Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Isnin, 28 Oktober 2013

JANGKA MASA PANJANG




Orang berbudi kita berbahasa orang memberi kita merasa. Satu perumpamaan Melayu lama yang masih relevan sehingga kini. Adab orang Melayu yang sentiasa berhemah dan bersopan kepada orang lain yang perlu kita kekalkan sampai bila-bila sekalipun. Bila dah orang buat baik pastikan jangan diberi racun padanya tapi madu yang perlu ditawarkan. Kemesraan yang terjalin perlu dijaga dengan rapi agar semangat ukhuwah terpelihara. Bukan kita hendak meminta sedekah atau meraih simpati tapi bila seseorang telah melayan kita dengan baiknya kena jugalah kita melayan mereka lebih baik dari apa yang telah dihulurkan.

Beretika dan kena jaga tatasusila sebagai seorang Muslim. Melakukan jualan perlu kepada ukhuwah jalinan persahabatan dan persaudaraan. Jangan kerana hendak menjual baru nak berbaik-baik dengan orang yang ditemui. Dah dapat penutupan jualan daripadanya langsung kita lupa dan abaikan pula mereka. Adakah ini matlamat kita dalam melakukan jualan dan kehidupan kita sehari-harian? Rapat dengan seseorang hanya untuk melayan kepentingan diri kita sendiri sahaja. Bak kata peribahasa seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing yang membawa maksud orang yang mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan hal orang lain. Berjaga-jaga dan berhati-hati agar kita tidak mengutamakan kepentingan diri mengatasi orang lain.

Fikirkan untuk jangka masa yang panjang. Kita menjual bukan bermakna hari ini kita melakukannya cukup sebulan kita berhenti pula. Jangan difikirkan sebegini tindakan kita. Lakukan agar apa juga yang kita ceburi biarlah sehingga akhir hayat kita. Kerana itu kena fikir untuk jangka masa yang panjang dan bukannya dalam tempuh yang singkat. Kerana itu berikan tugasan jualan dengan sebaik yang mungkin. Ketepikan dahulu kepentingan diri kita terlebih dahulu sebelum kita dapat selesaikan masalah mereka menerusi produk yang kita tawarkan. Makin ramai yang kita hulurkan bantuan dan pertolongan makin banyak Allah turunkan bantuan kepada kita. Ini janji Allah kerana Rasulullah SAW telah memaklumkannya terlebih dahulu. Yakin dan percayalah.

Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi SAW, Baginda telah bersabda ‘Barang siapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Kiamat. Barang siapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutup keaiban seorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa bersedia menolong hamba Nya selagi mana dia suka menolong saudaranya. Barang siapa yang melalui suatu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya suatu jalan menuju ke syurga. Sesuatu kaum tidak berkumpul di salah sebuah rumah-rumah Allah (iaitu masjid) sambil mereka membaca Kitab Allah dan mengkajinya sesama mereka melainkan suasana ketenangan akan turun ke atas mereka, rahmat akan melitupi mereka dan mereka akan di kelilingi oleh para malaikat dan Allah akan menyebut (perihal) mereka kepada orang-orang yang berada di sisi Nya. Barang siapa yang terlambat amalannya, nescaya nasab keturunannya tidak mampu mempercepatkannya’ (Hadis Riwayat Muslim).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan