-tidaknya kita sama hebat dan setanding dengan mereka di luar sana. Kalau perkara begini boleh kita lakukan sudah pasti kepercayaan dan minat bakal pembeli atau pelanggan akan dapat kita tarik begitu sahaja.

iv.          Pasarkan kepakaran kita
Jangan membodohkan diri kita. Kenapa perlu merasa malu yang kita juga hebat dalam melakukan jualan dan memberi keyakinan kepada bakal pembeli atau pelanggan untuk berurusan dengan kita? Tarik minat mereka dan maklumkan sahaja kehebatan kita menawarkan produk yang mereka cari selama ini. Biar jelas,ringkas dan padat asalkan mudah difahami oleh mereka. Pakar atau tidak kita ini bukan kita yang tentukan tapi mereka yang di luar sana akan mengetahui kita ini pakar atau tidak.

v.            Biarkan mereka pasarkan diri kita
Keyakinan mereka mudah diperoleh kalau hebahan mulut dapat dilakukan dengan sebaik mungkin. Bila orang dah berpuas hati dengan kita apa yang kita lakukan sudah pasti menjadi perhatian orang lain pula tanpa kita sedari. Begitulah hebatnya kuasa hebahan mulut hanya kerana tahap perkhidmatan kita memberikan satu kepuasan kepada mereka pula. Kita lakukan yang terbaik dan memuaskan hati seseorang sudah pasti kita biarkan sahaja mereka pasarkan diri kita untuk kita juga.

Dapatkan kepercayaan mereka dengan jalan mudah dan senang. Biar pasaran tahu tentang kewujudan diri kita untuk memudahkan lagi kita melakukan jualan. Bila kita berjaya menarik minat seseorang sudah pasti minat mereka akan kita tukarkan kepada penutupan jualan pula. Nak dapatkan minat mereka kena pastikan yang mereka telah yakin dan berpuas hati dengan apa yang telah kita maklumkan kepada mereka. Banyakkan bersabar dan cekalkan hati dalam melakukan jualan terutamanya dalam usaha menarik minat seseorang untuk menerima tawaran yang dikemukakan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan